Ke arah masyarakat bebas rokok

Sebagai pengamal perubatan yang bergelumang dengan kes-kes kanser kepala dan leher, majoriti pesakit saya terdiri daripada perokok tegar. Terus-terang untuk saya katakan, penyakit barah yang mereka hidapi ini berpunca daripada tabiat buruk mereka sendiri, iaitu merokok.

Saya kerap berhadapan dengan pesakit yang tiada risiko barah, tetapi terpaksa menanggung derita penyakit kronik itu lantaran asap-asap rokok yang dibebaskan oleh orang kesayangan mereka, biasanya suami, ahli keluarga atau kawan-kawan yang merupakan perokok tegar.

Rokok mempunyai 4,000 bahan kimia, 500 racun dan 40 bahan yang boleh menyebabkan barah. Disamping menjadi penyebab kepada kanser, rokok juga menyebabkan penyakit paru-paru, jantung, salur darah dan banyak lagi.

Umum mengetahui tentang bahaya rokok, tetapi peratusan menghisap rokok di negara kita masih sangat tinggi. Bahkan yang lebih memeranjatkan, ada juga kalangan kakitangan perubatan sendiri yang menghisap rokok.

Kerajaan terpaksa menghabiskan banyak peruntukan untuk mengubati penyakit-penyakit disebabkan rokok, sedangkan peruntukan tersebut boleh disalurkan ke tempat lain yang lebih memerlukan.

Isu rokok bukan terletak kepada pengetahuan bahaya rokok tetapi sikap dan pengaruh persekitaran. Sangat sukar untuk menjadikan masyarakat kita bebas rokok atau sekurang-kurangnya mengurangkan peratusan perokok dan menjadikan perokok menghormati ahli masyarakat lain yang tidak merokok.

Saya amat menyokong keputusan yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia berkaitan larangan merokok di tempat awam seperti restoran dan premis makanan. Nyata ia bukanlah satu tindakan popular dari segi politik, seluruh masyarakat perlu bersama memberi sokongan dan memainkan peranan bagi membendung gejala merokok ini.

Ibu bapa mampu berperanan mengawasi anak-anak daripada terlibat dengan ketagihan rokok. Tentunya mereka terlebih dahulu perlu menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak dengan tidak merokok.
Surau dan masjid perlu turut sama menerangkan bahaya rokok serta memberikan hujah agama tentang pembaziran merokok dan betapa agama tidak menyukai penganutnya menghisap rokok.

Pertubuhan-pertubuhan agama, sosial dan kebajikan juga perlu mendidik ahli mereka agar menjauhi rokok, menggerakkan kempen anti merokok dan proaktif dalam mempromosi gaya hidup sihat di kalangan masyarakat.

Ahli-ahli politik dan pemimpin masyarakat juga perlu bersuara dalam menyokong segala kempen larangan merokok di tempat awam dan kempen berhenti merokok yang dianjurkan.

Bukan itu sahaja, kakitangan dan pengamal perubatan sepatutnya terlabih dahulu perlu membuang tabiat merokok agar hasrat murni Kementerian Kesihatan Malaysia dapat dicapai.

Dr Zulkifli b Yusof,
Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia
Cawangan Alor Setar

Nota: Dr. Zulkifli juga merupakan Konsultan Pembedahan Barah Kepala dan Leher di Jabatan Otorinlaringologi, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.