Juzuk 9: Yang haq bertemu yang batil

Surah al-A’raf disimpulkan kisah-kisah pertembungan angkatan aqidah yang diketuai setiap rasul – Nuh, Hud, Soleh, Lut dan Syuaib dengan beberapa potong ayat:

“Negeri-negeri (yang telah Kami binasakan) itu, Kami ceritakan sebahagian dari khabar beritanya kepadamu (wahai Muhammad); dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan keterangan-keterangan yang nyata (mukjizat), sesudah itu mereka tidak juga beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya dahulu. Demikianlah Allah meteraikan di atas hati orang-orang yang kafir.” (Ayat 101)

“Dan Kami tidak mendapati bagi kebanyakan mereka sebarang janji (yang ditepati), dan Kami tidak mendapati kebanyakan mereka melainkan orang-orang yang fasik.” (Ayat 103)

Baki surah ini dalam Juzuk 9 diambil alih secara hampir keseluruhannya oleh kisah Musa dan Bani Israel. Kisah Bani israel merupakan kisah yang paling banyak disebut dalam al-Quran. Dalam surah ini, ia bermula dengan …

“Kemudian Kami mengutuskan Nabi Musa selepas Rasul-rasul itu, dengan membawa ayat-ayat Kami kepada Firaun dan Ketua-ketua kaumnya, lalu mereka berlaku zalim (ingkar) akan ayat-ayat itu. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Ayat 103)

**********

Selepas menelusuri dua surah Makkiyah, kita kembali kepada surah Madani iaitu surah al-Anfal. Surah ini diturunkan selepas surah al-Baqarah iaitu semasa berlakunya peperangan Badar al-Kubra dalam bulan Ramadhan pada tahun ke-2 Hijrah. Pun begitu, sesetengah riwayat ada menyebut bahawa ayat 30 hingga ayat 36 dari surah ini diturunkan di Mekah.

Secara tuntasnya, pendahuluan surah ini disebut tentang 4 ciri sesebuah gerakan Islam.

1. Gerakan agama Islam ini merupakan gerakan realistik yang serius. Ia mesti menghadapi realiti manusia dan dengan sarana-sarana yang sesuai dengan kewujudan manusia di alam realiti.

2. Gerakan agama Islam mestilah bergerak secara berperingkat-peringkat.

3. Gerakan agama Islam mestilah tidak lari daripada prinsipnya yang asas, iaitu membawa manusia kembali kepada penumpuan ‘Ubudiyah Allah dan keluar daripada ‘Ubudiyah sesama manusia.

4. Mestilah wujudnya undang-undang Islam yang yang mengendalikan hubungan di antara masyarakat Islam dengan masyarakat luar

Turut disentuh dalam pendahuluan surah ini ialah persoalan jihad, salah faham terhadap jihad dan sebagainya.

Apa-apapun, surah ini berkisarkan tentang kisah-kisah di sekitar mahupun selepas peperangan Badar Kubra yang menjadi titik tolak tertegaknya Islam di muka bumi oleh masyarakat baru dan ruh baru umat Muslimin.

“Sebagaimana (harta rampasan perang ditentukan pembahagiannya dengan kebenaran, maka) Tuhanmu (wahai Muhammad) mengeluarkanmu dari rumahmu (untuk pergi berperang) dengan kebenaran juga, sedang sebahagian dari orang-orang yang beriman itu (sebenarnya) tidak suka (turut berjuang).” (Ayat 5)

 Yang haq dan batil akhirnya bertemu di medan perang, atas arahan Allah dengan asbab umat Islam telah bersedia menghadapinya.

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang mara menyerang, maka janganlah kamu berpaling undur dari menentang mereka.” (Ayat 15)

“Dan sesiapa berpaling undur dari menentang mereka pada ketika itu – kecuali ia bergerak ke arah lain (untuk menjalankan tipu muslihat) peperangan, atau hendak menyatukan diri dengan pasukan yang lain – maka sesungguhnya ia tetaplah mendapat kemurkaan dari Allah, dan tempatnya ialah neraka jahanam; sedang neraka jahanam ialah seburuk-buruk tempat kembali.” Ayat 16)

Rujukan: Syed Qutb – Fi Zilalil Quran

Oleh:
Fakhruddin Afif Fauzi
Ketua Biro Belia
ISMA Alor Setar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *