Juzuk 10: Martabat umat Islam lebih tinggi

Juzuk 10 terbahagi kepada bahagian terakhir surah al-Anfal dan bahagian pertama surah at-Taubah.

Bahagian terakhir surah al-Anfal menceritakan perihal harta rampasan perang Badar Kubra dengan lebih terperinci. Ia menjelaskan hukum-hukum Allah yang berhubung dengan harta ini setelah persoalan tentang hal ini diajukan kepada Allah dan Rasul-Nya. Seterusnya Allah melalui wahyu ini mengajak manusia agar kembali beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan-Nya pada Hari Furqan atau hari pemisahan antara haq dan batil, atau antara tentera Islam dan tentera kafir.

“Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir yang keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada “Hari Al-Furqaan”, iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Ayat 41)

Allah mendedahkan segala perencanaan pentadbiran  dalam peperangan yang menghasilkan harta rampasan itu sambil menayangkan beberapa situasi dan gambaran peperangan itu. Tidak lain tidak bukan, tentera Islam bertindak sebagai alat dan tabir kepada perencanaan Allah, seterusnya memberi dorongan kepada umat Islam agar berjuang dengan hati yang teguh dan sentiasa mengingati Allah, mentaati-Nya dan rasul-Nya serta tidak bertelingkah sesama sendiri.

“Dan (amatlah ngerinya) kalau engkau melihat (wahai orang yang memandang), ketika malaikat mengambil nyawa orang-orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka (sambil berkata): “Rasalah kamu azab seksa neraka yang membakar”.” (Ayat 50)

Turut disentuh hubungan antara sesama kelompok Muslimin dan kumpulan-kumpulan penganut Islam tetapi masih belum berhijrah, hubungan golongan Muslimin dengan kumpulan kafir dalam keadaan-keadaan tertentu dan beberapa asas perhubungan lagi.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan.” (Ayat 72 dan seterusnya)

 **********

 Surah at-Taubah bahagian pertama ataupun secara keseluruhannya menceritakan pemutus akhir berkenaan hubungan antara umat Islam dengan umat-umat lain di muka bumi. Berkait dengan itu, martabat, fasa, langkah-langkah dan tatacara perhubungan Islam dengan bukan Islam disentuh dalam surah ini yang akhirnya menjelaskan sejauh mana fleksibiliti atau ketegasan yang mesti dipatuhi oleh setiap individu Muslim apabila berhubungan dengan orang bukan Islam.

“Dan inilah perisytiharan dari Allah dan RasulNya kepada umat manusia, (diisytiharkan) pada Hari Raya Haji yang terbesar, bahawa sesungguhnya Allah dan RasulNya memutuskan tanggungjawab terhadap orang-orang musyrik; oleh itu jika kamu (wahai kaum musyrik) bertaubat (dari kufur) maka yang demikian adalah baik bagi kamu; dan jika kamu berpaling (ingkar), maka ketahuilah sesungguhnya kamu tidak akan dapat melepaskan diri dari (azab seksa) Allah. Dan khabarkanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir (bahawa mereka akan ditimpakan) dengan azab yang tidak terperi sakitnya.” (Ayat 3)

“Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam).” (Ayat 6)

Orang yang mengkaji peristiwa-peristiwa Sirah Nabawiyah untuk melihat kejadian bersejarah bagi tatacara pergerakan Islam, juga mengakji tabiat tatacara ini, fasa-fasanya dan matlamat-matlamatnya akan melihat dengan jelas bahawa langkah yang tegas dalam perhubungan-perhubungandi antara kem Islam di Semenanjung Tanah Arab dengan seluruh kem kaum Musyrikin, juga di antara kem Islam dengan kem ahli-ahli kitab yang dijelaskan dalam surah ini adalah satu langkah yang tepat pada masanya, di mana dunia telah bersedia untuk menerimanya dan langkah ini pasti merupakan langkah yang tabi’i yang pasti diambil tepat pada masanya.

Justeru pengalaman demi pengalaman yang kelompok Islam ini hadapi semenjak sekian lama telah melahirkan undang-undang yang boleh mengawal perhubungan mereka dengan kelompok lain. Dinyatakan 2 kesan utama yang terhasil akibat adanya undang-undang ini.

Pertama: Islam dapat mengorak langkah, peringkat demi peringkat untuk mengembangkan sistem hidup ciptaan Allah ke seluruh muka bumi.

Kedua: Pembatalan perjanjian-perjanjian dengan kem-kem jahiliyah dalam berbagai-bagai situasi pada peluang masa yang baik.

“Tidaklah layak orang-orang kafir musyrik itu memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah, sedang mereka menjadi saksi (mengakui) akan kekufuran diri mereka sendiri. Mereka itu ialah orang-orang yang rosak binasa amal-amalnya dan mereka pula kekal di dalam neraka.” (Ayat 17)

“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” (Ayat 18)

Rujukan: Syed Qutb – Fi Zilalil Quran

Oleh:
Fakhruddin Afif Fauzi
Ketua Biro Belia
ISMA Alor Setar

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *