Meraikan Ramadhan

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (2: 183)

Segala puji bagi Allah yang telah memberikan kesempatan kepada kita untuk terus melalui hari-hari yang indah dalam bulan yang merupakan penghulu segala bulan iaitu Ramadhan. Mudah-mudahan Allah SWT terus memberikan kita kesempatan untuk beribadah dan melakukan amal-amal soleh sepanjang Ramadhan tahun ini dan mudah-mudahan kita menjadi hamba yang semakin baik dari hari ke hari dalam bulan Ramadhan sehingga meraih darjat muttaqin.

Sesungguhnya bulan Ramadhan ialah bulan yang dinantikan oleh semua umat Islam yang sedar akan segala kelebihan yang telah dijanjikan oleh Allah SWT dalam bulan ini. Adapun bagi mereka yang lalai bulan ini tidak lebih daripada bulan perubahan jadual makan dan bulan yang memberatkan sebelum datangnya Syawal. Sesungguhnya bulan ini ialah bulan yang penuh berkah dan rahmah. Bulan ini telah dinamakan dengan pelbagai nama yang menggambarkan kelebihannya dan keutamaannya. Antara nama yang biasa diberikan ialah sayyidushuhur, shahrulshiam, sharulqur’an, sharuttaubah, shahruldakwah wal jihad, dan shahrulmubarakah. Sesungguhnya ibadah puasa wajib pada bulan Ramadhan mempunyai kedudukan yang istimewa disisi Allah SWT. Hal ini berdasarkan firman Allah dalam hadis qudsi yang bermaksud:

“Semua amal anak adam adalah untuknya sendiri kecuali puasa, sesungguhnya ia untuk-Ku dan Aku sendiri akan membalasnya. Ia tinggalkan makanan, minuman dan syahwatnya kerana-Ku..” (HR Bukhari dan Muslim)

Bagaimana menyambut Ramadhan:

1) Berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala di sisi Allah SWT

Seharusnya seorang mukmin tidak hanya memperolehi daripada puasanya sekadar lapar dan dahaga kerana Allah SWT telah menjanjikan pelbagai ganjaran kepada mereka yang berpuasa. Puasa ynag dimaksudkan ialah puasa seluruh anggota badan zahir dan batin daripada melakukan maksiat kepada Allah SWT. Mata harus berpuasa daripada melihat perkara-perkara yang haram dan melalaikan, telinga harus berpuasa daripada mendengar muzik-muzik yang bercanggah dengan syariat serta suara-suara umpatan, mulut juga harus berpuasa daripada makan dan mengungkapkan keaiban orang lain serta daripada mengeluarkan perkataan-perkataan buruk lagi jahilliah. Bahkan tangan dan kaki juga harus berpuasa daripada mengambil perkara yang haram dan melangkah ke tempat maksiat. Hati dan fikiran juga harus berpuasa daripada perasaan hasad dengki, permusuhan dan daripada memikirkan perkara-perkara yang membangkitkan syahwat. Barang siapa yang mampu menahan anggotanya pasti akan termasuk dalam sabda Rasulullah SAW ini:

“ Barang siapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan mengharapkan pahala dari Allah maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu” (HR Bukhori, Muslim,At-Tirmizi, An-Nasai dan lainnya)

2) Membanyakkan tilawatul quran

“(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). karena itu, Barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, Maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan Barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), Maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (2:185)

Sememangnya kita mengetahui bahawa Al-Quran telah diturunkan dalam bulan yang mulia ini. Justeru kita harus meningkatkan bacaan dan tadabbur Al-Quran dalam bulan ini agar kita memperolehi manfaat yang banyak. Adalah Imam Malik rahimahullah apabila telah masuk bulan Ramadhan, beliau menutupi buku-bukunya dan tidak menerima permintaan fatwa dan dialog dengan orang lain sambil berkata. “ ini ialah bulan Ramadhan, ini ialah bulan Al-Quran” Kemudian beliau menetap di masjid hingga bulan Ramadhan berlalu. Terdapat beberapa kewajipan kita terhadap Al-Quran. Antara kewajipan tersebut ialah membaca, mentadabbur, mengamalkan dan menyampaikan isi kandungan Al-Quran kepada orang ramai. Ibnnu Mas’ud ra pernah berkata “ Demi Allah, tidaklah seseorang duduk bersama Al-Quran melainkan ia telah bertambah dan berkurang. Kerana dengan membaca Al-Quran akan menambahkan keimanan dan keyakinan, atau memohon keampunan sehingga berkuranglah dosa-dosanya” Demikianlah antara faedah yang bakal diperolehi oleh Ahlul Quran. Sesungguhnya masih terdapat banyak faedah yang lain yang pasti tidak cukup untuk dimuatkan dalam risalah kecil ini sedangkan ianya telah ditulis oleh para ulama’ dalam karya mereka yang agung.

3) Memperbanyakkan sedekah

Ibnu Abbas ra berkata “ Rasulullah SAW adalah manusia yang paling dermawan dan saat yang beliau menjadi paling dermawan adalah pada bulan Ramadhan iaitu ketika Jibril menemui beliau lalu mengajarkan Al-Quran, sungguh Rasulullah SAW adalah yang paling dermawan terhadap kebaikan daripada Ar-rih Al-mursalah (angin yang berhembus)” (HR Bukhori dan Muslim)

Bersedekah dengan ikhlas kepada Allah SWT merupakan salah satu amal soleh yang pahalanya akan berlipat kali ganda hingga 700 kali ganda. Justeru, bersedekah pada bulan ini sudah tentu akan mendapat pahala yang lebih. Atas kesedaran ini menjadikan Rasulullah SAW sentiasa berusaha untuk bersifat dermawan. Sesungguhnya, baginda sememangnya seorang dermawan biarpun di luar bulan Ramadhan. Baginda tidak pernah berkata tidak apabila diminta sesuatu tetapi baginda lebih dermawan pada bulan yang mulia ini. Subhanallah, bukankah baginda merupakan sebaik-baik ikutan. Oleh yang demikian, marilah umat Muhammad kita berusaha mencontohi baginda termasuklah sifat dermawan pada bulan Ramadhan.

4) Sentiasa bertaubat

“ Antara setiap solat lima waktu, dari solat Jumaat sampai Jumaat selanjutnya, dari Ramadhan sampai Ramadhan berikutnya adalah penghapus dosa di antara masing-masingnya, selama tidak melakukan dosa besar” (HR Muslim)

Ibnu Abbas ra berkata “ Kemaksiatan adalah kegelapan di dalam hati dan rona hitam di wajah , kemarahan di dalam hati manusia dan kesempitan di dalam rezeki”

Demikianlah dahsyatnya kesan kemaksiatan yang kita lakukan. Justeru, Ramadhan harus menjadi detik terbaik bagi kita untuk memohon keampunan kepada Allah SWT kerana pada bulan ini pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup. Oleh yang demikian kita harus membanyakkan istighfar dan rintihan taubat di malam hari kepada Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penerima Taubat. Tidak dilupakan, kita harus memohon maaf kepada sekalian banyak manusia yang kita pernah melakukan kesilapan terhadap mereka. Mudah-mudahan Ramadhan mampu untuk membersihkan hati kita dan memberikan nur pada wajah kita.

5) Berqiamullail


Malam-malam pada bulan Ramadhan ialah malam-malam terindah yang perlu kita lalui dengan tahmid, tasbih, tahlil, dan zikir kepada Allah. Kita harus menghidupkan malam pada bulan Ramadhan dengan solat tarawikh, solat tahajjud, dan solat-solat sunat yang lain. Sesungguhnya beruntunglah mereka yang menghidupkan malam pada bulan Ramadhan dan mudah-mudahan Allah SWT memilih kita semua untuk meraikan Lailatul Qadar dengan ibadah kepada-Nya. Adalah rugi bagi mereka yang menghabiskan malamnya dengan makan dan bercanda kemudian bangun sebelum fajr juga hanya untuk makan sahaja. Seharusnya bulan ini ialah pesta ibadah bagi kita. Bangunlah di sepertiga malam dan raikannya dengan ibadah-ibadah sunnah sehingga sebelum masuk waktu subuh kita tunaikan juga sunnah dengan mengakhirkan waktu sahur. Mudah-mudahan Allah SWT mengangkat darjat kita sebagai muttaqin.

“Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang Terpuji.” (17:89)

Oleh:
Adli Azimi
Aktivis ISMA Alor Setar
Blog: Muslimkaffah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *