Mahu kerajaan negeri peka masalah rakyat

ALOR SETAR – Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah mahu kerajaan negeri sentiasa peka untuk menangani masalah dan cabaran dalam pentadbiran dan rakyat.

Titah baginda, ini termasuk mengamalkan perbelanjaan berhemah ketika keadaan ekonomi yang agak perlahan ketika ini.

Baginda bertitah demikian dalam Istiadat Menjunjung Duli sempena Keberangkatan Pulang Sultan Kedah selepas tamat tempoh pemerintahan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-14 di Istana Anak Bukit di sini, hari ini.

Turut hadir, Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Haminah, Raja Muda Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Laksamana Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Almarhum Sultan Badlishah dan Tunku Panglima Besar Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Baginda turut mahu kerajaan negeri membangun dan menjalankan lebih banyak projek yang memberi manfaat kepada rakyat.

Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan perasaan bangga dan berterima kasih atas permuafakatan di antara Ahli Jemaah Pemangku Sultan, menteri besar serta barisan pentadbiran negeri yang kukuh mentadbir negeri.

Terdahulu, sambutan gilang gemilang diadakan pada 12 Dis lalu di mana hampir 20,000 rakyat jelata pelbagai kaum hadir ke perbarisan Lambaian Kasih yang bermula dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas hingga ke Istana Anak Bukit di sini.

Ahmad Bashah berkata, Tuanku Abdul Halim sememangnya terkenal dengan sifat seorang raja yang berhemah tinggi, lemah lembut dan bersopan santun.

“Keprihatinan Tuanku juga jelas terbukti sewaktu menjalankan kewajipan sebagai Sultan Kedah dengan setiap hari berangkat ke pejabat di Wisma Darul Aman.

“Malah Tuanku mengambil pendekatan turun ke akar umbi untuk merapatkan jurang antara rakyat dan istana dengan menemui rakyat jelata,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *