Kedah haramkan vape, shisha

mufti-kedah

ALOR SETAR, Jumaat – Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah memutuskan hukum menghisap vape atau rokok elektrik (e-rokok) dan shisha adalah haram, kata Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad.

Beliau berkata, keputusan berkenaan dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah pada 23 November lalu.

Katanya, sejak kebelakangan ini, fenomena baru dalam industri rokok iaitu menghisap rokok menggunakan kaedah elektronik atau lebih dikenali sebagai vape diperkenalkan.

“Namun, rokok berkenaan dipercayai mengandungi bahan kimia tertentu antaranya nikotin, sebatian organik berwap (VOC) dan karsinogen,” katanya.

Sheikh Muhamad Baderudin berkata, terdapat juga bahan kimia yang menghasilkan bau dan perasa buah-buahan dimasukkan ke dalam rokok elektronik berkenaan.

Beliau berkata, ada produk cecair vape tertentu pula dilaporkan mengandungi dadah, polycyclic aromatic hidrokarbon dan sebatian fenolik.

Katanya, tabiat menghisapnya dikhuatiri sukar untuk ditegah terutama di kalangan pelajar sekolah.

“Berdasarkan kajian Kementerian Kesihatan, bahan tertentu seperti propilena glikol, gliserin sayuran dan perasa dalam bentuk cecair didapati terkandung dalam sisha stick.

“Sesetengah produk berkenaan didakwa mampu menyebabkan penyakit berkaitan jantung dan kanser. Justeru, menghisap vape dan sisha stick disifatkan haram kerana aktiviti tidak sihat berkenaan akan menyebabkan kemudaratan dan pembaziran kepada umat Islam,” katanya.

Sheikh Muhamad Baderudin berkata, jawatankuasa itu juga turut bersetuju mengekalkan keputusan mesyuarat 13 Januari 1996 mengenai pengharaman merokok disebabkan ia memudaratkan dan membazirkan.

Sumber: Ismaweb

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *