ISMA tubuh biro politik

biro-politik

BANGI, 18 Jan. – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman dalam satu sidang media semalam telah mengumumkan penubuhan Biro Politik ISMA.

Biro ini ditubuhkan selari dengan perkembangan politik tanah air yang bakal menghadapai pilihanraya umum dan sesuai dengan tuntutan fikrah ISMA yang meletakkan politik sebahagian daripada medan perjuangan.

“Atas cadangan daripada berbagai-bagai pihak dari dalam ISMA, ahli-ahli ISMA sendiri dan juga rakan-rakan yang bersama-sama menyokong agenda ISMA, maka Jawatankuasa Pusat ISMA telah memutuskan untuk menubuhkan satu biro baru yang kita namakan Biro Politik ISMA,” kata Ustaz Abdullah Zaik.

Terdapat tiga objektif utama penubuhan biro ini iaitu menyampaikan pandangan politik ISMA kepada masyarakat, membuat kajian realiti politik semasa dan mencadangkan langkah yang perlu diambil berdasarkan perkembangan politik Malaysia.

Ustaz Abdullah menjelaskan, penubuhan biro ini berkait rapat dengan pilihanraya umum yang akan berlangsung dan ISMA tidak akan ketinggalan untuk turut terlibat.

“Sebagaimana kita tahu bahawa negara kita bakal menghadapi pilihanraya ke-13, jadi ISMA insyaAllah tidak akan ketinggalan mengambil bahagian dalam bentuk yang diizinkan oleh undang-undang dan diizinkan oleh kemampuan kita serta sesuai dengan tuntutan fikrah kita,” kata beliau.

Biro ini akan diketuai oleh Timbalan Presiden ISMA, Tuan Haji Aminuddin Yahaya. Beliau akan dibantu oleh Ustaz Mohd Hazizi Abdul Rahman sebagai setiausaha dan Ustaz Wan Hisyam Wan Embong selaku bendahari.

Pengarah Penerangan Biro ialah Ustaz Abdul Halim Abdullah manakala Pengarah Strategi ialah Ustaz Mukram Mohd Taib.

Dalam sidang yang sama, ketua biro Tuan Haji Aminuddin Yahaya berkata, melalui biro ini, ISMA akan memimpin pandangan umat dalam menyelesaikan kemelut politik yang berpanjangan.

“Kita rasa kita dapat memberikan penjelasan dan yang penting sekali menunjukkan arah tuju umat Islam bagi menyelesaikan kemelut dan pertelagahan yang ada.

“Kita mahu masyarakat jelas penyelesaian yang sebenarnya adalah penyelesaian yang akan kita kemukakan ini bukan penyelesaian dalam bentuk perkara-perkara yang lain,” ujar beliau.

Buat masa ini Ustaz Abdullah Zaik berkata, ISMA belum membuat keputusan untuk mencalonkan ahlinya bertanding dalam pilihanraya ke-13 dan penubuhan biro ini disifatkan langkah pertama keterlibatan ISMA dalam arena politik tanah air.

“Itu kita belum putuskan lagi bagaimana penglibatan atau sejauhmana keterlibatan kita dari segi politik, tapi apa yang penting hari ini adalah kita mahu mewujudkan benih pertama dalam penglibatan politik ISMA dan kita mahu sampaikan mesej ini kepada ahli-ahli ISMA dan juga rakan-rakan ISMA yang mencintai dakwah ISMA bahawa kita akan melakukan sesuatu dan kita telah memulakan langkah yang pertama,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *