Mungkinkah anda bakal mengidap strok?

Strok atau Angin Ahmar adalah satu keadaan dimana berlakunya penyempitan salur darah ke bahagian otak atau salur darah pecah. Sebahagian dari tisu otak akan rosak disebabkan kekurangan bekalan oksigen. Apabila bahagian tisu otak tersebut rosak, ia akan mati lalu fungsi otak akan hilang. Diantara simptom/gejala yang ketara adalah pengsan, tidak sedarkan diri dan/atau lemah sebahagian anggota.

Strok, ataupun dikenali juga sebagai kemalangan serebrovaskular (cerebrovascular accident -CVA). Namun ini kurang tepat kerana kebiasaannya strok tidak dikaitkan dengan apa-apa trauma atau kecederaan pada otak.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada Tahun 2001 terdapat 20.0 juta penghidap stroke seluruh dunia, 5.5 juta membawa maut.

Serangan strok boleh datang secara tiba-tiba atau pesakit mungkin mengalami strok mini atautransient ischaemic attack (TIA) sebelum mengalami serangan strok.

Strok mini atau TIA adalah petanda kepada serangan strok yang lebih teruk, dan individu yang mengalami TIA seharusnya mendapat perhatian rawatan dengan kadar yang segera. Dalam satu kajian, didapati lebih dari 30% pesakit yang mendapat serangan strok pernah mengalami strok mini atau TIA ini. Perbezaan antara TIA dengan strok adalah gejala TIA kurang dari 24 jam (selalunya beberapa minit sahaja), manakala gejala-gejala strok adalah lebih dari 24 jam serta kondisi pesakit tidak kembali kepada normal sebelum gejala itu muncul. Gejala-gejala strok atau TIA adalah sama, iaitu antaranya adalah:

  • kehilangan upaya bagi menggunakan salah satu ada kedua-dua belah anggota badan (terutamanya tangan dan/atau kaki)
  • muka menjadi herut (drooping) dan air liur keluar pada satu belah anggota pada muka
  • percakapan tidak difahami ataupun kesukaran bercakap
  • hilang penglihatan atau penglihatan menjadi kabur
  • hilang kawalan keseimbangan atau terjatuh tanpa sebarang kemalangan
  • sakit kepala
  • masalah untuk menelan makanan atau minuman
  • kebingungan, atau
  • tidak sedarkan diri
  • mengalami sawan

Hemorrage Stroke: Kapilari darah pecah menyebabkan darah mengalir keluar dan merebak ke tisu otak. Ischemic Stroke: Kapilari darah tersumbat menyebabkan darah gagal mengalir dan membawa oksigen ke otak.

Mekanisma TIA adalah disebabkan oleh penyaluran darah ke sebahagian otak terhenti kerana tersumbat dengan benda asing (embolus) – kebiasaannya gumpalan darah (thrombus). Gejala-gejala strok akan dilihat pada pesakit ketika ini. Sistem dalam badan akan cuba untuk mencairkan gumpalan bendasing seperti gumpalan darah tersebut, dan apabila salur darah tidak lagi tersumbat, gejala-gejala strok akan hilang dan badan pesakit akan berfungsi seperti biasa. Namun, dalam strok, terdapat dua jenis komplikasi; keadaan pertama di mana salur darah yang tersumbat itu tidak berjaya untuk dibuka kembali menyebabkan oksigen tidak sampai ke bahagian otak yang terlibat, ataupun keadaan kedua terdapat salur darah yang pecah menyebabkan darah mengalir ke luar dan bahagian-bahagian otak yang sepatutnya mendapat bekalan oksigen tidak menerimanya. Kedua-dua keadaan ini menyebabkan gejala-gejala strok berterusan selepas 24 jam.

Apakah faktor-faktor yang meningkatkan risiko mendapat strok?

  • Merokok – bagi mereka yang merokok, kajian yang dibuat mendapati sekiranya mereka berhenti merokok lebih dari 5 tahun, risiko mereka mendapat strok dapat dikurangkan dengan signifikan
  • Tidak melakukan senaman dengan rutin
  • Menghidap diabetes
  • Tekanan darah tinggi
  • Peningkatan umur
  • Arak /alkohol – risiko bagi wanita yang mengambil arak jauh lebih tinggi berbanding lelaki
  • Berat badan yang berlebihan
  • Sejarah keluarga yang pernah mengalami strok
  • Kolesterol yang tinggi

Apa yang perlu anda lakukan sekarang?

  1. Berhenti merokok!
  2. Hidup secara sihat – pemakanan seimbang, senaman secara kerap, menjaga berat badan yang ideal
  3. Selalu berjumpa dengan doktor anda – sekiranya anda mempunyai penyakit seperti tekanan darah tinggi, diabetes, atau kolesterol yang tinggi, kawalan penyakit tersebut dengan diet dan juga ubat-ubatan adalah kawalan yang terbaik untuk mengurangkan risiko strok
  4. Jangan mendekati arak

Sekiranya anda mengalami gejala-gejala strok, dapatkan rawatan di hospital dengan segera kerana lebih cepat strok dapat dikenalpasti, lebih cepat rawatan yang boleh diberikan bagi mengubati atau mengurangkan risiko kematian daripada strok.

Di Australia, satu kempen telah dibuat kepada masyarakat tentang strok, iaitu kempen FAST:

F – Facial weakness (muka yang herot/lemah)- bolehkah pesakit senyum?

A– Arm weakness (tangan lemah)- bolehkah pesakit mengangkat tangan mereka?

S– Speech difficulty (percakapan yang sukar difahami atau kesukaran bercakap)- bolehkah pesakit bercakap dengan fasih serta memahami apa yang diperkatakan kepadanya?

T– Time to act (masa untuk bertindak)- bertindak pantas dengan menghubungi ambulans di 999. Satu kajian yang dilakukan mendapati semakin cepat rawatan diberi, semakin kecil risiko kematian daripada strok.

Kesimpulannya, kurangkan risiko mendapat strok dengan hidup secara sihat, serta kenali gejala-gejala strok, supaya apabila diri ataupun keluarga/rakan-rakan yang terdekat mengalaminya, kita mampu untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

Layari www.nasam.org untuk informasi berkenaan terapi pesakit strok.

Rujukan-rujukan

  1. Info Sihat www.infosihat.gov.my
  2. Medik Dr. Zaki medikdrzaki.wordpress.com

One thought on “Mungkinkah anda bakal mengidap strok?

  1. Jazakallah…info yg sgt menginsafkan…
    Kembali bersemangat utk bersenam…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *