Pemilihan calon tentukan kemenangan parti

ust-lah1

BANGI – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, kejayaan mana-mana parti politik dalam pilihanraya akan datang amat bergantung kepada pemilihan calon yang bersih dan berwibawa.

Menurut beliau, imej parti tidak memberikan makna tanpa menampilkan calon yang berwibawa, bersih, berakhlak, beramanah serta cenderung kepada kesahjeteraan kerana tanpa calon sebegini, tidak mungkin menjanjikan sesuatu yang baru kepada rakyat.

“Orang tidak melihat kepada parti semata-mata, bahkan jika parti membawa imej yang tidak baik, katakan kerajaan atau UMNO, jika mahu terus menyambung mandat atau pemerintahan, satu-satunya cara bagi mereka ialah perlu mengemukakan calon yang berwibawa.

“Jika tidak, ia tidak memberi pilihan kepada rakyat,” jelasnya.

Oleh itu kata beliau, jika Barisan Nasional mengemukakan calon yang berwibawa, maka Pakatan Rakyat juga perlu menampilkan calon yang sebegitu dan calon-calon ini perlu memiliki ciri-ciri tertentu untuk membawa masa depan negara ke arah yang lebih baik.

“Kita mempromosi supaya rakyat memilih calon yang berkelayakan kerana kemenangan mana-mana parti politik sangat bergantung kepada sejauh mana calon boleh menang,” ujar Ustaz Abdullah Zaik.

Isu faktor pemilihan dalam pilihanraya akan datang samada memilih parti atau calon semakin dibincangkan oleh ramai pihak, lebih-lebih lagi sejak timbul isu beberapa calon gagal dalam tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Seperti laporan dari akhbar Sinar Harian bertarikh 25 Januari 2013, beberapa parti politik dijangka terpaksa menggugurkan nama-nama besar daripada menjadi calon mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Pengguguran itu tidak boleh dielakkan kerana beberapa tokoh itu gagal dalam ujian tapisan yang dilakukan oleh SPRM kerana mempunyai masalah dengan undang-undang.

Difahamkan, ia disedari setelah urusan awal tapisan senarai calon yang diserahkan beberapa parti kepada SPRM untuk tapisan menjelang PRU13 selesai.

Berdasarkan hasil ujian tersebut, parti-parti yang terlibat telah dinasihatkan tidak meletakkan nama-nama besar yang bermasalah itu sebagai calon mereka.

Maklumat dari Sinar Harian menunjukkan nama-nama besar yang gagal ujian tapisan tidak boleh diletakkan sebagai calon dan jika dicalonkan juga, ia akan memberi implikasi kepada parti terbabit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *