Juzuk 4: Penyingkiran jahiliyah daripada masyarakat Islam pertama

Juzuk 4 terdiri daripada bahagian terakhir surah Ali Imran dan bahagian pertama surah an-Nisa. Surah Ali Imran di bahagian akhir ini tidak lari daripada 4 garis lebar atau pokok perbincangan utama yang telah disebutkan sebelum ini.

Surah an-Nisa diturunkan di Madinah dan merupakan surah kedua terpanjang selepas surah al-Baqarah. Surah an-Nisa menggambarkan sebahagian daripada usaha yang dicurahkan oleh Islam dalam membina kelompok Muslim dan membentuk masyarakat Islam, juga dalam langkah-langkah melindungi dan memelihara masyarakat tersebut.

Surah ini mempunyai sentuhan menjelaskan tabiat sistem hidup Rabbani yang menjadi tapak kukuh kelompok Muslimin dan menjelaskan asas-asas, nilai-nilai dan neraca-nerasa pertimbangan yang terbit dari kefahaman, seterusnya menimbulkan tugas dan amanah agama yang mesti dipikul di muka bumi.

Surah ini seperti bekerja keras untuk menyingkirkan segala jenis jahiliyah diri dan sistem kehidupan masyarakat Islam terawal ini, kerana mesyarakat Islam ini terbit daripada masyarakat jahiliyah. Keladak-keladak jahiliyah ini bertarung dengan sistem hidup yang baru, nilai-nilai yang baru dan pertimbangan-pertimbangan yang baru, dan sebagainya.

Pada masa yang sama juga surah ini berusaha memindahkan nilai kelompok Muslimin yang dipungut dari kaki bukit ke kemuncak yang tertinggi dengan tatacara hidup yang Rabbani. Peraturan dan undang-undang Islam diwahyukan agar kelompok Muslimin yang telah sedia dengan asas yang kukuh terus menjadikan tatacara hidup yang Rabbani sebagai amalan.

Antara perkara yang disebut dalam surah ini martabat wanita, …

Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.” (Ayat 4)

hukuman terhadap jenayah zina dan hubungan sejenis, …

“Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka. Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka sampai ajal matinya, atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (dari hukuman itu).” (Ayat 15)

“Dan (mana-mana) dua orang lelaki di antara kamu yang melakukan perbuatan yang keji itu, (setelah sabit kesalahannya) maka hendaklah kamu menyakiti keduanya; kemudian jika mereka bertaubat dan memperbaiki keadaan diri mereka (yang buruk itu), maka biarkanlah mereka; kerana sesungguhnya Allah adalah sentiasa Menerima taubat, lagi Maha Luas rahmatNya.” (Ayat 16)

pembahagian pusaka, …

“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Ayat 11)

perihal perkahwinan dan beberapa lagi.

Rujukan: Syed Qutb – Fi Zilalil Quran

Oleh:
Fakhruddin Afif Fauzi
Ketua Biro Belia
ISMA Alor Setar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *