Kerana duit …

Duit, duit dan duit. Duit bukan segala-galanya tetapi segala-galanya kini memerlukan duit.

1-Doktor

Kerjaya perubatan adalah kerjaya yang mulia. Kebanyakan pengamal perubatan gigih bekerja dan berkeringat untuk menyumbang bakti kepada masyarakat tanpa terlalu berkira perihal imbuhan kewangan. Namun kerjaya ini dicemari oleh segelintir pengamal perubatan swasta yang menyalahgunakan posisi dan kepercayaan untuk membuat ujian dan pemeriksaan perubatan yang luar biasa demi mendapat laba kewangan yang banyak. Ada juga yang membuat prosedur dengan melanggar etika juga di atas dasar keuntungan.

2-Guru.

Kerjaya pendidikan adalah kerjaya yang mulia. Kebanyakan pendidik bekerja kuat untuk mendidik anak-anak remaja dan generasi muda agar lebih berilmu dan mempunyai persiapan yang secukupnya bagi menghadapi masa depan yang mencabar. Mereka berkorban apa sahaja untuk anak-anak bangsa dan agamanya. Namun kerjaya ini juga dicemari oleh segelintir guru-guru yang bekerja endah dan endah sekadar mencari makan di sekolah tetapi bekerja bersungguh-sungguh di pusat tuisyen di sebelah malam atau pun hujung minggu untuk mendapatkan lebihan duit. Bekerja lebih tidak salah, malahan digalakkan tetapi menganaktirikan tugas utama di sekolah adalah merupakan sikap tidak amanah.

3-Ustaz / tokoh agama

Ulama adalah pewaris para anbiya’. Para ulama dan ilmuan Islam adalah golongan yang sangat istimewa yang seharusnya didekati oleh semua umat Islam agar laluan hidup kita terpandu. Namun ada segelintir kecil daripada golongan ini yang berbuat sesuatu di luar batasan sebagai seorang tokoh atau ilmuan harapan umat. Tujuan asal untuk berkhidmat kepada masyarakat biasa atau golongan bawahan terbang bersama populariti dan imbuhan kewangan yang tinggi melangit.

4-Pakar motivasi

Kerjaya motivator pendidikan adalah kerjaya yang mulia. Kebanyakan mereka bekerja kuat untuk mendidik anak-anak bangsa dan memangkinkan semangat dan sikap bermotivasi melalui ceramah-ceramah dan program-program latihan bagi organisasi tertentu. Namun kerjaya yang mulia ini juga dicemari oleh segelintir kecil motivator yang mengambil peluang kepercayaan orang ramai dan organisasi melalui ‘gelaran tambahan’ seperti Dr (yang dibeli). Mereka memerlukan gelaran ini untuk bersaing dengan rakan motivator yang lebih popular demi laba kewangan. Ya, duit, duit dan duit.

5-Pemimpin politik

Pemimpin politik adalah kalangan pemimpin yang dipilih oleh rakyat bagi mengemudi hala tuju perjalanan kerajaan dan mesa depan negara samada melalui peranannya di peringkat lokal, regional, nasional dan juga internasional. Namun ramai di kalangan ahli politik yang menghampakan rakyat bawahan hanya kerana mereka gelap mata disebabkan duit dan imbuhan dunia yang melalaikan.

6-Pegawai kastam, Polis, Imegresen, Pegawai Tanah dan lain-lain, semuanya adalah kerjaya yang baik dan mulia. rakyat sentiasa memerlukan perkhidmatan mereka bagi menyelesaikan tugasan dan urusan seharian mereka. Namun kerana duit dan imbuhan dunia, segelintir daripada mereka yang diamanahkan ini telah memecahkan amanah yang diberikan oleh orang ramai.

Mencari rezeki yang halal adalah tuntutan kepada setiap umat Islam. Semua kerjaya yang halal adalah mulia kerana dengannya kita akan dapat mencari rezeki u ntuk anak-anak dan keluarga serta membantu memudahkan urusan orang ramai. Namun menyalahgunakan amanah dengan posisi yang diberikan adalah satu pengkhianatan dan akan dihisab oleh Allah swt.

Duit, duit, duit….berhati-hatilah.

dr zz

Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Zaunudin
Ketua Biro Luar Negara Pusat
Ikatan Muslimin Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *