Majlis Aidilfitri ISMA Kedah meriah

ISMA Alor Setar telah mengadakan majlis Aidilfitri pada 3 Oktober 2010 di Dewan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Darulaman. Majlis telah dimulakan dengan bacaan ayat suci AlQuran yang disampaikan oleh sdr Amirul, pelajar STAM Maktab Mahmud Alor Setar. Majlis seterusnya diisi dengan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Najib Sulaiman. Antara lain Utaz Najib mengajak para hadirin muhasabah amalan yang dilakukan sepanjang Ramadhan yang baru berlalu samada tarbiyyah yang dilalui itu benar-benar memberi kesan kepada diri masing-masing. Beliau juga menjelaskan makna sambutan aidilfitri yang dirai selepas selesai puasa sebulan Ramadhan. Dalam kesempatan ini juga, Ustaz turut menjelaskan peranan ISMA dalam membawa kebaikan kepada masyarakat.

Majlis diteruskan dengan ucapan Yang Dipertua ISMA Alor Setar, Dr Zulkifli Yusuf. Beliau yang segak berbaju melayu lengkap dengan bersampin menyatakan kesyukuran dengan penganjuran majlis sebegini yang dapat melahirkan rasa kebersamaan di kalangan ahli, di samping kegembiraan sambutan aidilfitri.

Sementara para ibu bapa mendengar tazkirah dan ucapan YDP, NAZIM mengadakan pertandingan mewarna untuk anak-anak yang hadir ke majlis ini. Pertandingan ini dibahagikan kepada 2 tahap iaitu tahap 1 untuk pelajar tahun 4-6 dan tahap 1 untuk pelajar bawah 10 tahun.

Dalam majlis ini juga, ISMA Alor Setar meraikan adik Siti Nor Syuhada bt Ahmad Sanusi dari Sek Men Keb Jitra telah berjaya meraih tempat kedua pertandingan mengarang cerpen Islami anjuran KRIM bersama Telaga Biru. Cerpen karangan beliau berjudul Revolusi Iman. Manakala adik Muhammad ‘Ammar b Abu Kassim dari Maktab Mahmud Yan telah memenangi hadiah saguhati. ISMA Alor Setar telah memberikan hadiah sampingan bersama hadiah yang disediakan pihak penganjur. Hadiah telah disampaikan oleh Dr Zulkifli.

Kemudian semua hadirin dijemput untuk menjamu selera juadah yang disediakan antaranya nasi daging, satay, ketupat, laksa dan rendang.

Majlis juga diserikan dengan nasyid spontan dari anak-anak Tadika Tasnem Bistari Taman Tunku Maheran. Majlis berakhir pada jam lebih kurang 1.00 petang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *