Liabiliti atau aset?

Saya sebenarnya telah berazam untuk tidak menulis apa-apa semasa Ramadhan ini memandangkan kita semua sibuk dengan ibadah puasa dan ibadah-ibadah lain bagi memenuhi jiwa yang kekeringan dengan dengan nilai-nilai rohani. Takut juga tulisan saya akan mengguriskan hati sesiapa di bulan yang mulia ini.

Namun peristiwa penyiasatan JAIS terhadap aktiviti yang berjalan di sebuah gereja di Damansara yang melibatkan umat Islam mendesak saya untuk mengatakan sesuatu. Apatah lagi apabila membaca respon dari sebahagian kecil pimpinan Melayu Islam yang berlumba-lumba untuk menghentam bangsa sendiri. Saya rasa malu dan rasa terhina menjadi seorang Islam apabila bangsa saya meminta maaf kepada orang bukan Islam yang cuba berdakwah kepada bangsa Melayu akan agama mereka.

Akhbar-akhbar alternatif yang menyokong pihak sana memainkan pula istilah-istilah seolah-olah JAIS dilihat telah “menyerbu” gereja sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya. Saya juga terkilan apabila pemimpin-pemimpin Melayu yang selama ini memperjuangakan Islam menyepi diri. Tidak ada desakan, tidak ada bantahan dan jika ditanya, tidak ada satu pendirian yang jelas dikemukakan. Saya tidak menyalahkan umat Islam di negara ini jika mereka menjadi semakin keliru dengan “stand” pemimpin-pemimpin Islam yang ada.

JAIS dituduh melanggar undang-undang dan menceroboh kebebasan beragama sedangkan perbincangan yang panjang telah berjalan di luar gereja. Mereka tidak masuk kecuali setelah mendapat izin dan tiada penangkapan berlaku. Bukti-bukti yang didapati JAIS menunjukkan adanya elemen dakyah kristianisasi sedang berjalan tetapi ini tidak diceritakan dengan baik.

Saya harus memuji Datuk Dr. Hasan Ali. Walaupun beliau menghadapi pelbagai tekanan tetapi beliau tegas melaksanakan tanggungjawabnya. Saya berdoa moga Allah memberikan kekuatan kepada beliau dan menambahkan keimanannya di bulan yang mulia ini. Malang, orang seperti ini pula dianggap “liability” kepada partinya.

Habis, orang yang seperti mana yang dikatakan aset?


Tuan Haji Aminuddin Yahya
Timbalan Presiden
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Suara Dari Gunung

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *