Juzuk 3: Perihal ahli kitab

Juzuk 3 al-Quran merangkumi baki terakhir surah al-Baqarah dan bahagian pertama surah Ali ‘Imran. Baki surah al-Baqarah masih bertemakan seperti apa yang telah diceritakan dalam Juzuk 2.

Fokus utama juzuk 3 ini ditumpukan kepada surah Ali ‘Imran. Ayat 1 hingga 83 surah ini banyak berkisarkan tentang debat, dialog, kecaman, dakyah dan tipu daya golongan ahli kitab terhadap orang-orang Islam yang masih mencari tapak dalam membentuk satu tamadun. Contoh-contoh ayat diberikan di bawah:

“Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang (Yahudi) yang telah diberikan sebahagian dari Kitab Taurat, mereka diseru kepada Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan hakim (mengenai perkara-perkara yang timbul) di antara mereka. Ahli-ahli satu puak dari mereka berpaling ingkar sambil menolak (seruan dan hukum Kitab Allah itu).” (Ayat 23)

“Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (Ketua-ketua ugamanya) yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah dari Kitab itu. Dan mereka pula berkata: “(bahawa) ia adalah (datangnya) dari sisi Allah”, padahal ia bukanlah dari sisi Allah; dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).” (Ayat 78)

Syed Qutb menggambarkan kesemua perkara yang disebut dalam surah ini boleh dikumpulkan menjadi tiga garis lebar (atau perkara pokok) yang utama, iaitu:

Garis pertama menjelaskan hakikat agama atau ad-Deen adalah mengikut apa yang Allah hendak dan arahkan. ad-Deen bukan sekadar iktiqad mengenai Allah semata-mata, tetapi ia mestilah sempurna dan bersih dari segi tauhid uluhiyah juga. Justeru itu, hanya agama Islamlah yang diterima pakai oleh Allah, dan bersekali dengan berhakimkan dengan kitab-kitab Allah. Islam yang disebut ialah agama, kepercayaan dan tingkah laku yang selaras dengan hakikat tauhid rububiyah dan uluhiyah.

“Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.” (Ayat 19)

Garis kedua ialah berkaitan gambaran keadaan kaum Muslimin dengan Tuhan mereka, iaitu bagaimana mereka menyerahkan diri kepada Allah. Ketaatan, kepatuhan dan ikutan dengan hemat adalah ciri-ciri yang ditunjukkan.

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.” (Ayat 8)

“Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah ia:” Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?”. Orang-orang “Hawariyyuun” (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: “Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah).” (Ayat 52)

Garis ketiga ialah tentang amaran supaya tidak mengambil orang-orang bukan Mukmin sebagai sahabat setia dan supaya memandang enteng kepada orang-orang kafir. Seterusnya ia menjelaskan tiada wujud keimanan terhadap Allah sekiranya ahli-ahli kitab diterima sebagai sahabat setia tanpa berlandaskan kitab dan sistem Allah.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.” (Ayat 100)

“Segolongan dari Ahli Kitab suka dan berangan-angan kiranya mereka dapat menyesatkan kamu; padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri, dan mereka pula tidak menyedari (akibat yang buruk itu).” (Ayat 69)

Rujukan: Syed Qutb – Fi Zilalil Quran

Oleh:
Fakhruddin Afif Fauzi
Ketua Biro Belia
ISMA Alor Setar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *