Jangan ketepikan sunnah terbesar Rasulullah

ustaz fauzi

ALOR SETAR, 30 Dis – Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Muhammad Fauzi bin Asmuni menggesa umat Islam agar tidak mengenepikan sunnah terbesar Rasulullah s.a.w.

Ujarnya, sunnah terbesar baginda ialah memperjuangkan agama Islam yang menjadi teras kepada sepanjang kehidupan baginda.

“Dakwah, amar ma’ruf nahi mungkar, melawan musuh Islam, menegakkan agama dan undang-undang Islam ialah tugas-tugas dalam memperjuangkan agama.

Menurutnya lagi, berkembangnya agama Islam ke seluruh Tanah Arab dan ke serata dunia ialah kerana para sahabat, tabi’in dan generasi selepasnya amat memahami hakikat sunnah terbesar ini.

“Sahabat Nabi seperti Abu Bakar r.a, faham sunnah ini lantas menunaikan dakwah sehingga berjaya mengislamkan 5 orang sahabat lain yang akhirnya dijanjikan Allah sebagai antara yang dijamin masuk syurga.

“Sahabat lain ialah Abu Dzar al-Ghifari yang kita mungkin hanya kenal dengan kezuhudan dan kesufiannya, padahal beliau faham benar dengan sunnah terbesar Rasulullah s.a.w. lalu berjaya mengislam seluruh kaumnya.

“Seorang lagi ialah Muawiyah bin Abu Sufyan, sahabat yang bukan dari kalangan awal memeluk Islam, dia berusaha merealisasikan ideanya mewujudkan tentera laut Islam kerana dia yakin sumbangannya ini mampu menjadikan dirinya setanding dengan para sahabat lain yang lebih awal beramal dengan sunnah terbesar Rasulullah s.a.w,” kata Ustaz Muhammad Fauzi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pengisian dalam program Usrah Umum anjuran Isma Cawangan Alor Setar, semalam.

Menurutnya lagi, masyarakat Islam sekarang keliru dalam mengutamakan sunnah Rasulullah s.a.w.

“Banyak sunnah yang Rasulullah ajarkan untuk kita ikuti, tetapi masyarakat kita tidak tahu yang mana lebih utama.

“Realiti di Malaysia pula, gerakan Evangelis, fahaman liberalisme, kumpulan yang mahu mengubah status Malaysia sebagai negara Islam, lihatlah adakah seluruh umat Islam menganggap melawan golongan-golongan ini sebagai sunnah terbesar Rasulullah s.a.w.?

“Ada juga segelintir masyarakat kita yang ‘terlebih dos’ dalam mengamalkan satu-satu sunnah, ada juga yang hanya melaksanakan sunnah yang bersifat ‘komersil’ seperti meminum jus kurma dan sebagainya, tetapi dakwah dan menegakkan Islam diketepikan,” ujarnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *