Kempen ‘Buy Muslim First’, Kenapa perlu utamakan Produk Muslim?

Baru-baru ini, kempen ‘Buy Muslim First’(BMF) menjadi hangat kembali setelah Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, YB Asmuni Awi bertindak membatalkan kempen ini berlangsung di masjid-masjid seluruh Perak. Menurut beliau, tindakan ini diambil kerana kempen ‘BMF’ ini berunsurkan politik dan bukan untuk kepentingan umum.

Menyorot kembali perkembangan kempen ini, kita mula menyedari akan gelombang ini di Malaysia bermula sejak awal September pada tahun ini.  Gerakan ini ternyata menerima reaksi yang pelbagai dikalangan rakyat Malaysia, ada yang menerima dan ada yang menolak.

Sebelum pergi lebih jauh dalam isu ini, eloklah jika kita cuba memahami pesanan dari Imam Hassan Al-Banna didalam Majmuk Rasail (Himpunan-himpunan risalah),

“Anda hendaklah menggunakan kekayaan umat Islam, dengan cara menggalakkan sektor perusahaan dan prasarana umat Islam. Anda hendaklah memastikan tiada satu sen pun wang anda yang jatuh ke tangan bukan Islam dalam apa keadaan sekalipun. Anda hendaklah hanya memakai dan memakan hasil buatan negara Islam.”

Imam Hassan Al-Banna

Hakikatnya kita selaku orang Islam di Malaysia tidak dapat menyangkal wujudnya gerakan seperti ini, adalah hasil dari keceluparan ‘Non-Muslim’ itu sendiri. Beberapa bulan yang lepas, hati kita telah diguris dengan kata-kata seorang taikun perniagaan yang berbunyi;

“Anggota tentera, seperti yang kita ketahui, hanya makan dan tidur sahaja. Majoriti mereka tidak pernah melepaskan tembakan melainkan menembak papan sasaran. Sepatutnya mereka digunakan untuk ganti pekerja asing yang diupah di ladang FELDA”

Betapa rendah martabat yang telah diletakkan kepada mereka yang berkorban masa dan tenaga, berjauhan dari keluarga demi menjaga perbatasan.

Kita sering dimomokkan dengan kata-kata bahawa bangsa Melayu itu bangsa pemalas dan tidak bijak. Hakikatnya sudah terbukti bangsa Melayu adalah bangsa yang hebat suatu ketika dahulu dan telah berjaya membina peradaban yang ulung.

Sebagai contoh mutakhir ini, saudara Nizam Razak, pengarah filem Boboiboy The Movie 2,  telah membuktikan anak bangsa kita bukan bangsa yang pemalas dan tidak berkualiti.  Boboiboy The Movie 2, yang merupakan hasil produksi anak bangsa kita, telah mencatat kutipan sebanyak 27.7 juta sepanjang 26 hari tayangan di seluruh pawagam di Malaysia, lantas mencatat rekod kutipan tertinggi untuk filem animasi tempatan dan antarabangsa.  Contoh lain, Adik Afiq Aiman Suradi, yang telah mewakili Negara Malaysia telah berjaya merangkul pingat gangsa dalam pertandingan ‘Drone Operating World Junior Skills’, Kazan 2019. Dan yang terbaru saudari Nur Athirah binti Rushami Zien yang telah memperoleh CGPA 3.99 dalam Ijazah Sarjana Muda Falsafah Undang-Undang dan Perniagaan (UUM).

Dalam masa yang sama, orang Islam seharusnya menggunakan peluang kempen ini dengan memperbaiki kualiti perkhidmatan dan produk yang disediakan kepada pelanggan. Peniaga Muslim tidak sewajarnya mengambil kesempatan dengan menggunakan sentimen dan menaikkan harga barang sesuka hati.

Sebagai panduan ringkas kepada kita untuk mengaplikasikan kempen ini dalam pembelian barangan atau perkhidmatan, mengikut hiraki keutamaan ini:

  1. Pastikan barangan yang kita beli adalah produk Muslim yang dibeli di kedai Muslim.
  2. Jika tiada, belilah barangan Muslim yang dijual di kedai bukan Islam.
  3. Jika tiada, belilah barangan bukan Islam di kedai Muslim.
  4. Jika tiada, barulah membeli barangan bukan Muslim. Dalam masa yang sama sentiasa berdoa agar akan ada produk Muslim dalam perkara yang kita hajati tersebut.

Ingin diingatkan juga bahawa mengikut laporan, pada tahun 2016 dilaporkan pendapatan isi rumah kasar bulanan, purata bagi Bumiputera ialah RM6,267 berbanding RM8,750 untuk bangsa Cina dan RM7,150 untuk bangsa India. Dan penguasaan ekonomi Bumiputera ternyata jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan bangsa Cina dan bangsa India.

Sebagai konklusi, ingin ditegaskan disini bahawa kempen ini bukanlah atas dasar politik, mahupun untuk menindas bangsa lain, tetapi hakikatnya adalah untuk membantu ekonomi umat Islam itu sendiri. Kita sebagai Muslim berhak untuk mempunyai perasaan cinta dan sayang buat bangsa dan agama kita sendiri.


Dr. Nurul Fauwiza binti Mohd Fauzi
Aktivis ISMA Alor Setar




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *