Masalah celaru pemikiran dan krisis identiti (Bhgn. 2)

Krisis Identiti

Identiti merupakan imej, personaliti atau penzahiran secara langsung yang dipamerkan oleh seseorang kepada khalayak. Penzahiran tersebut hakikatnya mempunyai perkaitan langsung dengan cara berfikir dan kegiatan seseorang. Menurut pakar psikologi, biasanya mereka yang mengalami kecelaruan pemikiran antara kesan langsung yang dapat diperhatikan daripada identiti dan penampilannya seperti berikut;

i. Cara Berfikir

Boleh disifatkan mereka ini terdiri daripada kelompok manusia yang malas berfikir. Malahan mereka tidak pernah berfikir tentang apa yang mereka lakukan, apakah yang mereka lalui di masa hadapan, apakah perasaan ibu dan ayah, bagaimanakah tanggapan masyarakat umum terhadap mereka, dan sebagainya. Oleh kerana itu, jika kita perhatikan di dalam al-Quran Allah SWT menggunakan pelbagai uslub dan gaya bahasa mengarahkan hamba-hambaNya supaya berfikir. Terkadang ada juga yang berfikir namun pemikirannya hanya mendatar dan tidak kritikal. Fenomena ini jika tidak ditangani, akhirnya akan menjadikan umat Islam pak turut (taqlid), tidak berinovasi dan tidak berdaya saing. Lebih dasyat daripada itu mereka terus alpa dan tidak memperdulikan langsung perihal negara, bangsa dan agama yang mereka imani. Inilah yang dimahukan oleh musuh-musuh Islam.

ii. Pakaian dan Tutur kata

Penampilan diri dan imej diri juga dapat dilihat melalui cara berpakaian dan tutur bicara. Kesan daripada globalisasi dan dunia tanpa sempadan, umat Islam kini turut terdedah kepada dunia luar samada dari sudut cara berpakaian, cara berbicara, tingkah laku dan hubungan sesama manusia. Tidak menjadi kesalahan jika yang diambil perkara yang bermanfaat. Namun apa yang berlaku sebaliknya. Umat Islam yang bersendikan prinsip agama seolah-olah hilang pertimbangan, semuanya mengagongkan cara dan ala barat. Kita temui ramai yang bertudung kepala, dalam waktu yang sama berseluar ketat dan berbaju t-shirt. Yang sebetulnya, amalan tersebut adalah menutup rambut bukan menutup aurat. Lihat pula kepada gambar dan corak yang dihiaskan pada pakaian, entah apa-apa. Lahiriah tersebut menggambarkan betapa kritikalnya krisis identiti yang melanda umat Islam. Begitu juga dalam tutur kata yang tidak melambangkan keperibadian lemah lembut dan berbudi bahasa.

iii. Tingkah laku dan Tindakan

Seseorang yang tidak mempunyai sebarang agenda dalam diari kehidupannya memiliki masa yang cukup banyak. Lantaran itu, kita kerap temui mereka ini dalam suasana berbual kosong, melepak di pasaraya dan sebagainya. Situasi tersebut menjadikan mereka terdedah dan terpengaruh dengan rakan yang tidak baik tingkah lakunya. Masalah rokok, mengganggu di jalanan dan tidak kurang juga melakukan amalan seks bebas. Jika suasana tersebut berpanjangan, akhirnya membentuk suatu tabiat buruk yang mencerna kehidupan. Apabila rebung sudah menjadi buluh, amat sukar untuk dibentuk semula.

iv. Budaya Kehidupan

Islam adalah agama fitrah. Allah SWT menjadikan siang dan malam silih berganti. Tentu di sana ada hikmahnya. Malam dijadikan waktu beristirehat dan siang sebagai waktu mencari nafkah dan bekerja. Tetapi mereka yang dilanda krisis, kebiasaannya cara hidup dan penyusunan waktu agak terbalik. Siang waktu tidur dan malam waktu berjaga. Keadaan tersebut menjadikan mereka tidak bermaya, lesu dan tidak bertenaga. Cara hidup sedemikian, juga menjadikan mereka manusia yang malas berfikir dan merasa cukup dengan sesuap nasi. Apabila digabungkan semua unsur penampilan manusia yang dilanda krisis tersebut, menjadikan mereka sentiasa dipandang hinda dan dianggap sampah kepada masyarakat. Bukan kehendak masyarakat sebegitu, tetapi dek kerana tindakan tanduk, tingkah laku dan penampilan yang dipamerkan oleh mereka, menjadikan ahli keluarga dan masyarakat, sudah tiada pengharapan lagi yang boleh disandarkan kepada mereka ini. Sebab itu mereka dilabelkan sebagai sampah dan perosak masyarakat.

Penutup

Isu kecelaruan pemikiran dan krisis identiti tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan. Malahan ianya perlu ditangani segera dengan sebaik mungkin. Jika dibiarkan, impaknya akan menentukan jatuh bangunnya sesuatu bangsa dan negara. Bangsa Melayu merupakan bangsa yang dominan kepada Islam dan Negara Malaysia. Oleh itu, ISMA melihat isu ini merupakan isu besar yang perlu ditangani secara beragenda. Insyaallah dalam bahagian kedua nanti, penulis akan cuba menghuraikan punca-punca yang menyumbang kepada krisis berkenaan dan kenapa menjadi sebegitu? Akhirnya penulis cuba berkongsi pendapat bagi menangani krisis berkenaan.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *