Kempen ‘SayNo2Zina’ selari dengan kehendak Islam

Kempen ‘Katakan Tidak Pada Zina’ atau ‘SayNo2Zina’ yang dianjurkan oleh LPPKN baru-baru ini merupakan satu langkah pencegahan primer yang wajib diberi pujian. Ianya selari dengan nilai moral, budaya dan agama majoriti masyarakat setempat iaitu Islam.

Bahkan, kempen ini telah lama dipelopori pertubuhan bukan kerajaan seperti I-Medik yang telah melaksanakan ratusan program berkaitan kempen “Say No To Zina” di sekolah-sekolah dan IPT seluruh Malaysia.

Di Kementerian Kesihatan juga terdapat satu program bawah seliaan unit pendidikan kesihatan yang diberi nama Jelajah Seminar Fatwa yang diadakan secara gandingan atau ‘joint venture’ dengan JAKIM. Antara yang diketengahkan adalah isu pengguguran bayi dan zina beserta penyelesaiannya iaitu dengan menjauhi zina.

Respon beberapa pertubuhan pro-liberal seperti Women Centre For Change dan Sister in Islam yang mengatakan mesej katakan tidak pada zina bersifat menghukum dan konservatif adalah tidak tepat.

Kempan “Katakan Tidak Pada Zina” merupakan salah satu pencegahan primer di samping pemerkasaan pendidikan kesihatan kepada kanak-kanak dan remaja melalui pendidikan seksual. Di agensi-agensi lain juga pelbagai aspek pencegahan sekunder telah diadakan yang patut diberi sokongan seperti rumah perlindungan untuk remaja hamil, “baby hatch” dan sekolah-sekolah untuk remaja hamil. Semua ini bertujuan untuk membimbing remaja yang telah melakukan kesilapan dalam fasa kehidupan supaya mereka dapat dibimbing dan kembali menjalani kehidupan normal.

Hubangan seksual tanpa ikatan boleh membawa pelbagai implikasi antaranya ialah kehamilan yang seterusnya boleh membawa kepada pengguguran tidak selamat, pembuangan bayi, kehamilan dan kelahiran pada remaja.

Di samping itu, hubungan seks tanpa ikatan juga menyebabkan pelaku tidak perlu menunaikan tanggungjawab dan justeru itu akan lebih mendorong kepada pelakuan seks berbilang pasangan. Ini adalah salah satu punca dari pelbagai penyakit tularan seks yang semakin meningkat berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan.

Semua ini bukan sahaja mempunyai implikasi kesihatan pada remaja tersebut tetapi juga boleh membawa kepada kemudaratan sosial. Justeru itu, kempen menjauhi zina atau seks luar ikatan adalah satu cara untuk membendung perilaku itu.

Di negara-negara maju juga, kempen-kempen seperti ini telah mula dilaungkan semula setelah terbukti pencegahan menggunakan kondom dan pil-pil penghalang kehamilan tidak betul-betul selamat (save sex vs safe sex).

Kempen #katakantidakpadazina tidak sama sekali menjadikan kita konservatif, mundur atau bersifat menghukum tetapi ia adalah satu kempen yang paling sesuai dilakukan di negara kita sebagai sebuah negara Islam.

Dr. Murizah Mohd Zain
Ketua Wanita ISMA
Cawangan Alor Setar

Dr. Murizah juga merupakan Pakar Perunding Perubatan Reproduktif, Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

One thought on “Kempen ‘SayNo2Zina’ selari dengan kehendak Islam”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.