Kedah kuat kuasa enakmen tindakan ke atas Syiah

Mohd-Rawi-Abdul-Hamid

ALOR SETAR, 9 Mac – Kerajaan Kedah mula menguatkuasa Enakmen Jenayah Syariah yang diwartakan dua tahun lalu bagi membolehkan tindakan undang-undang dikenakan terhadap pengikut dan penyebar Syiah di negeri itu.

Penguatkuasaan yang bermula 1 Mac lalu sebelum ini terlalu umum menyebabkan tindakan sukar diambil, kata Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan negeri, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid.

“Enakmen ini sudah dipersembahkan kepada Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah. Enakmen baharu ini lebih jelas bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pihak yang terlibat dalam penyebaran ajaran itu.

“Tindakan boleh dikenakan kepada pengikut fahaman Syiah dan juga ajaran lain seperti Wahabi dan Tuhan Harun yang bertentangan dengan fatwa negeri,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Enakmen berkenaan, kata Mohd Rawi, memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun kepada mereka yang didapati bersalah.

Selain itu, katanya di bawah enakmen baharu itu penguatkuasa boleh mengambil tindakan merampas barang-barang yang digunakan dalam penyebaran fahaman tersebut.

Beliau berkata, setakat ini, tidak ada tangkapan dibuat di bawah enakmen baharu itu.

“Kita sentiasa membuat pemantauan bagi membendung ajaran ini daripada terus berleluasa. Saya juga minta masyarakat supaya membuat aduan sekiranya mengetahui ada pihak menyampaikan ajaran sesat secara tersembunyi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *