Melatih anak-anak bersama Ramadhan

anak puasa

Kesinambungan daripada artikel tulisan saya sebelum ini, berikut adalah sedikit saranan yang boleh kita cuba laksanakan bersama dengan anak-anak di bulan Ramadhan ini.

1. Marhaban Ya Ramadhan

Masyarakat kita sangat biasa melakukan pelbagai persiapan untuk meraikan kedatangan bulan Syawal tetapi sedikit sekali yang meraikan kedatangan Ramadhan. Apakata kita melakukan sedikit perubahan dengan menyemarakkan kedatangan Ramadhan. Kita mungkin boleh mengajak anak-anak kita untuk menghias rumah, menukar langsir dan menceriakan suasana rumah sempena menyambut Ramadhan. Bagi yang berkemampuan, mungkin boleh mengajak anak-anak sama-sama memasak juadah yang berkhasiat tetapi ringkas dan boleh menjemput jiran atau sahabat-sahabat untuk sama-sama meraikan kedatangan Ramadhan. Anak-anak pasti terkesan dan ini dilakukan sebagai syiar ahli keluarga dan keprihatinan terhadap kedatangan ‘kekasih yang disayangi’.

2. Latihan berpuasa untuk anak-anak

Anak-anak perlu dilatih berpuasa secara beransur-ansur iaitu berpuasa selama beberapa jam dan kemudian beberapa hari. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kemampuan setiap anak itu berbeza. Bagi yang bersaiz fizikal besar, agak mudah berpuasa kerana simpanan tenaganya lebih banyak dibandingkan dari yang bersaiz fizikal kecil. Namun begitu, ada yang kecil tapi kemahuannya tinggi dan boleh menyamai yang besar. Berilah ganjaran bagi setiap puasa yang dapat disempurnakan oleh anak-anak sebagai menghargai kesungguhan mereka untuk beribadah dan taat mengerjakan suruhan Allah dan yang lebih penting mengingatkan mereka dengan pahala berganda yang telah Allah sediakan untuk mereka.

3. Berbuka dan Bersahur

Anak-anak perlu diajar dua tanggungjawab ini iaitu berbuka dan bersahur. Mereka perlu diajar berbuka dengan sederhana dan menjauhkan amalan pembaziran makanan. Biasakan berbuka dengan tamar atau buah-buahan supaya dapat membekalkan gula ringkas dengan cepat kepada tubuh. Anak-anak juga perlu diberi minum (sebaik-baiknya air kosong) 5-6 gelas sehari (antara berbuka dan bersahur; jangan minum terlalu banyak waktu berbuka) bagi mengembalikan kesegaran tubuh dan mengelakkan sembelit. Walaupun pada bulan ramadhan ini banyak pasar-pasar Ramadhan yang tumbuh bagai cendawan elakkan dari selalu membeli/makan di luar kerana kurang pasti dari segi kebersihannya dan juga kemungkinan untuk membeli secara berlebihan. Makanan yang terbaik adalah yang dimasak sendiri kerana kesegarannya terjamin dan kandungan nutrisinya lebih terjaga. Hayatilah sabda Rasulullah ( s.a.w. )

“Sesiapa yang menyediakan orang yang berpuasa berbuka maka ia akan menghapuskan dosanya dan menjadi penyelamat dari api neraka”

Seringkali perkara yang sukar adalah mengejutkan anak-anak untuk bersahur sedangkan bersahur/early breakfast ini adalah penting untuk membekalkan tenaga pada siang hari. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah ( s.a.w. ) bersabda “ Bersahur itu berkat, maka janganlah ditinggalkan walau hanya dengan seteguk air. Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat ke atas orang yang bersahur”.
Salah satu yang boleh dilakukan untuk menggalakkan anak-anak bersahur adalah kreativiti ibu untuk mempelbagaikan menu sewaktu bersahur. Rutin kita orang Melayu bersahur dengan nasi dan bagi seorang anak memakan nasi pada jam 5 pagi adalah sesuatu yang mungkin tidak begitu disukai. Ibu boleh melpelbagaikan resepi seperti hidangan ‘mushroom soup’ dengan roti, kebab, mi, bihun, spaghetti atau apa-apa sahaja yang disukai oleh anak. Kita ingin menjadikan sahur sebagai hidangan ala kadar tetapi mungkin 2 atau 3 kali seminggu raikanlah keinginan anak dengan keluar dari rutin kebiasaan.

4. Taman Al-Quran

Didiklah anak-anak yang elok bacaannya agar membaca Al Quran setiap hari. Setiap dari anak mesti diberi matlamat untuk membaca, mentadabbur, mengulangkaji hafazan dan menghafaz Al quran. Bagi anak-anak yang telah remaja yang boleh membaca dengan baik sendiri, mereka boleh diberi matlamat misalnya sejuzuk atau separuh juzuk sehari, tadabbur beberapa ayat sehari dan menghafaz beberapa surah pilihan. Bagi anak-anak kecil pula (usia sekolah rendah), perkara yang sama boleh juga dilakukan tetapi dengan matlamat yang bersesuaian. Kebolehan anak-anak sebenarnya lebih dari kita jangkakan, selalunya pada usia begini mereka senang menghafaz al Quran, cuma kita sebagai ibubapa kena memperuntukkan waktu dan tenaga untuk menjadi moderator. Mungkin juga di sini, NAZIM boleh berperanan misalnya mengadakan pertandingan menghafaz sempena bulan Ramadhan dengan memberi beberapa surah pilihan mengikut tahap usia anak.

Apa yang kita harapkan agar madrasah Ramadhan akan menjadikan anak-anak kita lebih dekat dengan Al-Quran, mencintai Al Quran dan mendapat hidayah dari nur Al Quran.

5. Suburkan Amalan Memberi

Setiap kebaikan yang dilakukan di bulan Ramadhan akan digandakan pahalanya. Sifat memberi adalah salah satu sikap yang baik yang boleh disuburkan di dalam bulan Ramadan. Biasakan anak anda menderma di bulan Ramadhan dan ajarkan dia berjimat cermat dalam perbelanjaannya untuk didermakan. Sediakan tabung di rumah di mana anak-anak boleh memasukkan lebihan dari belanja duit sekolah mereka untuk disedekahkan kepada yang tidak berkemampuan.

Pernah kami menganjurkan aktiviti berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan sebelum itu kutipan untuk disedekahkan kepada anak yatim; Nampak anak-anak kita terkesan dengan aktiviti yang dianjurkan. Mereka lebih menghargai nikmat mempunyai ayah dan ibu serta keluarga dan menginsafi kedudukan mereka dibandingkan dengan anak-anak yatim tersebut. Di waktu yang lain, apabila dekat dengan aidil Fitri, ramai fakir miskin akan berkumpul sekitar Pekan Rabu, Alor Setar dan anak-anak boleh diajar untuk memberi sedekah kepada golongan tidak bernasib baik ini. Antara aktiviti lain yang boleh dilakukan untuk menyuburkan sifat memberi ini ialah seperti aktiviti Bakul Ramadhan di mana kita boleh melibatkan anak-anak kita untuk mengisi bakul/plastik dengan makanan asas seperti tepung, gula, susu, biskut dan lain-lain untuk disedekahkan kepada golongan kurang berada. Biro wanita ISMA Alor Setar pernah menganjurkan aktiviti bakul Ramadan kepada warga pesakit Hospital Kuala Nerang. Mungkin tahun ini, kita boleh melakukan aktiviti yang serupa tetapi melibatkan anak remaja dan sekolah rendah pula.

6. Jauhkan perkara yang melalaikan, isikan dengan amalan zikrullah

Anak-anak perlu dididik bahawa puasa bukan sahaja pula menahan lapar dan dahaga tetapi puasa adalah menahan diri dari melakukan dosa dan perkara yang melalaikan. Seluruh anggota di suruh berpuasa. Kebiasaan masyarakat kita adalah bersantai di hadapan televisyen sementara menanti waktu berbuka puasa dan televisyen kerap juga dijadikan sebagai “pendodoi’ anak-anak yang merengek kelaparan. Rutin ini perlu diubah; pilihlah siaran televisyen yang bersesuaian atau gantikan dengan video berfaedah, gunakan waktu yang ada untuk aktiviti keluarga seperti tadarus, tazkirah, membaca kisah teladan ataupun aktiviti memasak bersama dengan anak-anak. Selepas berbuka, ajaklah anak-anak untuk melakukan sunat tarawih yang hanya setahun sekali datangnya.

Pendek kata, Ramadan bukan sahaja bulan tarbiah untuk orang dewasa tetapi juga waktu yang terbaik untuk menerapkan nilai-nilai murni untuk anak-anak kita. Mudah-mudahan celupan yang terhasil dari Ramadan ini akan membuahkan hasil anak-anak yang soleh dan solehah sibghah Allah swt. Amin.

Dr. Murizah bt Mohd Zain

Pengerusi I-Medik Kedah

 

Nota: Dr. Murizah merupakan Pakar Perbidanan & Sakit Puan di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

One thought on “Melatih anak-anak bersama Ramadhan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *