Logo dan parti, atau calon dan mesej?

Di Seremban, calon bebas Bujang bin Abu memperolehi hanya 83 undi.

Penyandang sebelum ini pula, John A/L Fernandez yang mengambil langkah bertanding atas tiket bebas hanya berjaya memungut undi sebanyak 221.

Pada tahun 2008 ketika bertanding atas tiket DAP beliau menang dengan undi sebanyak 32 970. Undi yang banyak itu tahun ini pergi kepada calon DAP pada tahun ini iaitu Loke Siew Fook dengan undi sebanyak 45 628.

Manakala calon bebas yang dihantar oleh BERJASA iaitu Ustaz Abdul Halim Abdullah berjaya mengaut sebanyak 6866 undi.

Persoalan:
1. Berdasarkan perbezaan undi yang diperolehi oleh John A/L Fernandez pada tahun 2008 dan tahun 2013, adakah calon DAP menang kerana kewibawaan calon atau kerana logo dan parti yang menjadi platform calonnya bertanding?

2. Adakah 6866 orang yang mengundi BERJASA, memberikan undi mereka atas dasar logo dan parti atau kerana penilaian mereka terhadap calon dan mesej BERJASA dalam pilihanraya?

Jawapan:
1. DAP menang pada tahun 2008 dan pada tahun ini kerana logo dan parti (DAP) yang menjadi platform calonnya bertanding, dan bukanlah kerana faktor calon. Kerana jika faktor calon berperanan besar, tentulah John A/L Fernandez tidak akan mengalami kemerosotan undi yang sedemikian rupa.

2. 6866 orang yang memberikan undi mereka kepada BERJASA di Seremban, membuat keputusan berdasarkan penilaian mereka terhadap seruan, mesej, dan calon yang ditawarkan dan diperkenalkan kepada mereka pada pilihanraya kali ini. Ini kerana adalah mustahil faktor logo dan parti memainkan peranan yang besar melihatkan kepada asingnya BERJASA dan logo bintang di Parlimen Seremban.

** (Seremban ialah satu kes contoh sahaja. Penilaian yang sama boleh diperhatikan di kesemua tempat calon BERJASA bertanding)

KESIMPULAN:

1. BERJASA (calon ISMA) mungkin BELUM menang kuantiti undi tetapi mereka sudah menang dari sudut motivasi dan objektif penyertaan pilihanraya iaitu memberikan alternatif kepada pengundi Melayu Muslim memilih calon Muslim yang berwibawa, serta objektif memperkenalkan gaya politik baru iaitu menilai seruan calon berdasarkan kepentingan agama, bangsa, dan negara (bukan sekadar material).

2. Seruan ‘Undilah Calon Muslim Berwibawa’ adalah seruan yang amat relevan di dalam lanskap politik negara pada masa ini dan akan datang. Ia cuma perlukan lebih masa dan usaha sebelum ianya menjadi seruan yang tertanam kukuh di dalam semua akal dan hati pengundi Melayu Muslim bagi menggantikan seruan-seruan lain yang terlalu simplistik dan merendahkan kecerdikan pengundi (anda semua tahu, tak perlu saya nyatakan contohnya).

3. Jumlah yang menyatakan sokongan mereka terhadap calon dan mesej BERJASA (calon ISMA) tidak sedikit jika dinilai kepada tempoh bekerja jentera mereka yang singkat (2 bulan sebelum PRU) dan dengan kewangan yang terhad (dari poket mereka sendiri). Jumlah inilah yang dimaksudkan oleh Ust Abdul Halim Abdullah sebagai ‘kerja Allah’ yang akan mengalami magisnya yang tersendiri pada siri-siri PRU yang akan datang.

4. Pendirian BERJASA/ISMA yang tidak memihak ke mana-mana blok politik sedia ada merupakan kelebihan besar bagi mereka berbanding semua pihak lain yang terlibat di dalam lapangan politik kerana mereka mampu meneruskan usaha mereka menyampaikan mesej dan seruan ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’ dan ‘Islam Berdaulat Malaysia Sejahtera’ tanpa perlu risau untung rugi politik kepada blok-blok tertentu. Yang menjadi perkiraan mereka hanyalah untung rugi agenda menegakkan Islam yang sejati di tanah air kita.

Semoga Allah memberikan mereka kekuatan menggalas tanggungjawab dan amanah aqidah serta watan demi melihat bumi Malaysia ini benar-benar merasai kerahmatan Islam suatu hari nanti. Doa sekalian umat Islam yang ikhlas adalah suntikan bekalan buat mereka semua.

Wallahu’alam.

Oleh:
Syed Ahmad Israa’ bin Syed Ibrahim
Aktivis ISMA Mesir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *