Kesan liberalisasi ke atas gerakan Islam di Malaysia

Pemikiran liberal adalah ideologi Barat yang meresap ke dalam kehidupan manusia secara halus tanpa disedari tetapi terancang. Pada awalnya menjurus kepada globalisasi ekonomi sejagat dengan agenda utamanya perdagangan bebas. Dicanang sebaik mungkin kepentingan globalisasi ekonomi dunia demi perdagangan yang adil dan menguntungkan. Kononnya dengan perdagangan bebas menguntungkan para pengguna. Semua barang boleh diperolehi dengan mudah dan murah.

Mana-mana kerajaan yang menolak sistem perdagangan bebas akan dikecam oleh rakyatnya sendiri dengan dakwaan tidak menjaga kepentingan rakyat walaupun dasar kerajaan sebaliknya untuk jangka panjang menjaga kepentingan ekonomi negara. Mana-mana kerajaan terpaksa akur dengan tuntutan rakyat untuk kekal berkuasa. Apa yang tersirat sebenarnya ialah perancangan Barat untuk menguasai pasaran keluaran mereka seterusnya menguasai ekonomi negara-negara Timur terutamanya negara Islam yang terkenal sebagai negara pengguna yang paling tinggi.

Pemikiran liberal bukan sahaja berfokus kepada ekonomi tetapi menyerang seluruh peradaban dan tamadun mana-mana bangsa. Matlamat yang paling tinggi ialah meresap ke dalam gerakan dan fikrah Islam dengan strategi yang terancang dan berkesan. Secara umumnya didapati pengaruh liberal telah merubah istilah-istilah Islam yang telah digunapakai sekian lama dan hampir sebati dengan dakwah kepada istilah-istilah baru dengan alasan berdakwah dengan hikmah dan menjaga keharmonian kaum. Lalu dilaungkan bahawa Islam merupakan agama kesejahteraan dan rahmat untuk seluruh umat manusia. Sedangkan istilah-istilah Islam yang asal sebelum ini tidak pernah mendatangkan apa-apa kemudharatan dan keburukan kepada bukan Islam.

Kesan liberalisasi juga telah merubah pendekatan dakwah kebanyakan gerakan Islam di Malaysia tanpa melihat kepada perancangan musuh Islam yang terselindung. Penggunaan perkataan Allah dalam kitab Bible terjemahan Bahasa Melayu disokong dan dihujah secara syarak dan aqal tanpa melihat kepada kepentingannya di Malaysia dan kesannya kepada bangsa Melayu khasnya. Ianya disokong tanpa melihat kepada apa yang tersirat di sebalik penggunaan perkataan tersebut dalam kitab Bible terjemahan Bahasa Melayu. Sedangkan masih ada pendapat yang mengatakan ia boleh dilarang dengan alasannya yang tersendiri.

Liberalisasi juga telah merubah strategi dakwah gerakan Islam. Daripada membela keadilan untuk Islam kepada hanya berdialog dan berdiskusi kononnya secara hikmah. Digambarkan seolah-olah Islam hanya mengutamakan dialog dan diskusi walaupun Islam diserang dari segenap penjuru. Mana-mana gerakan Islam yang ke depan membela Islam dengan agak agresif dituduh sebagai melampau atau tidak memahami uslub dakwah. Sedangkan sebelum ini tindakan yang sama pernah mereka lakukan ketika berhadapan dengan musuh Islam. Ketika itu mereka amat digeruni dan musuh Islam amat berhati-hati untuk memperkatakan perkara yang buruk tentang Islam. Liberalisasi telah “mengkijangkan harimau”. Perkataan “musuh Islam” telah ditukar kepada “mad’u kita” walaupun ajaran tersebut jelas memusuhi Islam dengan pelbagai perancangan secara senyap ataupun zahir. Bahkan orang Islam khasnya orang Melayu dipersalahkan kerana tidak kuat aqidah sehingga boleh dipengaruhi oleh agama lain. Katanya sepatutnya orang Melayu yang mesti perkuatkan aqidah mereka.

Ada juga para cerdik pandai yang menyalahkan gerakan Islam kerana cuba menanamkan sifat permusuhan dengan penganut agama lain sedangkan di sana terdapat titik-titik persamaan antara Islam dengan agama tersebut seperti Kristian dan Yahudi. Sepatutnya orang Islam menggunakan titik persamaan tersebut ke arah perdamaian dan keamanan dengan membina titik persefahaman. Katanya ibadat puasa merupakan antara titik persamaan antara Islam dengan agama lain kerana umat terdahulu juga sudah diwajibkan berpuasa. Islam juga mengharuskan lelaki Islam berkahwin dengan perempuan Kristian dan Yahudi serta diharuskan makan sembelihan mereka, maka perlu dibina persefahaman.

Peliknya titik persamaan sahaja ditonjolkan sedangkan peristiwa dulu dan sekarang yang telah dilalui oleh ummat ini tidak dinyatakan. Kezaliman, penindasan, pembunuhan dan pelbagai lagi yang dilalui oleh umat Islam. Digambarkan seolah-olah Islam yang menganjurkan permusuhan. Walaupun ada persamaan, ada juga perbezaan yang membawa kepada permusuhan kerana beberapa syarat tidak dipenuhi. Rasulullah SAW sendiri menghalau Yahudi dari bumi Khaibar kerana kejahatan mereka. Walaupun ada titik persamaan, tetapi kalau tidak memenuhi syarat-syarat yang sepatutnya perlu diperangi. Ayat Quran sendiri menjelaskan ada persamaan antara agama samawi dalam sudut-sudut tertentu tetapi Quran juga memberi peringatan tentang keburukan mereka yang perlu diperangi.

Kesan liberalisasi juga akan mengenepikan tamadun bangsa yang pernah dicipta oleh generasi terdahulu walaupun syarak mengharuskanya dengan syarat-syaratnya yang jelas. Mereka mendakwa bangsa tidak ada apa-apa kepentingan untuk agama. Bangsa tak wujud pun tak mengapa asalkan Islam ada. Sedangkan Allah sendiri yang mengiktiraf kedudukan bangsa sebagai wasilah untuk bertaaruf. Taaruf dalam ertikata yang luas. Bagi mana-mana gerakan yang menghidupkan semula peranan bangsa dalam dakwah akan dituduh sebagai asobiyyah jahiliyyah.

Pengaruh liberalisasi yang agak parah kepada gerakan Islam di Malaysia ialah perjuangan untuk keadilan. Pengertian keadilan yang agak kabur bahkan kadang-kadang perjuangan keadilan yang jauh menyimpang dari keadilan Islam yang sebenar disebabkan oleh perjuangan keadilan bersama dengan mereka yang membawa ajaran mungkar bertentangan dengan Islam. Pada satu-satu waktu berjuang bersama untuk menuntut keadilan, pada waktu yang lain rakan kongsi itu memperjuangkan pula kemungkaran dalam Islam dan ada yang berkali-kali menentang perlaksanaan syariat Islam di Malaysia dan memperjuangkan Malaysia sebagai negara sekular. Tetapi oleh kerana ingin mencapai misi tertentu kerjasama tetap diteruskan. Pelbagai hujah diberikan untuk menghalalkan kerjasama tersebut. Bahkan dikatakan ianya sebagai jihad fi sabillilah.

Oleh: Ustaz Sharipudin Abd. Kadir
Yang Dipertua
Majlis Syura ISMA

* Ustaz Sharipudin juga merupakan Yang Dipertua ISMA Kelantan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *