Juzuk 1: Perihal mukmin, kafir, munafiq dan Yahudi

Juzuk pertama dalam al-Quran merangkumi Surah al-Fatihah dan Surah al-Baqarah dari ayat 1 hingga ayat 141.

Surah al-Baqarah dimulakan dengan pencirian sebenar yang Allah s.w.t. gambarkan buat generasi pertama umat Islam yang sedia sudi memikul beban dakwah dan jihad Islam bersama Rasulullah s.a.w. Mereka inilah golongan Muhajirin dan Ansar yang merupakan pelapis terawal yang akan membentuk dan menentukan hala tuju masyarakat Islam di Madinah.

Asas keimanan mereka diceritakan melalui ayat-ayat pertama surah al-Baqarah:

“Alif, Lam, Mim. Kitab al-Quran ini tiada padanya sebarang keraguan. Ia memberi hidayah kepada orang-orang yang bertaqwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada yang ghaib, mendirikan solat dan menginfaqkan sebahagian rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka. Dan orang yang beriman kepada wahyu yang diturunkan kepadamu dan kepada wahyu yang diturunkan sebelummu, dan mereka yakin terhadap Hari Akhirat. Merekalah orang-orang yang mendapat hidayah dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang untung.” (Ayat 1 – 5)

Selepas itu, surah ini beralih sedikit demi sedikit kepada golongan lain yang ada pada masa itu. Ia dimulakan dengan perihal sifat-sifat asas orang-orang kafir dan asas-asas kekufuran mereka. Tetapi ia terlebih dahulu menjelaskan sifat orang-orang kafir yang dihadapi oleh dakwah Islamiyah pada masa itu sama ada di Mekah atau di sekitar Madinah sendiri. Mereka ini adalah orang-orang kafir dari berbagai-bagai puak:

“Sesungguhnya orang-orang kafir itu sama sahaja kepada mereka sama ada engkau memberi amaran kepada mereka atau tidak memberi amaran, mereka tetap tidak beriman, …” (Ayat 7)

Kemunculan golongan munafiqin hanya berlaku di Madinah apabila Islam mula bertapak kukuh dan tidak dapat ditentang secara berdepan lagi seperti di Mekah dahulu. Berbandin di Mekah yang terdiri daripada saf-saf orang Islam yang ikhlas dalam aqidah mereka sahaja, tetapi di Madinah ini, Islam telah menjadi kuasa yang diperhitungkan oleh setiap orang. Sedikit demi sedikit orang-orang munafiqin ini muncul terutamanya selepas Peperanga Badar yang memihak kepada tentera Islam. Penjelasan mengenai orang-orang munafiqin disebut dalam beberapa ayat seperti:

“Di antara menusia ada yang berkata: Kami telah beriman kepada Allah dan kepada Hari Akhirat, sedangkan sebenarnya mereka tidak beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, sedangkan mereka tidak mampu menipu melainkan kepada diri mereka sendiri, tetapi mereka tidak sedar. Di dalam hati mereka ada penyakit, … (Ayat 8 – 10 dan seterusnya)

Di tengah-tengah kecaman terhadap golongan munafiqin ini, disentuh pula tentang perihal golongan Yahudi yang telah lama wujud di muka bumi ini. Mereka ini masih mendakwa diri mereka sebagai umat terpilih, adalah penyebab pertelingkahan antara suku ‘Aus dan Khazraj, memporak-perandakan Yathrib dan Tanah Arab, malah membunuh para nabi dan rasul yang telah diutuskan kepada mereka sebelum ini.

Dendam Yahudi terhadap Rasulullah s.a.w. pula timbul kerana dua perkara – 1) kerana Allah memilih Muhammad s.a.w. yang bukan dari kalangan Yahudi sebagai Nabi dan Rasul dan menurunkan kitab suci kepadanya, dan 2) beliau mendapat kejayaan yang begitu cepat dan menyeluruh dalam lingkungan persekitaran di Madinah. Mereka juga turut berasa terancam kerana dipencilkan daripada masyarakat umum kerana selama ini merekalah yang memimpin dan mempengaruhi pemikiran umum, menjalankan kegiatan riba dan memperoleh keuntungan berlipat ganda.

“Wahai bani Isreel, kenangilah nikmat yang telah Aku kurniakan kepada kamu dan sempurnakanlah perjanjian kamu dengan-Ku, nescaya Aku sempurnakan perjanjian-Ku dengan kamu, dan takutlah kepada-Ku. …” (Ayat 41 – 44 dan seterusnya)

Selepas memperingatkan kisah lampau mereka bersama Nabi Musa, perjanjian mereka, kekufuran mereka terhadap nikmat-nikmat yang telah Allah berikan, Allah s.w.t. memberi peringatan pula kepada orang-orang Islam agar berwaspada terhadap golongan Yahudi ini. Ini disentuh dalam kebanyakan ayat seperti ayat 75, 76, 80, 89, 101 dan banyak lagi. Allah s.w.t. turut merakamkan sifat-sifat orang Yahudi yang kekal sehingga sekarang.

Setelah memperkenalkan ciri orang mukminin, orang munafiqin, orang kafir dan singgungan halus terhadap orang Yahudi, surah ini menyeru umat manusia supaya menyembah Allah s.w.t. dan beriman kepada al-Quran yang diturunkan kepada Muhammad s.a.w., dan mencabar mereka yang ingar agar membuat satu surah yang setanding dengan kitab Allah itu.

Kisah asal pertarungan antara manusia Muslim (Nabi Adam) dan iblis syaitan turut diceritakan. Pertarungan ini hanya tamat apabila tamatnya zaman manusia menjadi khalifah, atau tamatnya zaman keimanan.

Juzuk ini berhir dengan siri penjelajahan yang luas dan lebar bersama Bani Israel, diselangi dengan seruan agar mereka kembali kepada Allah dan ingatan terhadap penyelewengan serta kekeliruan yang telah mereka lakukan.

Rujukan: Syed Qutb – Fi Zilalil Quran

Oleh:
Fakhruddin Afif Fauzi
Ketua Biro Belia
ISMA Alor Setar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *