Isteri, ibu, da’i dan pakar perbidanan sakit puan

Gambar hiasan.

Hari ini saya membaca catatan yang dibuat oleh Prof Zainurrashid tentang keperluan doktor muslimah dalam bidang Sakit Puan (Rujuk di sini). Apa yang dikatakan oleh beliau adalah tepat sekali. Saya telah menjadi Pakar Sakit Puan sejak 2001, walaupun saya tidak mempunyai bakat menulis seperti beliau saya cuba nukilkan bait-bait kata di sini supaya catatan pengalaman saya ini dapat menjadi inspirasi untuk adik-adik muslimah yang lain untuk turut berada dalam bidang ini.

Mungkin sejak kecil lagi saya bercita-cita saya ingin menjadi doktor supaya boleh melakukan pembedahan untuk mengeluarkan bayi kerana ketika itu saya adalah anak bongsu dan kehendak untuk mempunyai adik sebagai teman sepermainan adalah cukup tinggi. Allah mengizinkan cita-cita saya tercapai. Dengan keputusan SPM yang baik saya meneruskan perjalanan akademik dalam bidang perubatan dan akhirnya memperolehi segulung ijazah kedoktoran dengan Pingat Emas Universiti ( Gold Medal) dari UKM.

Sebagai Houce Officer

Pada tahun 1994, karier saya sebagai seorang doktor pelatih (house officer) pun bermula. 1 tahun yang cukup penat. Ketika itu dalam satu jabatan hanya ada 6-7 orang housemen dan bagi setiap wad hanya ada 1-2 housemen. Ingat lagi ketika di posting pembedahan, saya bertolak ke wad sebelum subuh dan balik hanya selepas maghrib; itu tak termasuk hari yang on call. Tidak melihat matahari terbit dan tidak juga melihat matahari terbenam selama hampir 4 bulan. Namun, posting O&G ketika itu tidak dapat menyuburkan minat saya kerana tidak banyak pengalaman yang dapat ditimba.

Detik-detik pertama bersama O&G

Tahun 1995, saya dan suami ditukarkan ke Hospital Seri Manjung, Perak. Mulanya saya ditempatkan di Jabatan Sakit Luar dan tidak lama selepas itu saya diminta masuk ke Jabatan Sakit Puan (O&G). Saya rasa ini sebenarnya adalah perancangan dan penyusunan dari Allah s.w.t yang Maha Menyusun, Mentadbir dan Mengatur perjalanan hidup hambaNya. Hanya ada 2 orang pegawai perubatan O&G di Hospital Seri Manjung; saya dan Dr M tetapi ada seorang pakar perubatan swasta yang akan memberikan perkhidmatan jika ada kes-kes yang perlu di’consult’. Bermulalah karier saya sebagai pegawai perubatan O&G. Saya ingat lagi saya disuruh belajar cepat-cepat sebab minggu depan saya sudah terpaksa melakukan on-call. Lalu saya terus naik ke bilik pembedahan kerana terpaksa belajar cara untuk melakukan Caesarean (salah satu kaedah bersalin). Kes pertama dan kedua – saya hanya melihat; dan kes ketiga – saya lakukannya!! Dr. M suruh saya buat, lalu terkial-kialah saya belajar, berpeluh–peluh untuk “scoop” kepala bayi, berpeluh-peluh pula untuk tie knot (membuat simpul di akhir jahitan). Saya masih ingat sampai sekarang bagaimana saya dimarahi oleh doktor bius (aneasthetist) kerana lambat melakukan tie knot. Lalu selepas habis kes saya duduk di bilik bersalin, ambil mop yang masih belum digunakan lagi dan belajar bagaimana melakukan tie knot. Jururawat yang melihat saya merasa kasihan lalu memberikan suture catgut yang lama dan saya terus belajar dan belajar sampai saya boleh melakukan tie knot dengan baik. Alhamdulillah saya berjaya berkhidmat kepada pesakit dengan baik selepas ketika itu.

2 tahun dalam bidang O&G membulatkan tekad saya bahawa InsyaAllah saya akan menyambung belajar dalam bidang ini kerana ia adalah adalah fardhu kifayah. Alhamdulillah, suami saya memahami dan ibu bapa memberi sokongan. Saya ingat lagi kesukaran-kesukaran yang terpaksa dialami tetapi mungkin Allah datangkan penyelesaiannya dengan rasa redha dan tenang. Satu ketika pernah saya balik pada pukul 1.30 pagi dari pembedahan, suami mendukung anak di luar rumah kerana anak yang menyusu badan ini tidak dapat ditenteramkan lagi oleh ayahnya. Hati seorang ibu menangis melihat anaknya menangis tetapi hati ini harus ditenteramkan kerana ada cita-cita yang harus dikejar. Mudah-mudahan suami saya turut berkongsi pahala saya. Dalam kejadian lain, ketika takbir di hari raya pertama, saya yang on-call terpaksa membawa Maisarah; anak sulung yang ketika itu berusia 6 bulan ke bilik bersalin untuk melalukan forcep sebab babysitter bercuti raya. (Maisarah menyaksikan dari ‘prem’nya kelahiran instrumental; nak letak dia jauh-jauh takut dia mengamuk pula!). Hati saya pilu mendengar takbir raya tetapi itulah pengorbanan yang dapat saya hulurkan ketika itu. Alhamdulillah, Allah memberikan kekuatan kepada saya melalui usrah dan daurah yang saya hadiri bersama teman-teman di Manjung.

MRCOG dan pengajian Master

Allah menyusun lagi perancangan hidup saya; Dr. M memberi borang untuk saya isikan supaya kami berdua boleh sama-sama mengambil Part 1 MRCOG. Saya kurang faham masa itu tapi atas arahan senior, saya pun mengisi borang dan membayar yuran peperiksaan. Pada masa yang sama, saya dan suami diterima masuk untuk Program Sarjana di USM. Dipendekkan cerita, saya lulus peperiksaan tersebut dan dengan adanya Part 1 MRCOG saya dikecualikan dari menduduki Part 1 Master. Sebenarnya itu juga adalah anugerah dari Allah untuk memudahkan urusan hidup saya.

Kehidupan di waktu Master O&G adalah cukup mencabar; sebagai ibu, pelajar, pekerja, daie dan lain-lain tanggungjawab. Saya terpaksa belajar menguruskan masa dengan baik dan belajar multitasking. Alhamdulillah sebenarnya kita mampu untuk melakukannya jika kita mempunyai himmah aliyah (semangat yang tinggi). Saya berkeyakinan bahawa faktor utama yang memberi himmah aliyah ini adalah kerana nawaitu dan matlamat ukhrawi. Jika di renung balik sekarang saya tahu saya tidak mampu melakukannya tanpa pertolongan dari Allah swt.

Tahun-tahun di Master adalah latihan (training) yang menuntut kekebalan jiwa dan fizikal. Setiap 4 hari wajib on call dan selepas on call kerja macam biasa. Post call bagi seorang perempuan adalah waktu yang sangat penat kerana saya juga perlu memenuhi tanggungjawab kepada anak dan suami. Saya selalu mencuri waktu di tempat kerja untuk membaca buku dan setiap pesakit yang saya rawat adalah buku saya. Atas rezeki dikecualikan dari peperiksaan Part 1 Master, di ketika kawan-kawan menduduki peperiksaan, saya membuat proposal kajian dan mencari bahan kajian yang biasanya dibuat pada tahun 2 dan 3 dan alhamdulillah ianya dapat disiapkan tanpa penagguhan.

Saya juga tidak merasakan Master adalah halangan untuk kita tidak melakukan kerja-kerja lain. Alhamdulillah saya dan suami dapat terlibat dengan pelajar universiti USM; kami biasa melakukan usrah di asrama dan di rumah. Saya bersama-sama mereka juga terlibat dalam khidmat masyarakat yang kalau diimbas kembali sekitar 1999 khidmat masyarakat dilakukan hampir sekali atau 2 kali sebulan. Saya harap adik-adik yang pernah bersama saya dalam sesi usrah masih kental dan jitu perjuangan dan kehendaknya pada Deen ini. Tidak dapat dinafikan sistem tarbiyah pada masa itu tidak sebaik dan sistematik seperti sekarang dari sudut teknikalnya tapi sentuhan dan ’basah’nya kalimah dan pesanan sentiasa menjadi pendorong dalam langkah dan tatih perjuangan.

Master juga bukanlah penghalang untuk kita menjalani kehidupan sebagai sebuah keluarga. Anak kedua, Basyirah dan ketiga, Abu Ubaidah lahir ketika saya di dalam program Master. Takkan sepanjang Master kita tak mahu menambahkan zuriat; sebab bila umur makin bertambah nanti kesuburan akan menurun pula. Memang sukar sebab sistem ketika itu ialah jika mengambil cuti bersalin (42 hari ketika itu) maka program Master perlu ditangguhkan/extend untuk 6 bulan lagi. Jadi untuk kedua-dua anak tersebut saya mengumpulkan cuti tahunan saya berjumlah 30 hari (tidak ambil sebarang cuti lain untuk tahun itu) supaya saya dapat bercuti bersalin selama 30 hari dan selepas 30 hari bila balik bekerja sudah melakukan on call. Sebenarnya sistem ini tidak baik kerana walaupun secara fizikal saya rasa sihat tetapi kasihan pada bayi yang masih kecil dan menyusu. Selalunya suami akan menjadi milkman yang akan datang mengambil susu yang diperah untuk dibawa pulang kepada bayi.

Tetapi sekarang keadaan sudah bertambah baik di mana hampir semua pegawai perubatan saya diberikan cuti selama 6 minggu dan Masternya tidak perlu ditangguhkan. Saya juga merasakan (mudah-mudahan suami juga mengiakan) bahawa saya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab kepada suami dan anak-anak. Boleh kata hampir setiap hari saya memasak kerana suami tidak suka makan di luar. Kita harus pandai menguruskan waktu dan cekap ’multitasking’. Sempat juga selalunya saya membawa ketiga-tiga anak untuk riadhah; di Kelantan (Pantai Cahaya Bulan) ada swimming pool yang mesra muslimah. Pantai Sabak dan Pantai Bachok adalah tempat yang selalu kami pergi untuk melepaskan lelah perjuangan.

Kita bukanlah superwomen dan dengan limitasi yang ada kita tidak mampu menguruskan rumahtangga dengan sendiri. Saya amat bersyukur pada Allah kerana memberi saya pembantu rumah yang baik. Sepanjang 4 tahun Master, beliau membantu menguruskan hal ehwal rumahtangga; tetapi beliau hanya membantu sahaja tetapi ’manager’nya masih saya. Urusan pendidikan anak-anak, menguruskan makan minum anak dan suami masih saya rasa tanggungjawab dan saya selesa menguruskannya sendiri. Biarlah bibik menyelesaikan urusan kebersihan rumah, mendobi dan lain-lain yang teknikal dan kita haruslah berterima kasih kepadanya yang telah membantu kita.

Tahun terakhir dalam program Master adalah mencabar; mencabar kerana saya dan suami akan menduduki peperiksaan; mencabar kerana berhadapan dengan anak-anak yang semakin membesar (6, 4 dan 1 tahun). Saya masih ingat ketika saya dan suami ke library pada study week, anak yang kedua yang memang lantang sedikit berkata, “Tak ada kerja lain ke; kerja baca buku sahaja?” Memang tersentap hati mendengarnya tetapi selepas pujuk dan selalu cerita pada anak anak bahawa ibu dan ayah ni perlu belajar supaya jadi doktor yang lebih pandai supaya boleh tolong orang; mereka selalunya faham. “Ibu kena belajar supaya dapat lahirkan bayi dengan baik dan pastikan emaknya sihat. Kasihan bayi tu kalau emak dia tak sihat, kan?” adalah ayat lazim saya pada anak-anak.

Hati ibu memang akan menangis apabila terpaksa meninggalkan anak-anak tetapi saya selalu kuatkan tekad dan keazaman. Saya akan maksimakan waktu yang ada. InsyaAllah setiap saat adalah waktu yang berharga yang perlu digunakan sebaiknya. Sebab itu waktu study memang saya gunakan baik-baik untuk melakukan study group, discussion, membaca jurnal dan sebagainya. Pada waktu yang sama, kami akan sentiasa menghadirkan diri dalam program yang telah disusun untuk tarbiyah. Mungkin keseimbangan inilah yang memberi kekuatan; ‘what you have given, you’ll get back’. Akhirnya kami lulus dalam peperiksan Master. Saya menjadi pelajar terbaik bagi bidang saya ( O&G) dan suami saya menjadi pelajar terbaik bagi bidang yang beliau ceburi.

Masa kini

Banyak lagi yang ingin saya kongsikan dengan adik-adik sekalian tetapi mungkin pada lain kali. Perjuangan ini belum selesai dan setiap hari kita perlu hidupkan jiwa pejuang kita. Saya kini telah 11 tahun menjadi pakar dan saya akan terus berada di sini untuk mendidik dan melatih supaya lahir di sana jiwa-jiwa yang kental dan tabah serta mempunyai ilmu yang mantap bukan sahaja sebagai pakar sakit puan tetapi lebih dari itu sebagai seorang wanita beriman.

Saya bersetuju dengan resolusi Prof Zainurrashid;

  1. Saya berharap lebih ramai doktor-doktor muda muslimah yang akan menceburi bidang ini.
  2. Sokongan suami dan keluarga (doktor muslimah ini) adalah sangat penting dan inilah di antara faktor yang memungkinkan doktor pakar wanita terus berkorban untuk memberikan khidmat bakti kepada masyarakat wanita yang memerlukan mereka. Secara peribadi saya pasti suami akan menyokong jika tanggungjawab sebagai isteri dan ibu tidak kita abaikan. Jadilah wanita yang kuat dan memahami awlawiyatnya. Buktikan diri anda baik dan boleh berhadapan dengan cabaran, pasti suami akan redha dengan perjuangan anda. Jika anda berkeluh kesah, mengadu domba segala kepayahan dan kesukaran pasti suami yang menyayangi anda tidak redha anda berada dalam kesusahan dan kepayahan, maka pasti akan bersikap antagonis.
  3. Pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan mestilah mempunyai strategi dan perancangan yang tersusun bagi memenuhi keperluan umat Islam ini. Saya berdoa di beri kekuatan oleh Allah swt supaya terus berada di sini dan menjadi mereka yang terlibat dalam membuat polisi-polisi dalam KKM.

… dan resolusi-resolusi yang lain.

Sebagai tambahan, saya rasa adik-adik perlu sentiasa memperbetulkan niat; sentiasa berdoa kepada Allah supaya Allah memberi kita kekuatan; sentiasa menghormati dan menghargai suami, anak-anak dan keluarga; sentiasa menghargai masa yang ada dan menggunakannya sebaik-baiknya; sentiasa sistematik dalam bekerja dan belajar; sentiasa belajar untuk multitasking; sentiasa meniupkan ruh perjuangan dalam diri anak-anak; sentiasa memahamkan anak-anak bahawa ibu berkerja bukan untuk ‘mendapat ganjaran’ tetapi memberi pertolongan untuk orang lain dan sentiasa muhasabah serta audit setiap kejadian. Semoga perkongsian ini dapat dimanafaatkan oleh mereka yang masih terfikir-fikir tentang masa depannya dalam bidang perubatan. Yang baik dari Allah swt.

p/s: Jom LIKE Facebook I-Medik Kedah!

2 thoughts on “Isteri, ibu, da’i dan pakar perbidanan sakit puan

  1. Subhanallah.. Barakallahu fikum Dr Murizah sekeluarga.. Inspired and motivated. Hasbuballah wa nikmal wakil..

  2. subhanallah..Dr Murizah & family..sangat kental.. Moga lahir generasi seperti Dr. 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *