Melentur buluh biarlah dari rebungnya: Edisi Ramadhan

Tahun ini merupakan tahun pertama saya melatih anak sulung saya, Azimah Khaulah untuk mengimarahkan ibadah di bulan Ramadhan sesuai dengan kemampuan, keinginan dan semangatnya. Pada usia yang bakal memasuki 5 tahun, Khaulah agak mudah memahami tujuan tuntutan-tuntutan ibadah di bulan yang mulia ini jika saya menjelaskannya dengan bahasa-bahasa yang mudah.

Sebelum tiba 1 Ramadhan, saya telah mengajak Khaulah untuk membuat jadual ibadah sempena bulan Ramadhan. Dia cukup teruja kerana saya turut memberikannya sticker-sticker kartun yang comel untuk ditampalkan pada petak-petak kosong jadual tersebut jika dia berjaya melaksanakan ibadah-ibadah yang saya tentukan. Tidak banyak yang saya tuntut untuk dia laksanakan, memandangkan saya hanya ingin dia konsisten dengan 3 perkara sahaja iaitu solat terawikh, membaca Iqra’ dan bersahur.

Untuk solat terawikh, saya melaksanakannya di rumah secara berjemaah bersama Khaulah dan adiknya, Atiq Assiddiq yang berusia 2 tahun. Oleh kerana Atiq agak lasak dan ‘playful’ pada umur sebegini, maka saya rasa agak kurang sesuai untuk saya membawanya ke masjid, dikhuatiri kehadirannya akan mengganggu konsentrasi jemaah-jemaah lain yang sedang berusaha menghadirkan diri sepenuhnya dalam solat mereka. Bagi Khaulah, seusai sahaja solat terawikh, dia dengan gembiranya akan menampal stiker di dalam jadual ibadahnya. Setakat hari ini, dia tidak menunaikan 2 terawikh pada 2 malam kerana tertidur, dan 3 malam kerana saya berada di luar kawasan dan tidak dapat berterawikh bersamanya. Jadi sebagai “denda”, tidak dapatlah dia menampal stiker pada malam-malam tersebut.

Untuk bacaan Iqra’ pula, selalunya saya mengajarnya membaca sebaik pulang dari pejabat sementara menunggu waktu berbuka puasa. Seboleh-bolehnya saya elakkan dia membaca selepas maghrib kerana khuatir dia akan kepenatan sebaik tiba masa untuk berterawikh.

Bagi ibadah sahur pula, setakat ini saya belum sanggup mengejutkannya seawal jam 5 pagi kerana bimbang akan merencatkan tumbesarannya akibat tidur yang terganggu. Namun, disebabkan semangat puasanya yang sangat tinggi, maka saya mewajibkannya “bersahur” pada jam 7 pagi sebelum ke tadika. Jika dia enggan makan, saya hanya perlu “mengugut”nya dengan melarang dia berpuasa, dan taktik itu berjaya mengubah fikirannya lantas makan sedikit dan minum susu. Bagi saya, amat penting untuk menekankan kepentingan bersahur dalam diri anak-anak jika mereka hendak berpuasa kerana sunnah sahur yang ditetapkan oleh Rasulullah itulah yang membezakan puasa orang Islam dengan puasa penganut agama lain, maka tidak patut kita tinggalkan sahur dengan sengaja.

Kini, tinggal 20 hari sahaja lagi sebelum Ramadhan berlalu pergi. Semoga cahaya kebaikan akan terus menyinari hati-hati manusia yang beriman, begitu juga hati anak-anak yang sedang mula berjinak-jinak dengan ibadah untuk Penciptanya.

Oleh:
Nor Hasni Hayati aka Ummu Khaulah
Subang Jaya

Sumber: Laman Wanita ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *