Kedah cadang haram penjualan vape

badrol

ALOR SETAR, Rabu – Kedah bercadang mengharamkan penjualan vape, kata Exco Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Datuk Badrul Hisham Hashim.

Beliau berkata ia selaras dengan keputusan Majlis Fatwa Negeri Kedah dan Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini yang mengharamkan penggunaan vape.

“Kita akan adakan satu mesyuarat bagi membincangkan perkara ini dan melihat semula enakmen yang ada sebelum memutuskan untuk mengharamkan penjualan semua produk vape dan rokok elektronik.

 “Setakat ini pihak berkuasa tempatan tidak melakukan sebarang tindakan terhadap premis penjualan vape sehingga keputusan rasmi mengenai pengharaman itu dicapai,” katanya.

Semalam, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan hukum penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram. Perkara itu dimaklumkan Pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dengan berkata, semua ahli muzakarah bersetuju dengan memberi pandangan hukum bahawa penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram.

Keputusan itu dibuat setelah membuat pertimbangan daripada semua sudut termasuk syariah, perubatan dan saintifik serta unsur pembaziran dan budaya tidak sihat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *