Siri Kesihatan ISMA Kedah- Pendarahan di peringkat awal mengandung

Seseorang wanita yang mengandung boleh mengalami gejala pendarahan di awal usia kandungannya. Pendarahan ini boleh terjadi disebabkan oleh beberapa sebab seperti keguguran, kandungan luar rahim (ectopic) atau kandungan anggur (molar pregnancy).<!–more–>

Keguguran didefinasikan sebagai kelahiran sebelum usia kandungan mencecah 22 minggu. Pendarahan di awal mengandung boleh berpunca dari:

  1. Kandungan terancam (threatened abortion)

Dalam kes kandungan terancam, pendarahan yang terjadi adalah sedikit dan kadang-kadang seperti darah haid, tiada kesakitan pada bahagian ari-ari dan ibu masih mengalami simptom mengandung seperti loya dan muntah. Pemeriksaan ultrasound perlu dilakukan untuk menentukan status kandungan. Pemeriksaan ultrasound akan menunjukkan bahawa kantung kandungan masih elok dan denyutan jantung bayi wujud (jika kandungan melebihi 7 minggu). Dalam keadaan seperti ini, kemungkinan untuk gugur adalah kurang dari 5%. Ibu perlu berehat dan berjumpa doktor semula jika pendarahan berterusan atau bertambah banyak.

2. Kandungan hampa (missed abortion)

Dalam keadaan ini, kandungan tidak menjadi atau janin telah meniggal sewaktu di dalam kandungan. Ibu biasanya akan datang dengan pendarahan yang sedikit dan biasanya simptom mengandung seperti loya dan muntah tiada lagi kerana hormone yang dihasilkan oleh uri telah susut disebabkan kandungan telah meninggal. Ultrasound perlu dilakukan untuk memastikan keadaan di atas. Dalam keadaan seperti ini, kandungan perlu digugurkan dan D&C (rahim dicuci) perlu dilakukan.

3. Keguguran inevitable dan keguguran incomplete

Dalam kedua-dua keadaan ini pesakit biasanya akan mengalami kesakitan di ari-ari dan terasa seperti hendak bersalin, pendarahan yang banyak dan kadangkala bersama dengan janin. Sekiranya janin dan uri telah habis keluar, maka D&C tidak perlu dilakukan tetapi sebaliknya jika sisa janin dan uri masih ada, maka D&C perlu dilakukan.

Keguguran sebenarnya adalah sesuatu yang sering terjadi di mana 15% daripada wanita yang mengandung akan mengalami keguguran. Kebanyakan kes adalah disebabkan oleh keabnormalan pada janin sama ada dari segi struktur atau genetik, selain faktor-faktor lain seperti jangkitan kuman. Di sini kita lihat proses pemilihan di dalam kejadian insan di mana Allah swt selaku penciptanya hanya mengizinkan kebanyakan janin yang normal untuk terus membesar dan janin yang tidak normal akan dengan izinNya digugurkan. Banyak hikmah di dalam proses pemilihan ini, kerana jika keguguran tidak terjadi, maka lebih banyak bayi yang cacat akan dilahirkan dan ini adalah ujian yang lebih besar kepada ibu bapa dan masyarakat.

Selepas seseorang wanita itu mengalami keguguran, seseorang wanita tidak digalakkan untuk terus mengandung, sebaiknya menunggu sehingga tempoh 3-6 bulan supaya keadaan kesihatannya pulih semula.

Dari segi hukum, darah yang keluar pada seseorang wanita yang mengandung selagi mana belum keluar janin atau urinya adalah dikira sebagai darah istihadah. Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad dan lain-lain berpendapat bahawa wanita mengandung tidak didatangi haid dan darah yang keluar adalah darah istihadah. Dalam keadaan ini, pesakit yang mengalami “threatened abortion” atau “missed abortion” mengalami istihadah kerana dalam kedua-dua kes, janin atau kantung kandungan belum keluar manakala pesakit yang mengalami “incomplete abortion” mengalami nifas kerana darah keluar bersama-sama dengan janin dan kantung kandungannya.

Dr. Murizah Mohd Zain

Pakar Perbidanan & Sakit Puan Hospital Sultanah Bahiyah,

Alor Star, Kedah.

e-mel murizahz@hotmail.com.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *