Kesatuan Melayu: Masalah hukum yang dikelirukan

Dalam thaqafah politik kini seruan kesatuan Melayu Islam dianggap haram dan bercanggah dengan agama.

Alasan mereka ialah kerana ia merupakan kesatuan atas dasar asobiah yang terlarang. Bahkan ada yang lebih melampau menganggap “asobiah” boleh mengeluarkan orang dari agama.

Mantik (logik) ini membuatkan mereka menghukum parti yang berasaskan kaum (nasionalais) sebagai parti asobiah yang terkeluar dari agama, tidak sah ibadat mereka kerana mereka dengan itu menolak (dasar) Islam.

Berdasarkan mantik yang sama berkerjasama dengan golongan nasionalais ini adalah berkerjasama atas dasar kezaliman yang ditegah agama kerana ia adalah kebangsaan yang dianggap sebagai asobiah yang terkeluar dari agama.

Ini satu bentuk kekeliruan yang pemikiran yang perlu diperbetulkan.

Nyata wujud percanggahan yang nayata dalam amalan mereka. Waktu mana mereka begitu keras dengan golongan “nasionalis” atau parti yang berasaskan kaum, dalam masa yang sama mereka boleh berkerja sama dengan parti sosialis, libralis, pluralis yang jelas kufurnya.

Saya fikir kita perlu memahami apakah maksud atau skop “asobiah” yang ditegah oleh agama supaya dapat mengaplikasikan hukum mengikut kefahaman dan kontek yang betul.

Sudah banyak kali dijelaskan bahawa bukan semua asobiah yang dilarang. Dan kesalahan “asobiah” semata-mata tidak mengeluarkan orang dari agama.

Bagi memudahkan perbincangan saya bahagikan “asobiah” yang sering dijadikan asas rujukan kepada dua:

1. Bangga dengan nasab keturunan
2. Menolong bangsa atas kezaliman

Yang pertama. iaitu satu kaum mendakwa bahawa kaumnya lebih mulia dari kaum lain kerana zuriat keturunan seperti dakwaan kaum Yahudi dan dakwaan pauk NAZI dan juga bangsa Itali bahawa bangsa mereka mengatasi semua bangsa lain.

Atas dasar itu mereka menganggap bangsa lain sebagai bangsa hamba dan mereka boleh lakukan apa sahaja terhadap mereka tanpa apa-apa kesalahan.

Islam dari awal lagi menolak fahaman ini, kerana ia bercanggah dengan risalah Islam yang menyatukan manusia berdasarkan akidah. Dalam Islam semua bangsa yang menganut Islam tidak kira apa bangsanya tiada kelebihan atas bangsa lain kecuali dengan takwa.

Ini tidak menafikan bahawa umat Islam atau bangsa yang Islam melebihi bangsa lain yang tidak Islam atas tanggungjawab “wisoyah” atau kepimpinan berlandaskan hidayah dan penyelamatan dari kegelapan kekufuran kepada cahaya petunjuk.

Yang kedua, ialah “asobiah” yang mengandungi unsur kezaliman.

Ini jelas dapat difahami dari kenyataan hadis bahawa yang ditegah bukan “asobiah” itu sendiri tetapi ia ditegah apabila ia mengandungi unsur kezaliman.

Dalam pengalaman sejarah diawal Islam iaitu dizaman nubuwah dan zaman muta’akhir “asobiah” yang dilarang itu ialah “asobiah” yang membawa perpecahan di kalangan masyarakat islam kerana melebihkan hubungan kaum ke atas kesatuan Islam kerana sentimen yang tidak benar.

Umat Islam yang terdiri dari pelbagai kaum dan bangsa disatukan atas dasar wala’ akidah. Mereka bersatu atas nama iman dan Islam. Intima’ kepada Islam mengatasi intima’ kepada kaum dan bangsa.

Apabila berlaku peristiwa di mana satu puak menyeru untuk memihak kepada kaum masing masing atas sentimen yang tidak benar (zalim) maka itu dinamakan asobiah yang terlarang kerana ia telah menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam.

Berdasarkan penjelasan di atas kita boleh menilai bahawa seruan kesatuan Melayu bukan merupakan seruan yang bertentangan dengan Islam.

Bahkan sebaliknya adalah merupakan satu kekeliruan akibat silap pemahaman yang telah merosakkan pemikiran umat dan menghalang kesatuan Islam yang asalnya merupakan satu kefardhuan.

Seruan kesatuan Melayu adalah bertujuan supaya umat Melayu dapat memainkan peranan yang dituntut oleh Allah ke atas mereka sebagai umat Islam agar memimpin umat manusia ke arah pengabdian diri kepada Allah s.w.t.

Dengan perpecahan yang dialalmi oleh umat Melayu hari ini bukan sahaja mereka gagal dalam memainkan peranan sebagai wisoyah (kepimpinan ke arah hidayah) tetapi tanah warisan yang menjadi tapak tertegakkan kedaulatan bangsa dan agama akan terlepas dari genggaman.

Sangat jelas dan nyata bahawa seruan perpaduan Melayu dan Islam tidak mengandungi maksud bahawa zuriat keturunan Melayu lebih mulia dari bangsa lain yang dengan itu bangsa Melayu menganggap mereka harus menindas dan Melakukan apa sahaja terhadap kaum lain tanpa rasa salah.

Saya tidak fikir fahaman ini ada dalam pemikiran orang Melayu dulu mahupun kini.

Begitu juga seruan perpaduan Melayu tidak mengandungi perpecahan sesama umat Islam. Sebaliknya seruan perpaduan Melayu mengukukhan hubungan sesama orang Islam dikalangan Melayu dan bukan Melayu. Bahkan hubungan bangsa Melayu dengan bangsa lain yang beragama Islam sangat baik dan akrab sebagai satu umat.

Jelas sekali bahawa seruan ke arah kesatuan Melayu dan Islam bukan termasuk dalam “asobiah” yang dilarang bahkan antara perkara asas “faundamental” yang disuruh oleh agama.

Sikap negatif terhadap seruan kesatuan hanya timbul hasil kegagalan dalam membezakan antara hubungan kaum dalam konteks kesatuan umat Islam yang bersatu atas asas akidah dengan hubungan antara kaum yang berlainan agama.

Mereka menganggap bahawa kesatuan sesama Melayu yang beagama Islam sebagai “asobiah” yang terlarang kerana membelakangkan kaum-kaum lain yang tidak beragama Islam. Ini ternyata salah dan mengelirukan.

Untuk menjelaskan perkara ini kita perlu merujuk kepada bab wala’ dan bara’ yang sudah jelas garis panduannya di sisi hukum. Batas batas hubungan antara umat Islam dengan bukan Islam juga telah diperincikan dalam kitab kitab fikah.

Umat Islam tidak patut keliru antara kefardhuan kesatuan islam yang merupakan satu perkara asas dan faudamental dalam agama dengan kaedah dan konsep hubungan dengan umat bukan Islam. Perkataan “asobiah” tidak boleh disalah gunakan di sini. Pemisahan hubungan berasaskan akidah antara Islam dan bukan Islam tidak ditakrifkan sebagai “asobiah” yang dilarang atau perkauman sempit.

Perpaduan Islam akan mengukuhkan kedudukan kuasa politik umat Islam dan ini tidak menghalang kita mengadakan hubungan baik dengan golongan bukan Islam.

Apa yang membezakannya ialah dalam keadaan kita (umat Islam) bersatu kita berurusan dengan bukan Islam dari titik nokhtah kita dipihak yang kuat dan mereka harus patuh dengan kepimpinan kita. Dan apabila kita berpecah belah dan kita lemah kita dipolitikkan oleh mereka dan dicaturkan untuk kepentikan mereka.

Kecuali anda telah menganut fahaman Islam liberal yang menganggap ayat ayat wala’ dan hukum wala’ dan bara’ sudah tidak relevan lagi pada zaman ini. Ia merupakan keperluan berkaitan sejarah zaman dahulu sahaja.

Oleh:
Ustaz Abdullah Zaik bin Abdul Rahman
Presiden ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *