Juzuk 6: Iktiqad yang benar, peranan yang sebenar

Juzuk 6 terdiri daripa bahagian akhir surah an-Nisa dan bahagian pertama surah al-Maidah. Surah an-Nisa, perbicaraannya masih bertemakan pokok yang serupa seperti yang dinyatakan dalam juzuk 4 dan juzuk 5 sebelum ini.

Surah al-Maidah berlatar belakangkan tema penceritaan dan maudhu’ yang serupa seperti surah an-Nisa dan surah ali Imran. Masih berkisarkan tentang hukum-hakam dan perihal ahli kitab, surah ini disebut mempunyai tiga perkara utama yang ingin dibincangkan.

Yang pertama ialah tentang membina kefahaman iktiqad yang betul dan menjelaskan penyelewengan-penyelewengan yang membabitkan iktiqad dalam kalangan kaum ahli kitab dan kaum jahiliyah.

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar ugama Allah, dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci); …” (Ayat 2)

Yang kedua ialah konsep agama yang benar – berpegang dengan aktiqad yang betul, taat kepada Allah dan menerima dari Allah sahaja segala hukum halal dan haram, mengadili dan memerintah dengan menggunakan peraturan-peraturan yang diturunkan Allah sahaja tanpa membuat sebarang pindaan, pengubahan atau penukaran.

“Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.” (Ayat 48)

Yang ketiga ialah tentang kedudukan Muslimin itu sendiri – peranan mereka yang sebenar di muka bumi ini, sikap mereka terhadap musuh-musuh mereka di samping mendedahkan musuh-musuh itu dan tipudaya mereka yang jahat terhadap umat Muslimin dan agama Islam, serta penerangan terhadap segala penyelewengan dan kesesatan yang berlaku dalam aqidah musuh-musuh mereka.

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.” (Ayat 51)

“Dan mereka juga menyangka bahawa tidak akan berlaku sebarang bencana, lalu mereka membutakan mata dan memekakkan telinga, kemudian Allah menerima taubat mereka, setelah itu kebanyakan dari mereka membutakan mata dan memekakkan telinga lagi. Padahal Allah Maha Melihat akan apa yang mereka lakukan.” (Ayat 71)

Rujukan: Syed Qutb – Fi Zilalil Quran

Oleh:
Fakhruddin Afif Fauzi
Ketua Biro Belia
ISMA Alor Setar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *