Mufti Kedah saran mansuh G25

muftikedah

ALOR SETAR, Rabu – Mufti Kedah Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad hari ini menyarankan agar kumpulan bekas penjawat awam G25 dimansuhkan.

Katanya, ini susulan beberapa isu yang diketengahkan kumpulan tersebut tidak masuk akal dan bertentangan dengan agama.

Beliau berkata, G25 juga perlu segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan berpandukan Al-Quran dan sunnah kerana “mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan hukum Allah”.

G25 baru-baru ini mengeluarkan kenyataan mahu hukuman terhadap perbuatan khalwat dimansuhkan jika dilakukan di rumah persendirian.

Ia berkata, perbuatan khalwat di tempat peribadi adalah dosa peribadi antara pelakunya dengan Allah kecuali jika dilakukan di kawasan awam.

Baderudin berkata, walaupun ia hak privasi individu, namun kesan perbuatan tersebut bukan hanya melibatkan pelakunya, malah ahli keluarga dan masyarakat.

Mengulas mengenai cadangan G25 yang mahu akaun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diaudit, beliau berkata Jakim merupakan institusi agama yang penting dan dipercayai di negara ini bagi mengendalikan hal berkaitan agama.

“Apabila timbul satu isu mereka ini akan mengkaji, misalnya sesuatu produk yang bertentangan dengan Islam mereka ini akan kaji, kemampuan Jakim disebabkan ada jawatankuasa khas dalam bidang agama,” katanya.

Beliau berkata seharusnya dalam menghadapi zaman yang semakin mencabar ini, masyarakat terutamanya badan kerajaan dan bukan kerajaan bekerjasama lebih erat dengan Jakim dan jabatan agama. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *