Makki dan madani dalam menentukan aulawiyat amal haraki

Makki dan madani dalam menentukan aulawiyat amal haraki. Makki merujuk kepada dakwah rasul s.a.w di peringkat mekah yang menekankan akidah, ibadat, nilai dan akhlak. Madani merujuk kepada dakwah di zaman Madinah yang merupakan peringkat pembinaan asas kenegaraan, perlaksanaan syariat pembentukan dasar hubungan luar dan sebagainya.

Apabila Hasan al Banna memulakan dakwah yang menyeluruh 1928, empat tahun selepas kejatuhan khilafah Uthamaniah, beliau memulakan dakwah secara terbuka. Ini kerana suasana pada waktu itu menuntut demikian. Dalam risalah Al-Manhaj beliau menyebut bahawa beliau lakukan demikian kerana suasana, walaupun dakwah sepatutnya bermula dengan takwin yakni pembentukan.

Setelah menerima pukulan hebat di zaman Jamal Nasir, Syed Qutb mengembalikan dakwah kepada metodenya yang asal iaitu bermula dengan takwin. Metode takwin ini difahami dari metode dakwah rasul di peringkat makki yang ciri-cirinya ialah pembentukan akidah, ibadah nilai dan akhlak.

Walaupun pada hakikatnya syariat telah turun dengan sempurna dan setiap muslim bertanggungjawab melaksanakan semua tuntutan syariat yang terkandung dalam ajaran Islam, tetapi oleh kerana realiti sistem kehidupan masyarakat sudah lari jauh dari Islam seperti yang diturunkan oleh Allah maka dalam usaha mengambalikan semula mereka kepada sistem Islam yang sempurna dakwah dilakukan secara beransur-ansur mengikut peringkat, seperti Islam pada awal kedatangannya dulu.

Imam Malik ada menyatakan bahawa tidak akan baik urusan umat akhir zaman ini kecuali dengan perkara yang sama telah memberikan kesolehan kepada generasi awal dahulu.

Mengambil pendekatan makki dalam dakwah tidak bererti sama sekali bahawa umat Islam yang menjadi sasaran dakwah sama seperti masyarakat jahiliyah di zaman Rasul s.a.w. sehingga sesetengah mengkafirkan masyarakat, membina wala’ berasakan organisasi dakwah dan memutuskan wala’ Islam terhadap mereka di luar organisasi dakwah walaupun mereka beragama Islam.

Ia juga tidak bererti bahawa pemerintah yang ada dikalangan umat Islam secara automatik hukumnya seperti Abu Lahab dan Abu Jahal. Mereka hendaklah dinilai mengikut kaedah fikh dan siasah syariyah yang berlainan.

Apa yang dimaksudkan ialah metode dakwah dari segi penekanan kepada akidah, pembentukan, neraca nilai, akhlak dan ibadah sebagai asas sebelum perlaksanaan aspek aspek pensyariatan yang lain. Ini kerana selama masyarakat tidak jelas akidah dan tidak faham syariat. Mereka tidak mungkin akan menyokong agenda perlaksanaan syariat dan pemrintahan islam keseluruhanya.

Di sini timbulnya istilah tadarruj (beransur-ansur), marhaliah dan maratib (peringkat-peringkat) amal. Bermula dari akidah, akhlak kepada politik ekonomi dan sebagainya. Daripada individu muslim, keluarga, masyarakat dan negara. Daripada takrif- takwin- tanfiz. Dan begitulah seterusnya.

Ramai yang belasah istilah tadarruj ikut suka dia sahaja.

Walahu a’lam.

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman,
Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Perjalananku

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *