Masalah celaru pemikiran dan krisis identiti (Bhgn. 1)

Isu kecelaruan pemikiran dan krisis identiti kerap dikaitkan dengan arus kemodenan, globalisasi dan perkembangan fizikal seseorang. Golongan remaja dan belia merupakan kumpulan yang paling besar terkesan dengan tempias ini. Fenomena ini melibatkan remaja belia semua bangsa sama ada Melayu, Cina, India dan lain-lain. Sepatutnya, fenomena sebegini tidak akan terpalit kepada kaum Melayu yang sudah lama diasuh dan dididik dengan pendidikan yang bersendikan ketuhanan dan akhlak terpuji. Namun realitinya, remaja Melayulah yang paling ramai terjerumus dalam krisis ini. Apakah asuhan dan didikan yang dilalui sekian lama tidak membantu mereka berfikir secara rasional? Apakah ibubapa tidak memainkan peranan untuk mendewasakan cara mereka berfikir dan bertindak? Apakah mereka sudah ditakdirkan menjadi manusia yang sebegitu?

Usah menuding jari ke mana-mana pihak, tetapi persoalan yang harus kita kemukakan, apakah yang boleh kita lakukan?

Allah tidak akan bertanya kita tentang perihal orang lain yang dilakukan olehnya, tetapi malaikat akan bertanya apakah yang pernah kita lakukan. Semoga saham kita yang sedikit yang diambil membawa hasil yang besar kepada generasi hadapan. Inilah misi besar yang didokong oleh ISMA iaitu “Membangun Umat Beragenda”, bukan melihat kepada masalah, tetapi melihat peluang untuk beramal.

Maksud Kecelaruan Pemikiran

Menurut Kamus Dewan celaru bermaksud bingung dan tidak keruan, manakala pemikiran pula ialah idea, fikiran atau cara berfikir. Kecelaruan pemikiran bermaksud tidak berupaya dan malas berfikir secara matang dan rasional. Malahan orang yang dilanda kecelaruan pemikiran, tidak suka membuat keputusan yang kritikal dan lebih suka menjadi pak turut, banyak berkhayal dan membuang masa daripada melakukan kerja yang berfaedah. Kesannya, jika yang dituruti itu sesuatu yang baik mungkin ia boleh menjadi seorang yang baik, tetapi jika yang dituruti sebaliknya, pasti membawa padah dan kemusnahan kepada masa depannya.

Situasi inilah yang kerap melanda para remaja. Kehendak nafsu seronok, kebebasan tanpa dikongkong, ajakan rakan sebaya lebih dituruti melebihi daripada matlamat dan cita-cita dirinya. Pepatah Arab ada berkata: “Kepemudaan itu satu cabang kegilaan”.

Bayangkan jika remaja kita memiliki matlamat dan cita-cita yang jelas dan tinggi menggunung dan di perkukuhkan pula dengan semangat yang berkobar-kobar untuk berjaya, pastinya gejala sosial yang melanda umat kini kian terhakis. Itukan hanya matlamat dan cita-cita duniawi, bayangkan pula jika remaja kita memiliki semangat kecintaan yang tinggi terhadap agama dan janji-janji mulia daripada PenciptaNya, pasti mereka tidak akan rela membiarkan masa depan keluarga dan generasi mendatang terus dicengkam oleh ekonomi kapitalis, tidak rela kehidupan dan sistem hidup direncanakan oleh orang yang kufur kepada Allah. Remaja kita akan menjadi seorang yang hebat sehebatnya.

Sebaliknya, apabila cita-cita mereka kecil dan berpada dengan sesuap nasi pun cukuplah, menjadikan mereka suka berpoya-poya dan membuang masa di stesen-stesen bas dan pasaraya-pasaraya. Malahan kerap kali juga ditemui remaja sebegini seolah-olah sudah hilang identitinya sebagai muslim, hilang nilai kesopanan dan kemanusiaan. Kehidupan mereka bagaikan seekor binatang yang tiada memiliki sifat malu. Benarlah pesanan Nabi s.a.w:

“Jika kamu tidak malu, buatlah apa yang kamu suka” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sifat malu yang dilatih oleh ibu bapa sebenarnya, banyak faedahnya. Apabila sifat malu sudah tiada, perhatikan betapa tidak bertamadunnya cara mereka berpakaian, dengarlah cara mereka bertutur, lihatlah cara mereka berinteraksi. Kesemua karakter dan tingkah laku sedemikian merupakan petanda kepada kemusnahan sesuatu bangsa. Ingatlah pesanan yang ditegaskan oleh Ahmad Syauki dalam syairnya:

انما الامم الاخلاق ما بقيت فان هموا ذهبت اخلاقهم ذهبوا

Maksudnya: Sesuatu bangsa itu akan kekal selagimana mereka memiliki akhlak, Tetapi apabila sudah hilangnya akhlak mereka, mereka juga akan pupus.

Profesor Diraja Ungku Aziz (2005), berpendapat remaja lelaki lebih banyak terkesan dengan krisis ini berbanding remaja wanita. Remaja wanita dilihat memiliki kawalan emosi yang lebih stabil. Fenomena rempit, penyalah gunaan dadah, lepak, kes buli, video games, berpeleseran di pasaraya-pasaraya seolah-olah mengiyakan pernyataan tersebut.

Bangunlah anak bangsaku, kembalilah kalian ke pangkal jalan. Jadikanlah agama sebagai pakaian, sahutlah dan buktikanlah dan bertindaklah kalian menyahut seruan pemuda berjiwa besar ini, katanya :

Bukanlah pemuda itu, yang menghitung….ayahku dulu, begini, begini Tetapi pemuda sebenar adalah…… inilah dia. (Ali Bin Abi Talib r.a)


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *