Israk dan Mikraj: Noktah penting buat kita

Islam sebagai deen yang lengkap dan menyeluruh sentiasa memberikan peringatan-peringatan dalam sela-sela waktu kehidupan umatnya. Sebagaimana apa yang selalu kita perdengarkan dari hadis baginda yang mulia, bahawa Ramadhan memberikan keampunan hingga kepada Ramadhan yang akan datang, Solat Jumaat memberikan keampunan hingga kepada Jumaat yang akan datang,  bahkan dalam kehidupan 24 jam sehari solat yang dikerjakan dengan penuh khusyuk memberikan keampunan hingga kepada solat yang akan datang.

Begitulah indahnya Islam. Satu deen yang waqi’e yang memahami bahawa seorang muslim itu harus menjalani hidup yang penuh cabaran dan ujian. Dengan itu sela-sela peringatan adalah sangat diperlukan.

Bahkan Islam juga menginginkan bahawa umatnya berhenti sejenak dan mengambil pengajaran berharga dari hari-hari kebesarannya – baik Iedul Fitri, Iedul Adha, Maulidil Nabi, Hijratul Rasul, Badar Kubra serta Israk wa Mikraj.

Menyentuh peristiwa Israk dan Mikraj, rata-rata masyarakat di negara kita menyambut kedatangannya. Sukar kita mendapati masjid kota mahupun desa tidak mengadakan program memperingatinya. Cumanya kaedah sambutannya saban tahun tetap sama. Mengulangi cerita-cerita perjalanan agung tersebut yang kadang kala dibaluti dengan cerita-cerita dhaif dan tiada sumber dalam Islam. Hinggaan kita terlupa, ada mesej besar yang Islam inginkan dalam peristiwa ini.  Ibrah yang boleh menjadi sumber inspirasi kepada perjuangan umat ini pada sebarang tempat dan sebarang zaman.

Lebih-lebih lagi di zaman sekarang di mana syariat diinjak, sebahagian ummat diperbudakkan dan pelbagai masalah sosial yang menggerunkan, tentunya ada noktah penting yang dapat diambil dalam peristiwa agung ini.

Noktah pertama, perjalanan Israk tidak terus ke langit tetapi ke Masjidil Aqsa sebelumnya membayangkan betapa pentingnya tanah Anbia’ ini kepada umat. Bumi Masjidil Aqsa dan sekitarnya adalah milik umat ini, dan membebaskannya adalah tanggungjawab setiap umat. Pengabainya terhadap tanggungjawab ini akan ditanya oleh Allah di akhirat nanti.

Noktah kedua ialah Mikraj baginda ke Sidratul Muntaha untuk menerima secara langsung ibadah solat dari Allah. Bahkan Malaikat Jibrail yang mulia tidak menjadi pengantara di dalam watikah ini. Satu anugerah yang tidak berlaku pada mana-mana ibadah yang lain. Ini menunjukkan betapa pentingnya ibadah solat terhadap ‘kehidupan’ umat ini. Umat akan hidup dan menyerlahkan sifatnya yang sebenar apabila ibadah ini benar-benar dilakanakan dengan sempurna.

Itulah antara dua noktah penting yang perlu kita insafui dalam menyambut peristiwa ini.

Sebagaimana diceritakan oleh Syeikh Yusuf Qaradhawi di dalam biodatanya tentangnya kehadiran  pertama beliau dalam ceramah Imam Hassan Al-Banna. Imam Al-Banna yang kebetulan memberikan syarahan berkaitan Israk dan Mikraj tidak sebagaimana penceramah lain, tetapi menekankan pengajaran yang diambil berkaitan dua aspek penting ini – iatu pembebasan Al-Aqsa dan kepentingan solat.

Keduanya mempunyai kaitan yang erat. Al-Aqsa tidak akan dibebaskan melainkan melalui tangan-tangan umat yang menjaga solat.

Selamat menyambut Israk wa Mikraj.

Oleh: Dr Zulkifli Yusof,
YDP ISMA Alor Setar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *