Pejuang ekonomi Islam di Malaysia masih belum ramai

ustaz fauzi

ALOR SETAR, 6 Jan – Orang-orang Islam di Malaysia yang memperjuangkan ekonomi Islam masih belum ramai.

Menurut Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Muhammad Fauzi bin Asmuni, antara hal ini berlaku kerana kefahaman mereka tentang sunnah Nabi.

“Masyarakat kita (orang-orang Islam) masih keliru dengan sunnah, dan keutamaan sunnah yang patut dilaksanakan.

Ujarnya, memperjuangkan ekonomi Islam juga adalah antara sunnah tinggalan Rasulullah s.a.w. yang paling utama.

“Kita ambil iktibar sirah Rasulullah s.a.w, bila mana baginda bertanya siapakah para sahabat yang sanggup membeli sebuah telaga di Madinah yang tidak pernah kering.

“Pada masa awal hijrah umat Islam itu, sektor ekonomi di Madinah bukan sahaja dikuasai orang-orang Yahudi dan orang-orang Islam dihalang daripada memulakan perniagaan di sana, malah air pun orang-orang Islam terpaksa membelinya dari orang Yahudi.

Menurut Ustaz Fauzi Rasulullah s.a.w. tidak membiarkan keadaan ini berterusan lantas menawarkan para sahabat yang mampu membeli sebuah telaga kepunyaan Yahudi.

“Maka Saidina Uthman r.a. pada mulanya berjaya membeli separuh daripada pemilikan telaga itu dengan harga yang sangat mahal dan memberi air secara percuma kepada seluruh penduduk Madinah ketika gilirannya menjaga telaga tersebut.

“Ini adalah salah satu sunnah Rasulullah s.a.w., iaitu jihad membebaskan umat Islam daripada cengkaman ekonomi bukan Islam kepada orang Islam, jelas Ustaz Muhammad Fauzi.

Beliau berkata demikian dalam program Usrah Umum Alor Setar bersempena Maulidur Rasul, baru-baru ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.