Pasca PRU-13: Satu pesanan

Pilihanraya telah berlalu. Pertamanya, saya selaku Pengerusi Majlis Ulama, Ikatan Muslimin Malaysia mengucapkan tahniah (di dalam kerangka politik demokrasi Malaysia) kepada mereka yang telah terpilih. Penyataan tahniah ini hakikatnya merupakan suatu takziah. Kepada seorang Muslim yang menyedari beratnya tanggungjawab sebagai pemimpin, dan bagaimana ianya boleh menjadi suatu kecelakaan dan sesalan di akhirat nanti (sila rujuk hadis Abdul Rahman dlm hal ini), sudah tentulah pemilihan tersebut merupakan suatu yang amat berat.

Kepada mereka yang tidak terpilih dan merasakan bahawa terdapat penipuan di dalam pilihanraya tersebut, silalah menggunakan segala ruang perundangan dan saluran yang ada demi mendapatkan keadilan. Itu adalah hak anda yang sepatutnya anda pertahankan. Namun begitu, saya berharap, apa juga tindakan yang diambil tidaklah membawa kepada risiko keamanan yang sama-sama kita kecapi.

Setelah semua proses perundangan dan saluran yang sepatutnya dilakukan, tetapi keputusan tetap tidak berpihak kepada anda (yang tidak puas hati), saya menyeru agar marilah kita sama-sama menerima keputusan tersebut. Jika anda merasakan bahawa anda telah mendapat sokongan yang bertambah, maka lipat gandakanlah usaha anda. Mana tahu, pilihanraya yang akan datang, anda akan mendapat keputusan yang lebih baik.

Jadilah pembangkang yang berkaliber dalam Parlimen atau DUN. Jadikan kepentingan Islam sebagai asas utama anda berada di sana. Bangkanglah (dan sokonglah) apa juga perkara yang memberikan kebaikan kepada Islam. Janganlah kerana anda pembangkang, maka anda terus membangkang (atau disuruh bangkang oleh parti anda) walaupun anda menyedari bahawa perkara tersebut adalah benar (sila rujuk penulisan Dr Salah Sawi didalam al-ta’adudat al-siyasiyah berkenaan hal ini),

Kepada Barisan Nasional yang telah menang pada pilihanraya ini, saya menyeru kepada beberapa perkara:

1. Anda perlu menyedari bahawakurangnya sokongan kepada anda adalah kerana banyak sebab. Antara yang terutamanya ialah  dakwaan rasuah dan penyelewengan kuasa yang berlaku. Sebahagiannya telah terbukti di dalam mahkamah, sebahagiannya telah terbukti tidak betul, dan sebahagiannya mungkin tidak di bawa ke atas seperti yang sepatutnya diadili. Saya tidak berniat untuk berbicara lebih panjang berkenaan hal ini, tetapiadalah amat naïf untuk pihak anda menolak kesemua dakwaan ini sebagai tidak benar. “Soul Searching” amat penting untuk dilakukan. Berlaku adillah, keran itulah teras terdirinya kebenaran dan kelangsungan sesuatu perjuangan (sila lihat nukilan Ibn Taymiyyah dalam hal ini).

2. Islam. Kembalilah kepadaIslam yang sebenar. Letakkanlah ia sebagai asas yang tertinggi di dalam pentadbiran anda. Insya Allah, anda akan melihat umat Islam akan berpusu-pusu menyokong anda, termasuk juga mereka yang menyokong pihak lain buat masa kini. Bahkan tidak mustahil, pihak pembangkang juga akan menyokong anda. Sebagai sebuah NGO yang memperjuangkan Islam, insya Allah, ISMA akan berkerjasama di dalam apa juga perkara yang menguntungkan Islam dan membawa kepada pengamalan syariat Islam di Malaysia (sama ada peringkat pusat atau negeri). Apa yang kami (dan seluruh umat Islam) tuntut ialah keikhlasan anda dalam melaksanakan Islam. Ianya perlulah diserlahkan oleh anda di dalam kehidupan (diri sendiri, keluarga) dan juga pentadbiran anda.

3. Utamakanlah kepentingan rakyat, bukan hanya dari sudut slogannya, tetapi dari sudut praktisnya. Ramai umat yang menghadapi kesulitan hidup buat masa ini. Anda semua akan dipersoalkan oleh Allah SWT jika anda semua gagal bertindak seoerti sepatutnya

4. Usahalah ke arah penyatuan umat Islam. Serulah seluruh umat Islam (tanpa mengira parti, NGO dan sebagainya) untuk duduk semeja dan bersama-sama berfikir ke arah perlaksanaan Islam yang lebih baik di Malaysia. Umat Islam perlu disedarkan tentang cabaran yang perlu mereka hadapi demi untuk membawa Islam ke era seterusnya. Panggillah para ulama, berbincanglah dengan mereka, korek pandangan mereka dan dapatkan pandangan yang ikhlas daripada para ulama yang ikhlas (bukannya ulama pengampu) demi kebaikan agama, bangsa dan negara.

5. Perkasakan bangsa Melayu sebagai bangsa teras Islam di Malaysia. Anda perlu menyedari bahawa perjuangan bangsa, semata-mata kerana bangsa tidak akan ke mana. Anda perlu berubah dari perjuangan ini. Tetapi perjuangan memperkasakan bangsa Melayu (dalam konteks Malaysia) sebagai teras kekuatan Islam di Malaysia, itulah yang akan menjamin keutuhan negara. Seluruh umat Islam juga perlu menyedari bahawa perjuangan memperkasa bangsa Melayu dan menyediakan mereka sebagai umat teras ke arah perjuangan Islam di Malaysia bukanlah suatu asabiyyah. Kadangkala para pejuang Islam, di dalam kesungguhan mereka memperjuangkan Islam, gagal memahami perjuangan bangsa yang bagaimanakah termasuk di dalam asabiyyah yang terlarang, dan yang manakah tidak. Umat perlu disedarkan tentang perkara ini. Perjuangan untuk memperkasakan Melayu sebagai bangsa teras di dalam membawa Islam di Malaysia bukanlah suatu yang asabiyyahyang terlarang (lihat makna hadis nabi berkenaan dgn asabiyyah dalam hal ini). Bangsa Melayuyang menjadikan Islam sebagai teras kehidupannya, sudah tentulah tidak akan menindas orang lain, termasuklah mereka yang bukan Islam sekalipun. Strategiknya seruan memperkasakan Melayu adalah penting, melihatkan kedudukan bangsa Melayu sebagai bangsa majoriti, dan mereka adalah beragama Islam. Perkasakanlah Melayu dan perkuatkan mereka sebagai tunggak Islam di Malaysia.

5. Integrasi nasional, di mana Islam sebagai agama Persekutuan dan mempunyai hak untuk mentadbir negara. Di dalam negara yang berbilang kaum, integrasi nasional amatlah penting. Namun terasnya mesti jelas. Dalam hal ini, integrasi tersebut, mestilah berlandaskan kepada Islam yang telah diterima sebagai agama Persekutuan. Asas tersebut mesti kukuh dan dipertahankan.

6. Akhirnya (mungkin masih banyak yang patut disebut), saya rangkumkan di dalam suatu nasihat umum iaitulah bertindaklah dengan berpandukan kepada Syariat Allah.

Kepada seluruh rakan-rakan didalam ISMA, saya mengambil kesempatan ini untuk menugcap Jazakumullah Khairan di atas segala jerit perit dan keringat yang telah anda curahkan. Tidak ada apa yang boleh dijanjikan melainkan “semoga Allah SWT merahmati kalian semua dan memberikan ganjaran yang sepatutnya kepada antum”. Saya sendiri merasa kagum dengan kesungguhan antum semua.

Walaupun keputusan Qiyadah untuk memasuki pilihanraya agak lewat dibuat, tetapi kesungguhan antum telah membuktikan bahawa generasi ISMA ini adalah generasi yang sanggup berbuat apa saja demi Islam. Saya masih ingat bagaimana antum menghabis masa, tenaga, hatta wang ringgit demi dakwah ini. Ada yang menjual barang kemasnya, ada yang melelong emasnya, ada yang berniaga, demi untuk mendapatkan duit untuk menampung perbelanjaan pilihanraya. Subhanallah.. Semoga Allah merahmati kalian. Pedulikan sebarang tohmahan bahawa kalian mendapat sponsor dan sebagainya. Cukuplah Allah SWT menjadi saksi segalanya. Hasbunallah wani’ma al-wakil.

Hendaklah kalian sedar bahawa gerak kerja ISMA bukan hanya untuk pilihanraya. Ianya hanya satu cabang daripada cabangan dakwah ISMA yang pelbagai. Pilihanraya ini telah membuka ruang yang lebih besar kepada dakwah ISMA. Terkejut mungkin kita, apabila semakin ramai yang ingin mengikut program ISMA. Tanggungjawab kitalah untuk memberikan tarbiyah yang sepatutnya. Kepada kanak-kanak (dgn NAZIMnya), kepada yang meningkat remaja (dgn program KRIMnya), kepada yang belia (dengan PEMBINAnya) dan dengan program pembinaan lebih besar (dgn program ISMAnya). Perjuangan ini lebih meluas sekarang. Adakah kalian bersedia untuk menyambutnya?

Penyusunan yang amat teliti amatlah diperlukan demi memastikan bahawa tiada yang tercicir. Ramainya angka belum tentu menjamin kejayaan. Tetapi kualiti tarbyyah dan takwiniyyah yang sempurnalah yang akan menjamin kelangsungan dakwah ini (lihat Muhammad Ahmad Rashid dalam perbincangan ini melalui al-Muntalaq dan al-Masar). Oleh itu, kurangkanlah memberikan komen dan berbincang perkara yang tidak menambahkan iman, takwa dan amal. Apatah lagi, jika ia hanya membawa kepada jidal yang keras dan menghilangkan rasa kasih-sayang sesama Islam (ingat larangan hadis nabi berkenaan dengan larangan jidal yang membawa kepada permusuhan). Ingat kata Hasan al-Banna: “Dakwatuna Da’wat al-Hubb (dakwah kitaadalah dakwah kasih sayang)”. Dakwah kita amat luas dan pilihanraya ini hanyalah satu cabang daripada dakwah kita.

Kepada mereka yang telah memberikan dokongan dan sokongan kepada ISMA di dalam pilihanraya yang lepas, terima kasih saya ucapkan. Semoga Allah SWT merahmati dan memberikan balasan sewajarnya kepada anda. Saya berharap dokongan dan sokongan tersebut akan berterusan. Saya menyeru kepada anda semua untuk sama-sama mengikuti program-program yang dianjurkan oleh ISMA. Seperti yang diperkatakan oleh para petugas ISMA di dalam kempen-kempen mereka (secara umum atau tertutup), ISMA adalah suatu badan dakwah. Kerja dakwah di luar waktu pilihanraya adalah lebh besar bagi ISMA daripada kerja dakwah semasa pilihanraya. Doronglah anak-anak tuan-tuan untuk mengikut program ISMA, sama ada NAZIMnya, KRIMnya, PEMBINAnya atau untuk tuan-tuan sendiri, program-program ISMA.

Kepada mereka yang pernah mendengar berkenaan dengan ISMA, sama ada sebelum atau semasa pilihanraya, daningin mengetahui lebih lanjut berkenaan dengan ISMA, atau ingin menjadi ahli ISMA dan mengikut program-program ISMA, ahlan wa sahlan saya ucapkan. Marilah sama-sama kita memperbaiki dan memperkasa diri kita sebagai umat Islam yang sebenar melalui program-program ISMA.

Akhir kata, semoga Allah merahmati kita semua dan menjadikan kita sebagai agen ke arah perlaksanaan syariat Islam yang sempurna di bumi Malaysia khususnya, dan seluruh alam, secara umumnya. Amin.

Dr. Aznan Hasan,
Pengerusi,
Majlis Ulama ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *