Mandela dan politik Malaysia

Ketika Nelson Mandela dipenjarakan selama lebih 20 tahun oleh regim aparteid di Afrika Selatan, dalam satu keadaan beliau pernah dipaksa memikul batu-batu sejauh beberapa kilometer setiap hari selama 7 tahun. Setiap hari beliau dan banduan-banduan lain akan memikul dari satu tempat ke tempat lain dan esoknya pula disuruh memikul batu yang sama dari tempat yg diletak kembali ke tempat asal. Beliau tidak pernah mengeluh sedikitpun mahupan marah kepada pegawai2 penjara tetapi sebaliknya beliau berkata kepada rakan2 banduan lain: “Jika kita dibebaskan nanti maka kita akan maafkan mereka”. Inilah kehebatan seorang pemimpin yang tidak menaruh sedikit dendam kepada musuh poltiknya. Tidak salah kalau beliau dikagumi oleh semua pemimpin2 dunia, timur dan barat dan menjadi idola jutaan manusia!

Namun ssebaliknya berlaku di negara kita yang tercinta ini. Sifat “winners take all” ini begitu sebati dalam jiwa pemimpin-pemimpin politik negara. Apabila BN menang maka akan tersingkirlah semua puak-buak PR dari sebarang jawatan dan kedudukan. Yang naik adalah kuncu-kuncu mereka. Begitu juga apabila PR naik maka akan berlaku pula tsunami peralihan pemegang-pemegang tampuk kuasa. Semua akan diganti dengan pihak PR dan pengikutnya. BN pula akan terpinggir. Keadaan ini berlaku hingga ke mimbar-mimbar mesjid. Seolah-olah disana sudah tidak ada maaf bagimu kerana kamu dipihak lain. Samada yang akan memikul jawatan itu layak atau tidak, ia bukan menjadi kayu ukuran. Yang menjadi ukuran ialah sejauh mana kamu telah menolong parti dalam pilihanraya. Akhirnya berlakulah kepincangan dalam agensi-agensi kerajaan. Berlakunya rasuah, salah guna kuasa dan kerugian jutaan ringgit. Jika ditegur maka media menjadi forum untuk mereka berdolak dalih namun mengaku jauh sekali kerana itu akan mencemarkan imej parti. Hampir tidak ada, kecuali sorang dua, pemimpin yg sanggup letak jawatan kerana salahguna kuasa semenjak merdeka. Sedangkan di negara barat dan timur lain, pemimpin meletak jawatan disebabkan kesilapan yg dilakukan adalah perkara biasa. Terakhir ialah apabila Ketua Polis London letak jawatan kerana kes Rupert Murdoch.

Adakah ini budaya yang kita inginkan selama ini? Apakah ini sebab perjuangan kita? Kalau inilah keadaanya maka saya rasa negara masih jauh dari kematangan politik yang sebenarnya. Tidak akan banyak menfaatnya kepada rakyat apatah lagi kepada kesatuan Melayu Islam jika sikap ini terus di amalkan.

Melihat komentar-komentar di dalam blog ini yang banyak beremosi lebih dari berilmu membayangkan masa depan negara yang gelap walau sesiapapun yang memerintah. Ini membimbangkan saya. Seolah-olah ia berkata “Jika saya memerintah nanti, siap kamu”. Adakah ini yang kita definisikan sebagai masyarakat madani? Atau masyarakat bertemadun? Atau masyarakat yang mencintai dan mencari kebenaran?

Ayuh saudara/ri semua marilah kita bina budaya politik baru yang mementingkan ilmu dan hujah yg bernas, baru kita akan dapat kebenaran. Ya, adakala ia memang pahit untuk ditelan tetapi itulah mujahadah kita sesama Islam.

Mandela telah melakarkan contoh untuk kita renungi.


Tuan Haji Aminuddin Yahya
Timbalan Presiden
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Suara Dari Gunung

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *