Lapan Exco Kedah Angkat Sumpah

exco_kedah

ALOR SETAR, 15 Mei (Bernama) — Lapan anggota dewan undangan negeri (Adun) Kedah mengangkat sumpah jawatan sebagai anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco).

Istiadat mengangkat sumpah pada Majlis Pelantikan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah dilakukan di hadapan anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit di sini.

Ini merupakan kali pertama kesemua mereka memegang jawatan Exco dengan empat daripadanya pula kali pertama menjadi wakil rakyat selepas menang pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), 5 mei lepas.

Adun Guar Chempedak Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, manakala Adun Sungai Tiang Datuk Suraya Yaacob pula Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan.

Adun Tanjung Dawai Datuk Tajul Urus Mat Zain dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya; Adun Kuala Nerang Badrul Hisham Hashim (Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan); Adun Ayer Hangat Mohd Rawi Abd Hamid (Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia, Pelancongan).

Turut dilantik Adun Belantek Datuk Mohd Tajudin Abdullah (Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan); Adun Jitra Aminuddin Omar (Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Badan-badan Bukan Kerajaan); dan Adun Bandar Baharu Noor Sabrina Mohd Noor (Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi).

Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir memegang portfolio Perancang Ekonomi Negeri, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Majlis Tindakan Negeri, Kewangan & Syarikat Milik Kerajaan Negeri.

Terdapat dua lagi kekosongan untuk jawatan Exco kerajaan negeri Kedah dengan satu daripadanya untuk wakil MCA.

Turut berangkat pada majlis itu ialah tiga lagi Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah iaitu Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Hadir sama Mukhriz dan Adun Kedah yang lain termasuk daripada pembangkang.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *