Larang jual vape seiring pengharaman: Mufti Kedah

mufti-kedah

ALOR SETAR, Jumaat – Mufti Kedah Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad mensyorkan agar kerajaan mengharamkan juga penjualan rokok elektronik (vape) dan shisha stick agar ianya sejajar dengan keputusan yang memutuskan bahawa menghisap vape dan shisha stick adalah haram.

Beliau berkata, selaras dengan keputusan pengharaman vape, kerajaan perlu mengambil kira perkara yang menyumbang kepada aktiviti berkenaan.

“Dalam Islam diharamkan arak bukan untuk minum saja, penjualan, pelesenan, penyediaan, semua diharamkan apabila kita menyumbang,” katanya.

Isnin lalu Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah lalu memutuskan hukum menghisap vape dan shisha stick adalah haram kerana akan menyebabkan berlaku kemudaratan dan pembaziran kepada masyarakat Islam.

Keputusan itu diambil setelah dibincangkan dengan teliti dan diberi penerangan khusus daripada pihak farmasi, serta berpandu ayat al-Quran.

“Ia hanya mendatangkan kemudaratan khusus kepada generasi yang akan kendalikan urusan pentadbiran negara pada masa akan datang, bukan sahaja orang Islam tapi semuanya,” kata Syeikh Muhammad.

Dalam perkembangan yang sama, Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri Mohammad Nazer Mustafa menyokong penuh keputusan pengharaman vape berikutan rokok eleltronik itu dilihat sebagai taktik baharu mengambil dadah.

Beliau berkata, jika sebelum ini dadah digunakan melalui suntikan jarum, tetapi sekarang pengguna boleh memasukkan bahan-bahan terlarang ke dalam perisa-perisa vape sedia ada seperti ganja, syabu serta nikotin.

Namun begitu, perkara tersebut sukar dikawal dan ianya bakal menjadi fenomena membimbangkan apabila pelajar sekolah dilihat antara mereka yang banyak menggunakan vape atau shisha stick.

Vape dikatakan berbahaya kerana mengandungi sejenis nikotin yang bervariasi iaitu nikotin pelarut, propilen glikol, dietilen glikol dan gliserin, yang apabila dipanaskan akan menghasilkan nitrosamine sejenis larutan yang boleh menyebabkan kanser.

Sumber: Ismaweb

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *