Negeri Kubang Pasu Darul Qiyam

kp

Negeri Kubang Pasu Darul Qiyam merupakan sebuah negeri yang pernah diwujudkan oleh Kesultanan Kedah suatu ketika dahulu sebagai hadiah kepada seorang pembesar negeri yang telah membantu menumpaskan serangan Siam ke atas Kedah.

Bibit Akhir Peperangan Kedah – Siam

Gerakan Tunku Kudin, 1830-31 dan Tunku Muhammad Saad, 1838-39 memberi kesan kepada pentadbiran Siam di Kedah. Mulai tahun 1838, Pra Nang Klao atau Rama lll telah mengambil keputusan untuk memulangkan pentadbiran Kedah kepada anak tempatan.

Pada tahun 1838, Rama lll telah melantik Tunku Anum, kerabat diraja Kedah sebagai Gabenor Kedah. Kedah dibahagikan kepada dua:

  • Kedah, di bawah Tunku Anum, dan
  • Setul-Lingu di bawah pentadbiran Tunku Bisnu atau Tunku Dewa.

Kayangan atau Perlis, walaupun masih sebahagian daripada Kedah tetapi ia diletakkan di bawah Raja Long Krok atau Paduka Seri Maharaja Lela, pembesar Kedah. Raja Long Krok dibantu oleh Syed Husin Jamalullail. Apabila Raja Long Krok meninggal dunia, Syed Husin menggantikan beliau.

Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II menghantar surat kepada Rama lll supaya mengampunkan baginda dan kembali semula bertakhta di Kedah. Bangkok meminta kepastian keikhlasan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II. Dengan itu Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II menghantar puteranya Tunku Dai atau Tunku Zainal Rashid ke Bangkok pada bulan Mac 1841. Tunku Dai menjadi wakil Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II memohon maaf daripada kerajaan Siam.

Sementara itu Gabenor S.G. Bonham mengirimkan surat melalui Tunku Dai untuk disampaikan kepada Raja Siam. Dalam surat tersebut dinyatakan yang British meminta supaya Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah dibenarkan kembali berkuasa di atas takhta kerajaan Kedah.

Tunku Dai ditemani oleh Tunku Muhammad Akib, putera Tunku Bisnu, Raja Setul. Rama lll memperkenankannya, dan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II dibenarkan kembali ke Kedah menduduki takhta kerajaan.

Pada tahun 1841, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II mendapat persetujuan untuk menduduki semula takhta kerajaan Kedah. Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II dibenarkan oleh British tinggal di Pulau Pinang, sementara menunggu rundingan dengan Siam mengenai kepulangan baginda ke Kedah selesai.

Pada bulan Ogos 1842, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II pulang ke Kedah. Namun begitu Kedah dibahagikan kepada empat:

  • Kedah,
  • Kubang Pasu,
  • Perlis, dan
  • Setul-Lingu.

Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II berkuasa di Kedah; Tunku Anum, Kubang Pasu; Syed Husin, Perlis dan Tunku Bisnu, Setul-Lingu. Setul-Lingu diletakkan di bawah Raja Senggora; Kedah, Perlis dan Kubang Pasu diletakkan di bawah Nakhorn Sri Thammarat.

Tunku Anum Paduka Raja Jambangan

Tunku Anum Bin Abdul Rahman merupakan cucu kepada Tunku Ibrahim, Raja Muda Limbong dan anak saudara kepada Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II. Tunku Anum dilantik menjadi ketua penghantar bunga emas dan perak dari kerajaan Kedah ke Siam setiap tiga tahun sekali.

Tunku Anum juga merupakan wakil kepada Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II dalam rundingan mengembalikan Kedah dari cengkaman Siam kepada Sultan yang sedang berlindung di Melaka.

makam ta

Atas jasa dan kejayaan rundingan tersebut, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II menghadiahkan sebidang kawasan merangkumi 24 mukim kepada Tunku Anum dan diisytiharkan sebagai sebuah negeri bernama Kubang Pasu Darul Qiyam pata tahun 1841.

Negeri Kubang Pasu Darul Qiyam mempunyai sebuah ibu negeri di Pulau Pisang.

Tunku Anum mangkat pada tahun 1853 dan dimakamkan di Langgar, Pulau Pisang. Negeri Kubang Pasu dikembalikan kepada Kesultanan Kedah setelah kemangkatan Tunku Anum.

tugu ta

Sumber:

  • http://www.sabrizain.org/malaya/library/gerakankedah.pdf
  • http://www.memori-kedah.com

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *