Palestin diterima sebagai ahli UNESCO

PARIS, 1 November – Keputusan undi 107 negara menyokong, 14 menolak termasuk Amerika Syarikat, Jerman, Israel dan Kanada serta 49 negara lagi berkecuali berjaya menjadikan Palestin sebagai ahli baharu dalam UNESCO.

Pun begitu, Amerika Syarikat mengumumkan untuk menghentikan dana kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) selepas badan dunia itu memperakui Palestin sebagai anggota penuh kumpulan tersebut.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Victoria Nuland berkata, ini kerana keputusan itu melangkaui proses perjanjian damai Palestin dan Israel yang masih dalam proses perbincangan.

Keahlian Palestin dalam UNESCO sekali gus dilihat sebagai jalan mudah Palestin untuk ‘mengejar’ impian mendapatkan keahlian penuh dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimana pun, usaha itu ditentang keras Israel dengan AS menyatakan akan menggunakan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan untuk menghalang Palestin memperoleh pengiktirafan tersebut.

Reaksi HAMAS

HAMAS mengalu-alukan keahlian Palestin dalam UNESCO dengan harapan warisan dan tanah suci Palestin akan dipelihara.

Menurut Fawzi Barhoum, jurucakap HAMAS, keanggotaan Palestin dalam UNESCO juga mampu menghalang gangguan dari Israel terhadap Masjid al-Aqsa dan al-Quds sendiri.

Sumber: Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *