Juzuk 8: Aqidah yang benar untuk setiap umat

Baki Surah al-An’am dalam juzuk 8 ini masih bertemakan permbicaraan tentang aqidah uluhiyah dan rububiyah. Ditekankan contoh-contoh yang melibatkan persoalan halal dan haram, nazar dan amalan seharian lain yang melingkari ruh-ruh baru Islam yang masih dikelilingi ataupun diselaputi amalan-amalan jahiliyah.

Allah Maha Mencipta, Allahlah yang memberi rezeki, Allah jualah yang menghidup dan mematikan: inilah poin-poin yang sentiasa disebut dalam surah al-An’am ini.

Benra, jahiliyah Arab tidak pernah menafikan kewujudan Allah dan tidak pula menjadikan tuhan lain sama dengan Allah, malah mereka menjadikan tuhan-tuhan lain itu lebih rendah pangkatnya dari Allah. Mereka hanya menjadikan tuhan-tuhan yang lebih rendah martabatnya itu sebagai perantara yang boleh merapatkan lagi perdampingan mereka dengan Allah. Di sinilah sebenarnya perbuatan syirik mereka dengan Allah, dan disebabkan perbuatan inilah mereka digelar golongan Musyrikin.

Golongan ini juga turut mencipa undang-undang dan peraturan seharian berdasarkan neraca fikiran mereka sendiri, lantas didakwanya segala peraturan itu sebagai syariat daripada Allah. Namun, golongan Musyrikin ini tidak mendabik dada mahupun bangga dengan apa yang mereka lakukan ini kerana sifat angkuh dan ujub ini belum adal lagi pada diri mereka. Antara contoh undang-undang yang mereka cipta ialah mengenai nazar dan membunuh anak perempuan.

“Dan mereka (orang-orang musyrik) memperuntukkan dari hasil tanaman dan binatang-binatang ternak yang diciptakan oleh Allah itu, sebahagian bagi Allah (dan sebahagian lagi untuk berhala-berhala mereka), lalu mereka berkata: Ini untuk Allah – menurut anggapan mereka – dan ini untuk berhala-berhala kami.” Kemudian apa yang telah ditentukan untuk berhala-berhala mereka, maka ia tidak sampai kepada Allah (kerana mereka tidak membelanjakannya pada jalan Allah), dan apa yang telah ditentukan untuk Allah, sampai pula kepada berhala-berhala mereka (kerana mereka membelanjakannya pada jalan itu). Amatlah jahatnya apa yang mereka hukumkan itu.” (Ayat 136)

 “Dan demikianlah juga (jahatnya) ketua-ketua yang orang-orang musyrik itu jadikan sekutu bagi Allah, menghasut kebanyakan dari mereka dengan kata-kata indah yang memperlihatkan eloknya perbuatan membunuh anak-anak mereka, untuk membinasakan mereka, dan untuk mengelirukan mereka nengenai ugama mereka. Dan kalau Allah kehendaki, nescaya mereka tidak melakukannya. Oleh itu biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan itu.” (Ayat 137)

 Hakikat yang sebenarnya ialah adanya syaitan di sebalik segala penyelewengan aqidah dan peraturan hidup manusia yang diubah-ubah menjadi porak-peranda itu.

“…Makanlah dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu, dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Ayat 142)

**********

Surah al-A’raf, seperti surah al-An’am juga menceritakan perihal aqidah dan hakikat aqidah yang benar dalam menghadapi kehidupan jahiliyah di sekelilingnya. Walau bagaimanapun, maudhu’ atau kaedah pembicaraan mengenai aqidah ini amat berberza di antara kedua-dua surah ini.

Surah al-A’raf menggunakan kaedah atau pendekatan sejarah perjalanan iman yang luhur – bermula dari alam Syurga dan alam al-Malaul A’la kemudian kembali ke titik tolaknya semula. Ia menayangkan perjalanan iman dari zaman Nabi Adam a.s. hingga ke zaman Nabi Muhammad s.a.w.. Ia mengisahkan bagaimana angkatan iman yang dikepalai rasul ini membawa aqidah yang benar ini di sepanjang sejarah kehidupan manusia, dari generasi ke generasi, menghadapi satu persatu umat yang pelbagai karenah, menyaksikan ganjaran dan akibat mereka yang bersama mahupun yang menolak aqidah yang dibawa.

“Dan berapa banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang azab seksa Kami menimpa penduduknya pada malam hari, atau ketika mereka berehat pada tengah hari.” (Ayat 4)

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud.” (Ayat 11)

Penggunaan “Wahai anak-anak Adam” seolah-olah mengingatkan generasi manusia seterusnya agar sentiasa mengenang kembali apa yang telah berlaku kepada nenek moyang mereka ini sebelum ini yang menghadapi syaitan yang amat degil.

“Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya….” (Ayat 26)

“Wahai anak-anak Adam! Jika datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu yang menceritakan kepada kamu ayat-ayat (perintah) Ku, maka sesiapa yang bertaqwa dan memperbaiki amalnya, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (Ayat 35)

Aqidah ini diperkenalkan semula kepada satu persatu umat manusia …

“Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah ia: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar (hari kiamat)” (Ayat 59)

“Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya? … ” (Ayat 65)

“Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya….” (Ayat 73)

“Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?” (Ayat 80)

“Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syuaib. Ia berkata: “Wahai kaum sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya….” (Ayat 85)

Rujukan: Syed Qutb – Fi Zilalil Quran

Oleh:
Fakhruddin Afif Fauzi
Ketua Biro Belia
ISMA Alor Setar

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *