Karenah anak nakal

Semasa kecil, saya sebenarnya adalah seorang ‘anak yang paling nakal’ di dalam keluarga saya. Bukanlah saya nakal kerana mencuri atau suka mengusik atau membelasah kawan-kawan remaja. Bahkan saya juga istiqamah bersolat 5 waktu sehari semalam dan hampir setiap waktu berjamaah di masjid sejak saya darjah 2 lagi. Saya juga tidak pernah ponteng sekolah walau pun sehari sejak darjah 1-6 dan berjaya mendapat kedudukan terbaik di sepanjang 6 tahun pengajian di sekolah rendah.

Namun nakal saya adalah kerana saya ‘obsesif’ dengan apa yang saya mahu. Kalau saya mahu…saya mesti dapat dan saya akan ‘mengamuk’ dengan mencampak apa sahaja sehingga permintaan saya diperolehi dan tiada siapa yang boleh menghalang. Entah bagaimana arwah emak boleh terus menerus menelan kesabaran dengan kenakalan saya. Saya tidak pernah inagt arwah emak mengangkat suara apatah lagi untuk ‘menyentuh’ saya dengan cubitan atau rotan.

Namun arwah abah adalah ‘orangnya’ yang pernah merotan saya beberapa kali semasa di sekolah rendah dahulu. Hukuman arwah abah berprinsip iaitu anak-anak akan dirotan kalau tidak solat dengan sengaja atau melawan nasihat arwah emak. Pernah juga saya dicubit di sekolah kerana tidak menyiapan karangan Bahasa Malaysia. Bila saya memberitahu hal sebegini, arwah abah akan tambah satu dos lagi.

Kalau menghukum, biasanya arwah abah akan merotan saya di punggung sebanyak 3 kali. ‘Waduh’…! Sakit sekali di rotan abah.

Selepas dirotan, arwah emak akan mendekati saya dan terus menasihati saya dengan penuh kasih sayang supaya mendengar nasihatnya. Saya tak tahu kenapa emak begitu penyabar sekali dengan saya. Lebih mengharukan apabila arwah emak akan menyebut nama saya dalam doanya. Bahkan arwah emak juga adalah seorang yang sentiasa bertahajjud pada setiap awal pagi dan mendoakan kebaikan anak-anaknya sebelum arwah abah bangun untuk bertahajjud. Kami semua akan dikejutkannya kira-kira 15-20 minit sebelum azan subuh berkumandang daripada Masjid Jamek Felda Tenang.

Saya mula merindui kehilangan lembutnya layanan arwah emak setelah saya masuk ke sekolah berasrama penuh di MRSM Kuantan. Sejak daripada perpisahan itu, saya tidak lagi pernah mengangkat lagi suara kepada arwah emak.

Pernah sekali ketika cuti semester pertama persekolahan tingkatan 1, saya membasuh baju dan pakaian saya sendiri secara manual di rumah sebagaimana kehidupan di asrama. Arwah emak masuk ke bilik air melihat saya membasuh baju dan dia terus menangis terharu kerana melihat ‘saya berubah’ dan menjadi seorang anak yang ‘berbeza’ sejak sekembalian daripada percutian sekolah. Selama 6 bulan kami tidak bertemu itulah, arwah emak dan abah hanya mendoakan kebaikan untuk anak-anaknya terutamanya dalam tahajjud mereka.

arwah-emak1

Inilah wanita hebat yang telah bersabar mendidik saya semenjak kecil

Terima kasih emak…terima kasih abah…terima kasih kerana terus bersabar mendidikku. Ku doakan semoga emak dan abah berbahagia bersama kasih sayang dan limpahan kenikmatan di syurga Allah swt di atas pengorbananmu selama ini.

Entah kenapa lilihan air mata hangat begitu murah berguguran apabila mengingati kesabaranmu berdua dalam membesarkan dan mendidikku sehingga dewasa.
Wahai para ibu bapa dan teman kenalan….

Berdepan dengan anak atau anak-anak yang nakal serta banyak karenah kadangkala membuatkan kita sebagai ibu bapa mudah hilang kesabaran.

Ingatlah bahawa anak-anak ini adalah satu anugerah dan karenah anak-anak pula adalah ujian daripada Allah swt. Ia menguji kesabaran dan keimanan kita semua kepada Allah swt.

Firman Allah swt dalam surah al-Anfal ayat 28 bermaksud: ”Dan ketahuilah bahawasanya harta kekayaan dan anak kamu adalah cubaan hidup dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang amat besar.”

Bersabarlah dalam usahamu untuk mendidik anak-anakmu yang baik dan yang ‘nakal’ untuk menjadikan mereka sebagai seorang ‘manusia’. Sesungguhnya kalian akan mendapat habuan yang menantimu kelak apabila anak-anakmu menjadi manusia yang taat kepadaNya, ada yang cepat dan mungkin ada pula yang sedikit lewat menjelang dewasa. Namun yang pasti adalah balasan yang paling istimewa iaitu di syurgaNya jua.

Oleh:
Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Zainuddin
Pengerusi Biro Luar Negara
Ikatan Muslimin Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *