Pakcik tua, buku nota dan kuliah

Tadi berkesempatan duduk di masjid selepas solat Maghrib. Kebetulan ada kuliah Maghrib, apa salahnya mendengar, kan?

Ketika mendengar kuliah yang disampaikan, anak mata yang sering meliar-liar ke kiri kanan terpandang seorang pakcik yang duduk tidak berapa jauh. Kayaknya dia terbongkok-bongkok sambil menggerakkan tangan kanannya yang berkulit kedut.

Rupa-rupanya dia sedang menulis apa yang didengari dari kuliah yang sedang diberikan. Tetapi tampaknya dia seperti gagal mencatat segala macam poin yang dihamburkan pengkuliah. Hampa, lalu pakcik tua itu pun berhenti menulis. Kecewa, mungkin.

Duhai anak-anak muda segenerasi, seusia dan sebelia, masa dan tenaga muda kita tidak layak untuk dihabiskan hanya dengan rutin tipikal dan hiburan-hiburan yang sementara tetapi memenatkan. Kenapa tidak kerahkan tenaga muda kita kepada sesuatu yang boleh meningkatkan iman, yang boleh merapatkan kita ke syurga yang paling best?

Semua orang nak syurga, tetapi tak ramai yang mahu ke syurga yang paling tinggi. Cukupkah sekadar mengimpikan syurga yang biasa-biasa sahaja?

Jangan kata nak tunggu tua baharu nak mencari-cari laluan ke gerbang syurga. Setidak-tidaknya, kita tidak mahu mengulangi sejarah kebanyakan generasi emas kita yang menunggu usia tua untuk baru menjadi abdi kepada Allah.

Oleh:
Fakhruddin Afif Fauzi
Media ISMA Alor Setar
Blog: Inizis.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *