Kepentingan agenda dalam membina keluarga Melayu Muslim

Apabila mula-mula membina sebuah keluarga, umumnya kita mengharapkan keluarga baru yang dibina itu akan menjadi keluarga yang bahagia. Kita mengimpikan sebuah keluarga yang berada di dalamnya seorang isteri yang penyayang, suami yang bertanggungjawab dan anak-anak yang taat dan patuh pada perintah agama. Maka kita akan berusaha untuk mencapai matlamat tersebut. Tetapi dalam banyak keadaan kita membataskan pembentukan keluarga hanya dengan sebuah keluarga bahagia serta anak-anak yang berjaya sebagai satu unit yang terpisah dari pembentukan masyarakat. Kita juga tidak mempunyai agenda yang jelas terhadap keluarga yang kita bina.

Konvesyen Keluarga Melayu Muslim ( KKMM ) anjuran Ikatan Muslimim Malaysia ( ISMA), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) baru-baru ini membuka pandangan baru terhadap persepsi bagaimana sebuah keluarga Melayu Muslim perlu dibina.

Konvesyen Keluarga baru-baru ini menegaskan bahawa keluarga adalah satu unit asas dalam sebuah masyarakat. Di dalam keluargalah berlaku satu proses pembentukan yang sangat penting di dalam pembinaan semula tamadun iaitu melahirkan peribadi muslim yang beragenda. Melahirkan peribadi muslim adalah perkara pertama dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w dalam membina tamaddun islam dan peribadi muslim yang hilang adalah penyebab pertama kejatuhan sebelum akhirnya umat islam kehilangan khilafah. Maka kebangkitan umat islam sekarang perlu bermula dengan membentuk peribadi terlebih dahulu. Kita dapat melihat bagaimana begitu ramai peribadi-peribadi unggul yang lahir dari keluarga yang hebat. Salahuddin Al-Ayubi yang membebaskan Baitul Maqdis, Sultan Muhammad Al-Fateh yang membuka kota Konstantinopal dan Sultan Abdul Hamid II yang berjuang bermati-matian mempertahankan Daulah Uthmaniah dipenghujung hayatnya adalah contoh-contoh hidup yang lahir dari keluarga yang hebat. Bahkan profil keluarga yang hebat tetap melahirkan tokoh-tokoh keilmuan yang agung seperti Imam Syafie, Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Ibnu Hajar Asqalani walaupun mereka membesar sebagai anak yatim yang ketiadaan ayah.

Barat amat memahami tentang kepentingan institusi keluarga yang merupakan sekolah yang melahirkan peribadi-peribadi unggul islam yang beragenda. Malah kefahaman mereka dalam perkara ini melebihi dari sebahagian dari umat islam sendiri. Kerana itulah antara agenda penting liberisasi barat adalah menghancurkan struktur dan fungsi institusi keluarga dalam masyarakat islam. Fokus akhir serangan mereka adalah menghancurkan jatidiri individu muslim. Kehancuran inilah yang menghasilkan simptom-simptom kepincangan masyarakat yang pelbagai. Sebut saja penyakit masyarakat Melayu Muslim sekarang- zina, buang bayi, merempit, menghisap dadah, lari dari rumah, melepak dan seribu satu masalah sosial yang timbul – adalah buah-buah busuk yang lahir dari pokok jatidiri individu muslim yang mereput. Pokok ini akan melahirkan dahan dan buah busuk yang lain sehinggakan para pengislah gejala negative masyarakat tidak tahu dahan mana lagi yang perlu dicantas. Apabila satu masalah masyarakat dapat diselesaikan, mereka mendapati sepuluh lagi penyakit yang timbul.

Disinilah letakkan kepentingan membangunkan semula keluarga Melayu Muslim yang beragenda dalam konteks negara kita. Itulah fokus konvensyen ini. Itulah juga jawapan asas kepada kemelut yang melanda masyarakat kita sekarang. Apa yang diingini bagi sebuah institusi keluarga Melayu Muslim bukanlah hanya melahirkan insan-insan yang soleh tetapi orang-orang yang mendokong risalah islam dalam membangunkan kembali umat kearah ketinggian. Semua komponen keluarga baik ayah, ibu dan anak-anak meletakkan agenda membangun ummah sebagai matlamat hidup mereka. Unit-unit keluarga pada kurun-kurun terbaik islam amat memahami tanggungjawab ini. Namun, menghadirkan semula sifat ini di didalam masyarakat sekarang yang berkecamuk bukanlah satu yang mudah. Satu perencanaan yang kemas amat diperlukan. Perencanaan yang melibatkan susun atur hidup kekeluargaan yang menyeluruh bagi menghasilkan generasi pewaris yang berprofil tinggi.

Benarlah ungkapan Imam Hassan Al-Banna,

Sejarah manusia sebenarnya adalah sejarah kelahiran lelaki-lelaki yang berketerampilan dan memiliki jiwa dan kemahuan yang tinggi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *