Jauhkan diri dan keluarga dari seksa neraka – Ustaz Fisol

BANDAR DARUL AMAN, 7 Disember – “Peliharalah diri dan ahli keluarga dari balasan neraka.” Demikian pesan Ustaz Fisol bin Md Isa, ketua Biro Tarbiyah ISMA Alor Setar apabila memulakan kuliah tafsir mingguan di Taman Tunku Sarina II di sini, malam tadi.

Membicarakan ayat ke-6 daripada tafsir Surah at-Tahrim yang bermaksud,

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

Ustaz Fisol menasihati hadirin khususnya para suami agar menjaga ahli keluarga masing-masing daripada terjebak dengan perkara-perkara yang boleh membawa kepada kemungkaran. “Kesungguhan melindungi ahli keluarga daripada api neraka adalah umpama kesungguhan menyelamatkan isteri dan anak-anak sendiri apabila rumah terbakar,” jelas Ustaz Fisol.

Turut dihuraikan dalam kuliah kali ini adalah tafsir ayat ke-8, bahawa taubat bermula dengan penyesalan terhadap dosa yang dilakukan dan berakhir dengan beramal soleh, yakni meninggalkan amal dosa yang lalu.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ” Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, …”

Ustaz Fisol berkata lagi, taubat nasuha adalah taubat dengan bersungguh-sungguh dengan hati dan air mata, bukan hanya berzikir taubat di bibir tanpa memahami maksud dan nilai ucapan taubat yang dizahirkan.

Kuliah tafsir Ustaz Fisol diadakan di Surau Taman Tunku Sarina II di sini pada setiap hari Rabu selepas Maghrib, kecuali minggu terakhir setiap bulan. Justeru itu, muslimin muslimat dianjurkan hadir untuk sama-sama memahami isi al-Quran.

Media ISMA Alor Setar

One thought on “Jauhkan diri dan keluarga dari seksa neraka – Ustaz Fisol

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *