KKMM: Satu retrospeksi

Budayakan perencanaan keluarga

KKMM mengenengahkan satu slogan yang cukup signifikan dengan keadaan semasa institusi keluarga Melayu Muslim iaitu “Membudayakan Perencanaan Dalam Keluarga Muslim”. Perencanaan yang dimaksudkan dalam tema program ini dihuraikan oleh Ustaz Abdullah Zaik dalam ucapan perasmian beliau. Beliau menyatakan yang dimaksudkan dengan perencanaan ialah membudayakan perencanaan dalam konteks menghidupkan amalan perancangan dalam proses mewujudkan sebuah keluarga dalam kerangka umum sesebuah masyarakat atau bangsa. Keluarga Muslim harus merangka agar keluarga yang dibina mempunyai agenda untuk menerapkan nilai-nilai taqwa yang tergambar dengan budi pekerti yang mulia serta sifat-sifat yang sepatutnya dimiliki oleh pemuda dan pemudi Islam.

Ustaz Abdullah juga menerangkan secara ringkas fungsi dan tanggungjawab setiap kompenen dalam keluarga seperti ayah, ibu, dan anak-anak dalam membentuk sebuah institusi keluarga yang unggul. Beliau menegaskan bahawa peribadi yang unggul sentiasa lahir dalam kelurga yang mempunyai latar belakang yang hebat. Hal ini dibuktikan dengan beberapa contoh antaranya ialah kisah Salahuddin Al-Ayubi dan Muhammad al-Fateh.

Bapa mesti ambil peranan

Seterusnya pembentangan kertas kerja oleh Prof Dr. Badrulhisham Abdul Aziz yang bertajuk peranan bapa sebagai tonggak keluarga beragenda menyentuh berkaitan pentingnya seorang bapa memainkan perana dan terlibat secara langsung dalam membentuk sebuah kelurga yang hebat. Beliau mengambil contoh daripada tokoh agung iaitu Hassan Al-Banna dalam menguruskan keluarga. Kesibukan beliau dalam memperjuangkan Islam bersama-sama gerakan Ikhwanul Muslimin tidak pernah dijadikan alasan untuk tidak mempedulikan keluarga beliau. Beliau sentiasa memastikan keperluan fizikal, mental dan emosi anak-anaknya dipenuhi tanpa mengabaikan tanggungjawab dakwah. Oleh yang demikian Prof Dr. Badrulhisham menegaskan dalam keadaan sekarang yang menyaksikan kehidupan semakin sibuk, bapa terutamanya tidak boleh sama sekali mengabaikan peranan dan tanggungjawab mereka kepada keluarga.

Karenah anak-anak dan kesannya

Seterusnya Prof Dato’ Dr Sidek Baba membentangkan kertas kerja yang sangat berguna kepada keluarga Melayu Muslim iaitu mengurus karenah anak-anak dalam keluarga. Beliau terlebih dahulu memberikan definisi karenah yang bermaksud ragam tingkah dan kemahuan. Prof Dato’ Dr Sidek Baba membawa satu pendekatan yang harus diambil serius oleh semua dalam menangani cabaran ini iaitu pendekatan “Akar-Sebab” (root-causes). Pendekatan ini menjelaskan bahawa setiap yang berlaku mempunyai sebab tertentu sama juga dengan karenah anak-anak. Karenah ini terbentuk dlam keluarga yang ibu bapa merupakan punca dan sumber utama ianya terjadi. Beliau menegaskan pendidikan di rumah sendiri menerusi contoh teladan yang ditunjukkan ibu bapa menjadi pendidikan tidak formal yang amat berkesan. Ianya berkaitan bagaimana ibu bapa mengurus rumah tangga, mendekati anak-anak, berkomunikasi dengan mereka, pancaran kasih sayang yang diberi, meraikan mereka secara berkesan, menegur dan menasihati mereka secara mendidik dan sentiasa merangsang anak-anak ke arah kejayaan dan kecemerlangan. Beliau juga memberikan tips dalam mendekati kerenah anak-anak. Akhirnya beliau menegaskan bahawa karenah anak-anak mestilah dikenali sejak mereka kecil lagi kerana ianya boleh menjadi indikator mengenai gelagat dan kecenderungan anak-anak apabila mereka dewasa.

Hadiri usrah, rancang perbelanjaan, elak penceraian

Dato' Zainul Rijal

Sesi seterusnya ialah sesi forum yang dipengerusikan oleh Ustazah Sabariah daripada JAKIM dan dibarisi tiga orang ahli panel iaitu Ustazah Norsaleha Mohd Salleh, Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar dan Tuan Hj Mahadzir. Ustazah Norsaleha menegaskan bahawa agama merupakan tunjang kepada keluarga yang berjaya. Tiga komponen yang perlu ada dalam sesebuah bait muslim iaitu sakinah, mawaddah dan rahmah. Beliau juga berkongsi tips dalam melestarikan kebahagiaan rumahtangga. Belaiu menyatakan bahawa melibatkan diri dalam usrah banyak membantu memperbaiki keadaan rumahtangga agar lebih harmonis dan bahagia. Dato’ Zainul Rijal pula menerangkan berkaitan implikasi penceraiaan terhadap masyarakat Muslim secara umum dan kepada anak-anak secara khusus. Beliau mengingatkan bahawa penceraiaan dan isu-isu berkaitannya boleh menyebabkan emosi dan tingkah laku anak-anak terganggu. Tuan Hj Mahadzir pula memberikan panduan-panduan yang amat berguna kepada para peserta berkaitan pengurusan kewangan keluarga. Beliau mengingatkan agar perbelanjaan keluarga mestilah dirancang selain melahirkan rasa sedih dan kecewa terhadap isu muflis dalam kalangan yang berusia 30 tahun ke bawah.

KKMM adalah program wajib hadir!

KKMM perlu dihadiri oleh semua individu Muslim bagi memastikan keluarga Melayu Muslim menjadi keluarga yang unggul dan secara tidak langsung membentuk sebuah masyarakat Muslim yang mapan darip semua sudut. Kerugian yang besar kepada mereka yang tidak hadir kerana terlalu banyak aspek penddikan yang dibentangkan dalam program ini, yang diyakini mampu mengubah corak dan hal tuju keluarga muslim. Program ini juga mampu membetulkan arah dan corak pemikiran keluarga muslim di Malaysia untuk hidup dan bergerak atas agenda yang jelas yang mampu membangun ummah yang unggul. Diharapkan penganjur KKMM dapat menjadikan acara ini sebagai acara tahunan dengan penambahan input selain mengadakan siri jelajah ke setiap negeri bagi membolehkan lebih ramai peserta atau masyarakat terdidik dengan ilmu-ilmu berkaitan kekeluargaan.

Oleh:
Adli Azimi Abdul Rahman
Aktivis ISMA Alor Setar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *