Juzuk 7: Hakikat Allah s.w.t.

Juzuk 7 dimulakan dengan bahagian akhir surah al-Maidah yang menceritakan saki-baki perbicaraan berdasarkan pokok-pokok perbicaraan yang telah disebut sebelum ini. Surah dalam jzuk ini dmulakan tentang adanya puak-puak bukan Islam yang pada asalnya menentang Islam dan dakwah Islam namun akhirnya menerima Islam dengan penuh redha – dengan asbab mereka mahukan syurga Allah!

“Dan apabila mereka mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad, s.a.w), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w).” (Ayat 83)

“Dan tidak ada sebab bagi kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran (Al-Quran) yang sampai kepada kami, padahal kami ingin (dengan sepenuh-penuh harapan), supaya Tuhan kami memasukkan kami (ke dalam Syurga) bersama-sama orang-orang yang soleh” (Ayat 84)

“Lalu Allah memberikan pahala kepada mereka disebabkan (pengakuan iman yang ikhlas) yang telah mereka ucapkan, (iaitu mereka dibalas dengan) Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka pula tetap kekal di dalamnya. Dan yang demikian itu, adalah balasan orang-orang yang berusaha berbuat kebaikan.” (Ayat 85)

Seterusnya beberapa pengisytiharan dibuat – penghapusan saki-baki tradisi jahiliyah dan peraturan-peraturan yang ditinggalkan oleh aqidah syirik dan paganismenya, …

“Allah tidak sekali-kali mensyariatkan Bahirah, tidak juga Saa’ibah, tidak juga Wasilah dan tidak juga Haam. Akan tetapi orang-orang kafir itu sentiasa mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah; dan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal fikirannya” (Ayat 103)

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (Al-Quran), dan kepada RasulNya (yang menyampaikannya)”, mereka menjawab: “Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya”. Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk?” (Ayat 104)

ingatan bahawa umat Muslimin mempunyai keperibadiannya yang tersendiri yang membezakan mereka dengan umat-umat yang lain, serta bersoalan perundangan berkaitan saksi wasiat dalam kes permusafiran sama ada berdagang mahupun berjihad.

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila salah seorang di antara kamu hampir mati, ketika (ia mahu) berwasiat, hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu, atau dua orang lain (yang bukan seugama) dengan kamu, jika kamu dalam pelayaran di muka bumi lalu kamu ditimpa bencana sakit yang membawa maut. Kalau kamu ragu-ragu tentang kejujuran kedua saksi itu, hendaklah) kamu tahan mereka sesudah selesai sembahyang, kemudian mereka (disuruh) bersumpah dengan nama Allah (dengan berkata …” (Ayat 106)

**********

Juzuk 7 seterusnya disambung dengan bahagian pertama surah al-An’am. Surah ini merupakan surah Makkiyah yang memperkatakan satu persoalan sahaja, tetapi cara pembentangannya seolah-olah dilihat tidak berulang-ulang. Begitulah kehebatan al-Quran yang mempunyai kaedah, gaya bahasa dan uslub yang berbeza untuk membicarakan satu-satu perkara.

Persoalan yang mahu disebut dalam surah ini ialah tentang persoalan aqidah yang difokuskan pada dasarnya yang pokok, iaitu dasar Uluhiyah, dasar Rububiyah dan perkaitan di antara kedua-duanya.

“Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan gelap dan terang; dalam pada itu, orang-orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka.” (Ayat 1)

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Patutkah aku mengambil (memilih) pelindung yang lain dari Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan Ia pula yang memberi makan dan bukan Ia yang diberi makan?” Katakanlah: “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menjadi orang yang pertama sekali menyerah diri kepada Allah (Islam), dan (aku diperintahkan dengan firmanNya): `Jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan orang-orang musyrik itu. ‘ ” (Ayat 14)

“Bertanyalah (wahai Muhammad): “Apakah sesuatu yang lebih besar persaksiannya?” (Bagi menjawabnya) katakanlah: “Allah menjadi Saksi antaraku dengan kamu, dan diwahyukan kepadaku Al-Quran ini, supaya aku memberi amaran dengannya kepada kamu dan juga (kepada) sesiapa yang telah sampai kepadanya seruan Al-Quran itu. Adakah kamu sungguh-sungguh mengakui bahawa ada beberapa tuhan yang lain bersama-sama Allah?” Katakanlah: “Aku tidak mengakuinya”. Katakanlah lagi: “Hanyasanya Dia lah sahaja Tuhan Yang Maha Esa, dan sesungguhnya aku adalah berlepas diri apa yang kamu sekutukan (dengan Allah Azza Wa Jalla)”.” (Ayat 19)

Rujukan: Syed Qutb – Fi Zilalil Quran

Oleh:
Fakhruddin Afif Fauzi
Ketua Biro Belia
ISMA Alor Setar

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *