Keutamaan memilih calon Muslim

dr aznan

Baru-baru ini, saya dikongsikan dengan satu status yang melibatkan salah seorang sheikh yang terkenal di Mesir, Prof Dr. Ra’fat Uthman (hafizahullah).  Status tersebut menyatakan:

…………………………….

“Dalam kelas bersama Fadhilatus Syaikh Prof Dr Ra’fat Uthman Hafizahullah di Darul Ifta’ sebentar tadi saya bertanya soalan.

“Sekiranya ada dua calon yang bertanding kerusi Parlimen, seorangnya Muslim tetapi mempunyai rekod pentadbiran yang buruk dan penyelewengan dan seorang lagi pula adalah calon bukan Muslim tetapi rekod pentadbiran dan pengurusannya baik dan telus. Bolehkah saya memberikan undi kepada calon bukan Muslim tersebut?”

Fadhilatus Syaikh Hafizahullah menjawab:

“Ya. Boleh. Takkanlah kita ingin memberikan amanah kepada mereka-mereka yang akan merosakkan dan tidak membawa maslahah kepada negara?

Sekiranya bukan Muslim tersebut mampu melaksanakan tugas dengan baik membawa kebaikan buat negara dan calon Muslim pula sebaliknya, kita perlu memberikan undi kepada yang boleh membawa kebaikan buat negara.

Sekiranya awak ada harta dan tanah yang ingin diuruskan, dan ada dua calon yang meminta untuk menguruskannya, seorangnya Muslim tetapi tidak pandai mengurus dan seorang lagi bukan Muslim tetapi mampu mengurus, pastilah tugas tersebut perlu diberi kepada bukan Muslim yang mampu mengurus.”

Saya bertanya lagi:

“Ada yang berhujah dengan ayat Al-Qur’an yang melarang golongan mukmin mengambil ‘Wali’ selain dari mukmin.”

Fadhilatus Syaikh menjawab:”Ahli Parlimen bukanlah ‘Wali Amri’. Ahli Parlimen mempunyai tugas yang kita semua maklum di Dewan Rakyat contohnya membincang dan memberi pandangan ketika penggubalan undang-undang (dan membincangkan belanjawan negara dll). Ahli Parlimen bukanlah ‘Wali’ sebagaimana yang dinyatakan oleh ayat tersebut”.

……………………………

Pada pandangan saya, soalan yang dikemukakan kepada beliau tidaklah memberikan gambaran sepenuhnya kepada situasi yang berlaku (al-tasawwur al-‘amm li al-qadiyyah). Ini amat penting di dalam bertanya pandangan daripada seorang faqih agar beliau tidak memberikan jawapan yang silap. Soalan yang ditanyakan ialah “”Sekiranya ada dua calon yang bertanding kerusi Parlimen, seorangnya Muslim tetapi mempunyai rekod pentadbiran yang buruk dan penyelewengan dan seorang lagi pula adalah calon bukan Muslim tetapi rekod pentadbiran dan pengurusannya baik dan telus.”

Soalan ini hanya melihat kepada satu situasi, iaitulah apabila berlaku di suatu tempat di mana ada dua calon: Satu Muslim, tetapi mempunyai rekod pentadbiran yang buruk dan penyelewengan dan seorang lagi pula adalah calon bukan Muslim tetapi rekod pentadbiran dan pengurusannya baik dan telus.

Pada hakikatnya masih banyak perkara yang perlu diperhalusi di dalam soalan ini. Antara perkara yang perlu diperhalusi, dan tidak disebutkan di dalam persoalan yang ditimbulkan ialah:

1- Bagaimana jika di suatu tempat, yang bertanding adalah seorang Muslim yang soleh dan tidak mempunyai rekod yang buruk, bahkan dikenali sebagai seorang yang soleh dan bertakwa kepada Allah (kita hanya berhukum dgn zahir, yang tersembunyi, maka terserah kepada Allah, seperti kata Imam Shaafi’i), dan lawannya adalah seorang non muslim yang juga mempunyai rekod yang baik. Siapakah yang perlu dipilih?

2- Bagaimana jika, muslim yang soleh ini akan berdepan dengan seorang bukan Islam, yang juga mempunyai rekod yang bersih, tetapi selalu mengeluarkan statement yang bertentangan dengan Islam, bahkan dalam banyak keadaan menolak Islam, atau calon ini datang daripada parti yang secara jelas dan terang menolak pengamalan Islam, atas apa juga sebab sekalipun.

Saya yakin jika inilah soalan-soalan yang dikemukakan kepada Prof Dr. Ra’fat Uthman, jawapannya amatlah berbeza. Saya mengenali beliau dan sedikit sebanyak faham ittijah beliau (cara pemikiran beliau). 

Dalam lawatan terakhir saya baru-baru ini ke Mesir, pada masa itu, kerajaan Presiden Mursi mahu membuat pinjaman daripada IMF, lalu beliau mengumpulkan sebahagian ulama utnuk menkaji sama ada patutkah Mesir mengambil pinjaman IMF yang berdasarkan kepada interest. Beberapa kertas kerja dibentangkan (saya ada simpanannya bersama saya). Saya diberitahu oleh Prof. Hussein Husein Shehatah, antara yang keras menolak ialah Prof. Dr Ra’fat, jika bolehpun mengikut Prof Ra’fat, mestilah memenuhi syarat-syarat yang ketat (syarat-syarat dharurat).

Saya berkeyakinan, jika soalan yang dikemukakan kepada Yang Berbahagia Prof. Ra’fat adalah mengambil kira dua faktor yang saya sebutkan di atas, jawapan yang beliau berikan sudah tentulah berbeza.

Untuk membuktikan telahan saya ini, cuba lihat pandangan yang beliau keluarkan di dalam isu perlantikan Aqbat (Qibti Mesir – beragama kristian ortodoks):

1) Dr Akram Kassab, al-Intikhabat, Ahkam wa Dhawabit, p. 61.

2) http://www.tanseerel.com/main/articles.aspx?selected_article_no=6355

3) http://www.ahl-alquran.com/arabic/printpage.php?doc_type=0&doc_id=10552

Terjemahan: “Berkata Dr Ra’fat Uthman, bekas anggota Majlis al-Buhuth al-Islamiyyah kepada majalah Shout al-Ummah: “Pencalonan Aqbat adalah haram mengikut syarak kerana Mesir adalah negara Islam, dan Syariat Islam adalah sumber kekuasaan, di samping itu beliau juga menyatakan bahawa tidak seharusnya soerang Qibti mencalonkan dirinya untuk pilihanraya presiden”. Dan beliau juga berkata: “Tidak boleh sama sekali dan haram bagi muslimin untuk perlantikan Qibti untuk pilihanraya majlis syura atau majlis sya’b dan tidak boleh apa yang dikatakan penentuan kerusi-kerusi tertentu kepada Qibti, kerana ia adalah bercanggah dengan Deen Islam yang merupakan sumber kehakiman di Mesir.

Begitu juga ianya bertentangan dengan hak kebebasan manusia kerana peluang hendaklah diberi kepada semua mereka yang mempunyai kelayakan (kafaah) untuk melaksanakan tugas anggota majlis sya’b atau majlis syura, bukannya dengan cara negara memberikan pencolan kepada calon-calon Qibti, dan kepada pemilih-pemilih Muslimin untuk memilih calon-calon Muslimin selagi mana terdapat calon-calon Muslim. Begitu juga sesiapa yang hendak memilih calon Qibti, maka hendaklah beliau berbuat demikian dengan cara rela, bukannya paksa.” Dr Ra’fat juga menyatakan bahawa adalah tidak dibenarkan sama sekali pencalonan bukan muslim untuk jawatan presiden Mesir, kerana Mesir (pada pandangan beliau) adalah negara Islam. Dan hukum ini (pent: tidak membenarkan) telah dipersepakati oleh semua ulama di Majma’ al-Buhuth. Dan tidak pernah sabit sama sekali, seorangpun daripada ulama-ulama Islam daripada ulama perundangan atau aqidah yang memberi fatwa membenarkan bukan Islam menjadi ketua negara. Dalam konteks yang sama, Dr Abdul Mun’am al-Birri, Bekas Ketua Jabhat Ulama’ al-Azhar menguatkan lagi kebenaran pandangan yang dikemukakan oleh Dr Muhammad Ra’fat Uthman. Dan beliau berkata: “Menjadi kewajipan seorang Muslim untuk memilih calon Muslim, dan menyatakan bahawa asas utama dalam pemilihan calon umat ialah pegangan mereka dengan Islam dan kuatnya agama mereka (tadayyun).

Beliau (Dr Abdul Mun’im) juga menambah: Sesiapa yang menyatakan suaranya di dalam pilihanraya, hendaklah beliau mengetahui bahawa suara beliau adalah amanah, dan beliau wajib memberikan suaranya kepada mereka yang beragama, dan sesiapa yang bertentangan dengan perkara ini, maka pemilihannya adalah haram dan beliau akan berdosa. Oleh kerana itu, adalah menjadi kewajipan seorang Muslim untuk memilih calon Muslim yang berpegang dengan agama (mutadayyin) dan bukannya serorang Muslim yang jauh daripada agamanya (jika ini keadaannya di mana muslim yang beragama bertanding menentang calon yang jauh daripada agama). Bagaimana untuk dia memilih Qibti? Makna Demokrasi ialah penguasaan majority dan majority di Mesir adalah beragama Islam. Maka sudah sepatutnyalah wakil rakyat mereka beragama Islam……”

…………………………..

Jelas daripada nukilan di atas, kedua-dua mereka telah menyatakan pandangan yang jelas berkenaan dengan pemilihan calon Islam ke atas bukan Islam. Lihat kata-kata Dr Ra’fat: “…kepada pemilih-pemilih Muslimin untuk memilih calon-calon Muslimin selagi mana terdapat calon-calon Muslim.” Dan juga kata-kata Dr Abdul Mun’im: “(jika ini keadaannya di mana muslim yang beragama bertanding menentang calon yang jauh daripada agama), bagaimana untuk dia memilih Qibti?”. Kedua-dua mereka jelas mengutamakan muslim di atas bukan Islam dan mewajibkan memilih muslim di atas non Muslim.

Saya amat yakin, jika sekiranya ditambah lagi soalan tersebut dan bertanya” Bagaimana pula jika sekiranya Muslim yang soleh, beramanah dan berwibawa bertanding menentang bukan Islam yang mengeluarkan kenyataan menentang Islam, atau calon bukan Islam yang datang daripada parti yang mengeluarkan pandangan-pandangan yang menentang pengamalan Islam”, saya yakin mereka tidak akan teragak-agak untuk mengatakan kewajipan untuk mengundi calon Muslin yang soleh dan beragama (tadayyun).

Saya juga berkeyakinan bahawa Prof. Dr Ra’fat tidak sama sekali menolak pencalonan bukan Islam ke Majlis Parlimen secara keseluruhan, jika sekiranya pencalonan tersebut memenuhi syarat-syarat yang sepatutnya dan membawa kemaslahatan kepada umat secara umumnya. Apatah lagi jika sekiranya seorang non Muslim itu terkenal sebagai seorang yang beretika dan amanah di dalam menjalankan tanggungjawabnya.

Tetapi jika dalam situasi di mana kita berhadapan dengan:

1- Dua pencalonan, kedua-duanya Muslim. Maka menjadi kewajipan kita untuk memilih calon Muslim yang paling soleh, beramanah dan berwibawa.

2- Dua pencalonan, seorang Muslim yang soleh, beramanah dan berwibawa dan seorang non Muslim yang juga beramanah dan berwibawa, sudah tentulah pemilihan kita kepada Muslim yang soleh, beramanah dan berwibawa. Jika dikatakan bagaimana jika Muslim tersebut masih baru dan tidak mempunyai pengalaman, jawapannya, dengan terlantiknya beliau sebagai wakil rakyat akan memberikan beliau pengalaman. Bukankah non Muslim yang beramanah dan berwibawa tersebut juga pada asalnya tidak berpengalaman ketika kali pertama beliau dicalonkan? Setiap manusia akan melalui hari pertamanya dalam urusan yang dilaluinya.

3- Dua pencalonan, seorang Muslim yang soleh, beramanah dan berwibawa dan seorang bukan Muslim yang amanah, tetapi menyatakan penentangan kepada mana-mana juzuk perlaksanaan Islam secara terbuka, atau parti yang didokongnya secara jelas menyatakan tentangan kepada perlaksanaan juzuk-juzuk syarak, maka pandangan syarak sudah tentulah menyatakan bahawa kita sepatutnya memilih seorang muslim yang soleh, beramanah dan berwibawa.

4- Begitu juga, di mana pencalonan adalah antara dua bukan Islam di satu tempat, dan umat Islam mengundi di kawasan tersebut, maka hendaklah diundi mereka yang lebih memberikan kebaikan dan mengurangkan kemudharatan kepada negara dan umat Islam. Perlu diingat, mengelakkan kemudharatan kepada negara ini seharusnya dilihat bukan sahaja daripada aspek material semata-mata, bahkan perlu dilihat daripada aspek masa depan Islam di Malaysia.

Tidak sepatutnya adalah kekhilafan dalam hal-hal yang disebutkan di atas.

Namun begitu terdapat situasi yang mungkin berlaku perbezaan pandangan, iaitulah:

5- Dua pencalonan, antara seorang Muslim yang tidak soleh dan mempunyai rekod yang buruk dan korup, dan seorang bukan muslim yang mempunyai rekod yang baik, dan tidak memusuhi Islam atau datang daripada parti yang tidak memusuhi Islam. Saya merasakan memilih calon bukan Islam tersebut dapat dilakukan jika sekiranya kita dapat menjamin (paling kurang secara zhon ghalib) bahawa suara umat Islam masih kekal menjadi majoriti, dan wujudnya non Muslim itu tidak memberi mudharat kepada huwiyyah (identity Malaysia Negara Islam) dan mereka sanggup menerima Islam sebagai agama persekutuan (dengan maknanya yang sebenar) dan dapat dijamin bahawa kuasa (syawkat) Islam tetap dominan, maka berkemungkinan dibolehkan pemilihan bukan Islam dalam hal ini. Perkara ini memerlukan perbincangan yang panjang dan perlu melihat kepada beberapa kaeadah maslahah dan mudharat, dan amat perlu berhati-hati di dalam membuat keputusan ini.

Perlu diingatkan bahawa suasana ini mungkin dipertimbangkan (setelah melihatkan qawaed maslah dan mafsadah) jika sekiranya, seorang muslim itu adalah tidak soleh, tidak beramanah dan berwibawa.

Jika sekiranya calon Muslim tersebut adalah seorang yang soleh, berwibawa dan beramanah, maka sudah tentulah tidak ada sebarang keraguan untuk memilihnya, dan bukannya non Muslim.

Perkara yang akhir inilah (nombor 5) yang sebenarnya cuba dihuraikan oleh Prof Dr. Rif’at, bukannya dalam keempat-empat suasana di atas. Para ulama masakini mempunyai pandangan yang berbeza-beza dalam perkara ke 5 ini, tetapi bukan dalam 4 situasi pertama seperti yang saya nyatakan di atas.

Perlu diingatkan, Prof Dr Ra’fat ini adalah seorang yang amat kuat memperjuangkan perlaksanaan syariat Islam di Mesir dan menolak sebarang penangguhan perlaksanaan syariat Islam (termasuk hudud) dengan apa juga alasan.

Dalam salah satu temuramah bersama dengan beliau, beliau ditanya pemberita: “Mufti Mesir, Dr ‘Ali Jumuah mengambil sikap untuk mengajak kepada penangguhan perlaksanaan syariat di Negara Arab dan Islam (al-‘Alam al-‘Arabi wa al-‘Islami), kerana kebanyakan negara berada di dalam keadaan “Syubhah”. Apakah komen kamu tentang perkara ini?”

Dr Ra’fat: “Pandangan Mufti berkenaan dengan penangguhan perlaksanaan syariat kerana perbezaan suasana adalah pandangan yang salah. (terj: perkataan ghalat boleh diterjemahkan sebagai salah dan keliru, dan kedua-dua makna membawa makna pandangan yang silap), dan tidak sepatutnya syubhat menyebabkan tidak dapat dilaksanakan (ta’til) hudud, kerana secara sepatutnya (al-asl), umat Islam sepatutnya berusaha untuk mengatasi syubhat dan bukannya menyerah kepada syubhat.

Pandangan yang dikemukakan oleh (Mufti) Jumuah adalah pandangan yang salah. Bagaimana dikatakan Syariat tidak sesuai untuk zaman ini, sedangkan ia adalah sesuai untuk setiap keadaan sehinggalah berlakunya kiamat. Dan pendapat beliau bahawa zaman ini dipenuhi dengan syubhat tidak dapat mnjadi alasan kepada permintaan beliau untuk menangguhkan perlaksaan syariat, kerana sepatutnya (al-asl), orang Islam sepatutnya berusaha untuk menolak semua syubhat, bukannya berhenti di dalam syubhat, dan mengenepikan hudud.

Ijtihad Mufti berkenaan dengan tidak sempurnanya syarat-syarat untuk perlaksanaan hudud adalah tidak benar, kerana secara asl (al-asl) adalah kemungkinan untuk perlaksanaan hudud syar’iyyah dan berlakunya pengecualian dan tidak dilaksanakan dengan wujudnya syubhat berdasarkan nas: “Dar’ al-hudud bi alSyubuhat” (Perlaksanaan hudud adalah tertolak dengan wujudnya syubhat).

………………………….. 

Oleh kerana itu, di samping kita sepatutnya melihat pandangan yang beliau keluarkan dalam pemilihan Muslim dan non Muslim (termasuk juga dalam situasi 4 pertama yang saya sebutkan sebelumnya di atas) kita juga mestilah juga melihat pandangan tersebut dari perspektif ini. Ini adalah kerana menurut beliau, sebarang perlantikan orang bukan Islam yang hendak dilantik tersebut mestilah menerima konsep kedaulatan Islam dan perlaksanaan syariat dan wujudnya beliau di dalam Majlis Parlimen tidak akan mengganggu sebarang usaha memacu ke arah perlaksanaan tersebut. Jika tidak, mudarat yang lebih besar akan berlaku, iaitulah memperlahankan rentak gagah memacu ke arah menegakkan syariat Islam yang sebenarnya seperti yang kita dambakan dan usahakan. Inilah intipati pandangan beliau jika kita menilai kedua-dua nukilan ini secara terbuka.

Semoga Allah mengasihi kita dan para guru kita dan memasukkan kita dan mereka ke dalam golongan hamba-hambaNya yang bertakwa.

Dr Aznan Hasan
Pengerusi Majlis Ulama’ ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *