Lebih 6 juta belia hadapi krisis identiti

PUTRAJAYA 23 Okt. – Lebih enam juta belia di negara ini didakwa menghadapi krisis kecelaruan identiti disebabkan terpengaruh dengan gaya hidup Barat.

Dapatan tersebut diperoleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hasil tinjauan melalui media alternatif seperti laman sembang sosial Facebook dan Twitter yang dihoskannya bermula Januari tahun ini.

Sehingga kini terdapat kira-kira 11.65 juta belia di Malaysia iaitu 40.28 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di negara ini.

Presiden Isma, Abdullah Zaik Abd. Rahman (gambar) berkata, masalah tersebut kini berada pada tahap yang membimbangkan kerana ia akan mendorong belia terbabit ke arah pemikiran secara liberal.

Justeru beliau berkata, kerajaan perlu memandang serius perkara itu demi memastikan golongan belia terus berada pada landasan yang betul untuk menjamin masa depan negara.

“Jika tidak dibendung di peringkat awal, tidak mustahil perkara yang tidak diingini akan berlaku.

“Pelbagai program kesedaran melibatkan para belia perlu diperbanyakkan demi memastikan keterlibatan golongan ini bersama masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Keluarga Melayu Muslim 2011 di sini hari ini.

Konvensyen tersebut diadakan bagi memberi pendedahan mengenai isu semasa permasalahan keluarga dan rahsia kejayaan sebuah keluarga. Ia dimuatkan dengan dua sesi pembentangan kertas kerja selain forum bersama peserta.

Penceramah yang terlibat ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik dan Antarabangsa Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Dr. Badrulhisham Abdul Aziz; Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Sidek Baba; pengasas dan rakan kongsi utama HIJRAH Wealth Management Sdn. Bhd., Mahadzir Md. Isa dan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Menurut Abdullah Zaik, isu kecelaruan identiti sering dihubungkan dengan persoalan imej atau personaliti.

“Kecelaruan sering dikaitkan dengan keadaan hilang pedoman atau hala tuju perjuangan yang kehilangan visi dan misi. Kecelaruan juga sering difahamkan terhadap perbuatan dan amalan yang tidak selari dengan norma-norma positif dalam kehidupan,” katanya.

RESPONS MENTERI BELIA DAN SUKAN

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Kementerian Belia dan Sukan akan meneliti dakwaan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) bahawa lebih enam juta belia di negara ini menghadapi krisis kecelaruan identiti.

Sambil menolak kemungkinan program dilaksanakan kerajaan selama ini kurang berjaya, Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau akan mengkaji semula takrifan ‘kecelaruan’ yang digunakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam itu.

“Untuk memahami maksud kecelaruan, satu penelitian yang holistik perlu dilakukan sebagai KPI (Petunjuk Prestasi Utama).

“Siapa pula yang tidak celaru identiti? Apakah mekanisme yang digunakan bagi mengukurnya? Adakah ia setakat melalui media alternatif seperti laman sosial Facebook dan Twitter,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Presiden Isma, Abdullah Zaik Abd. Rahman semalam bahawa lebih enam juta belia di negara ini didakwa menghadapi krisis kecelaruan tersebut disebabkan terpengaruh dengan gaya hidup Barat.

Beliau turut memberitahu, usaha memperkasakan belia turut terletak di tangan kementerian lain termasuk Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pertahanan.

“Kita perlu mengetahui baki lima juta yang dikatakan tidak celaru itu. Adakah kejayaan mereka itu atas usaha kerajaan atau sebagainya?

“Bagaimanapun, saya mengalu-alukan konvensyen seperti yang dilakukan Isma itu. Saya harap mereka akan menghuraikan takrifan tersebut dengan lebih terperinci bagi semua isu yang mereka kemukakan selepas ini,” ujarnya.

Sumber: Mingguan Malaysia 24 Oktober 2011

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *