MP Melayu Muslim Bersepakat Untuk Senyap Bila Islam Dicabar

Suasana kempen PRU 13 baru berlalu. Calon Muslim menjadikan Islam sebagai agenda perjuangan tetapi mengikut kefahaman masing-masing. Ada yang perkatakan tentang projek-projek untuk pembangunan Islam. Masjid mesti diperbanyakkan dan diperbesarkan. Ada yang bercakap tentang pendidikan Islam yang perlu diperkemaskan lagi. Ada perjuangkan ekonomi Islam. Tidak kurang juga yang memperkatakan kemenangan Islam semakin hampir kerana perjuangan kami diterima oleh semua kaum dan bangsa. Perjuangan kami untuk keadilan dan kebebasan. Kami menang Islam akan dimertabatkan.

Alhamdulillah kesemuanya untuk kebaikan Islam. Tetapi malangnya impian-impian ini hanya diperkatakan semasa bersama dengan pengundi-pengundi Melayu Muslim. Mereka yang menang sudah berada di parlimen sebagai wakil MP (Ahli Parlimen) Muslim. Yang penting mereka bersepakat dan bersatu dalam mempertahankan Islam walaupun dari parti yang berlainan.

Rupa-rupanya MP Melayu Muslim bercakar di luar dalam perkatakan agenda masing-masing demi undi untuk menang. Bongkar dan selongkar sana sini dedahkan kepincangan lawan. Yang penting aku mesti tonjolkan akulah jaguh dalam agama. Akulah jaguh ekstrak fail-fail sulit. Dan pelbagai jaguh lagi.

Malangnya MP Melayu Muslim bersepakat di parlimen untuk senyap bila berdepan dengan DAP yang mempertikaikan hal ehwal agama Islam dan Melayu. Syabas kepada YB Taqiyudin masih mampu bersuara menyanggah keegoan Karpal Singh. Yang lain senyap mengharapkan Karpal akan dapat hidayah. Atau tiada apa-apa agenda untuk diperkatakan kerana manifesto parti-parti Melayu Muslim semasa PRU-13 lepas lebih kepada pembangunan material dan fizikal.

Bagi parti yang menang akan cuba untuk melaksanakan manifesto pembangunan fizikal dan material sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto sementara yang kalah sekadar menghadirkan diri sebagai MP. Tiada agenda yang jelas untuk agama dan bangsa. Berbeza dengan MP DAP mereka mula bercakap masalah dasar dan perlembagaan negara pada sidang pertama dewan Parlimen . Mereka akan lebih agresif mencabar kedudukan Melayu dan Islam untuk sesi seterusnya samada dalam parlimen atau diluar parlimen .

Adalah tidak mustahil MP Melayu Muslim hanya akan bergegar-gegar di kawasan masing-masing dan di hadapan penyokong-penyokong masing-masing kerana penyokong tidak akan membantah apa yang diperkatakan. MP DAP akan terus menggugat kedudukan bangsa Melayu dan agama Islam walaupun orang Islam di Malaysia tidak pernah mengkritik berkaitan hal ehwal agama mereka. Persoalannya ada beberapa andaian yang boleh dibuat. Antaranya MP Melayu Muslim tidak ada agenda yang jelas untuk pertahankan agama dan bangsa atau hilang panduan di mana aku sekarang bila berdepan dengan mereka yang mencabar Islam.

Ustaz Sharipudin bin Ab Kadir
YDP ISMA Pasir Puteh
Merangkap
YDP Majlis Syura ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *